Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

 #FREE_PALESTINE

(VIDEO) Pertemuan Trump - Zelensky bertukar kecoh



WASHINGTON: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, melenting selepas ditempelak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Naib Presiden AS, JD Vance, ketika pertemuan di Rumah Putih.

Pada mulanya, semua kelihatan berjalan lancar, namun perbualan antara Trump dan Zelensky tiba-tiba bertukar menjadi tegang dalam sekelip mata.

Dalam tempoh beberapa minit yang mengejutkan, satu sesi bergambar di Pejabat Oval yang sepatutnya menjadi langkah ke arah perdamaian antara Ukraine dan Russia, bertukar menjadi perbalahan sengit, meninggalkan masa depan Kyiv dalam keadaan tidak menentu.

Sebagai dua bekas personaliti televisyen, mereka tahu cara menarik perhatian kamera. Mereka berjabat tangan. Trump, bekas bintang rancangan realiti, bergurau secara santai mengenai pakaian Zelensky yang kurang berunsur ketenteraan berbanding kebiasaannya sebagai pemimpin semasa perang.

Zelensky, bekas pelawak yang hadir ke Rumah Putih untuk menandatangani perjanjian mengenai mineral nadir bumi serta mengekalkan hubungan baik dengan Trump, kekal tenang ketika mereka duduk bersebelahan dan menjawab soalan media.

Namun, keadaan tiba-tiba berubah. Apa yang berlaku selepas itu mungkin antara detik paling luar biasa pernah disaksikan di Pejabat Oval, pusat bersejarah presiden AS yang sering menjadi lokasi pertemuan pemimpin asing.

Vance menjadi pencetus kekecohan itu, apabila memainkan peranannya yang semakin agresif sebagai 'penyerang' bagi pihak Trump, dengan menuduh Zelensky tidak menunjukkan rasa 'bersyukur' terhadap sokongan AS ketika pemimpin Ukraine itu mempersoalkan gesaan Trump supaya berunding dengan Moscow.

"Saya rasa tidak wajar bagi anda datang ke Pejabat Oval dan mempertikaikan perkara ini di hadapan media AS," kata Vance, yang duduk di sofa berhampiran kedua-dua pemimpin.

Apabila bahang perdebatan meningkat, Zelensky menyilangkan tangan dan bertanya sama ada Vance pernah mengunjungi Ukraine, mencetuskan maklum balas marah daripada naib presiden yang menuduhnya mengadakan 'lawatan propaganda'.

Malah, keadaan menjadi lebih buruk apabila Trump turut campur tangan dengan retoriknnya sendiri bagi menyerang Zelensky.

Ketika Zelensky berkata bahawa meskipun AS berada jauh dari Eropah, 'anda akan merasakannya (kesan perang) di masa hadapan' jika tidak membantu Kyiv, Trump menjadi berang.

"Jangan beritahu kami apa yang akan kami rasakan," kata Trump dengan meninggikan nada suara, sekali gus menyebabkan pertelingkahan semakin hangat.

Semua ketegangan yang tercetus sejak perbualan Trump dengan Presiden Russia, Vladimir Putin pada 12 Februari lalu akhirnya meletus secara terbuka di hadapan media global, termasuk wartawan AFP.

"Anda mempertaruhkan nyawa jutaan orang. Anda mempertaruhkan Perang Dunia Ketiga, dan apa yang anda lakukan ini sangat tidak menghormati negara ini," kata Trump.

Dengan wajah merah padam, Trump mengacukan jarinya ke arah Zelensky sambil meninggikan suara. Pada satu ketika, dia menepuk lengan Zelensky bagi menegaskan pendiriannya.

Bagi Zelensky, pertemuan itu berubah menjadi satu perangkap apabila Trump terus membidasnya, sementara pemimpin Ukraine itu berusaha menyampaikan hujahnya.

"Sila, anda fikir jika anda bercakap dengan kuat…," katanya kepada Vance sebelum Trump mencelah.

"Dia tidak bercakap dengan kuat," kata Trump.

Ketika Zelensky meminta peluang untuk menjawab, Trump menolak: "Tidak, tidak, anda sudah banyak bercakap. Negara anda tidak menang".

Presiden AS yang sejak sekian lama mempertikaikan bantuan Washington kepada Kyiv, kemudian menyenaraikan pelbagai keluhan mengenai Ukraine, malah Trump menyuarakan simpati terhadap Putin.

"Dengar sini, Putin telah melalui pelbagai kesusahan kerana saya, dia melalui penyiasatan palsu," kata Trump, merujuk kepada siasatan terhadap dakwaan campur tangan Russia dalam pilihan raya AS 2016.

Sepanjang pertelingkahan selama hampir lima minit itu, wartawan sibuk merakam dan menaip laporan, sementara seorang diplomat Ukraine hanya mampu menekup wajahnya dengan tangan.

"Anda sama ada mencapai perjanjian, atau kami berundur," kata Trump, menegaskan bahawa perpecahan itu amat nyata.

Tidak lama selepas itu, Trump menamatkan sesi, mengarahkan wartawan keluar dan disusuli sejam kemudian oleh Zelensky meninggalkan Rumah Putih secara tergesa-gesa, manakala majlis menandatangani perjanjian mineral nadir bumi dibatalkan.

Kehancuran sokongan AS terhadap Ukraine menentang Russia, sekurang-kurangnya buat masa ini, berlaku secara terbuka.

Di Moscow, Kremlin menyambut baik pertelingkahan itu, memuji 'kesabaran' Trump terhadap 'si penyangak' Zelensky.

Namun bagi Trump, yang terkenal dengan naluri politiknya sentiasa mencari 'kebaikan' dalam setiap musibah, cuba memanfaatkan pertembungan tegang itu.

"Ia akan menjadi siaran televisyen yang hebat, saya boleh katakan itu," katanya sebelum pertemuan berakhir. - AFP






KONGSIKAN:



FOLLOW KAMI SEKARANG DI TIK TOK

SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom