Walaupun Tunku Abdul Aziz ini tidak panjang hayatnya (mangkat tahun 1907 dalam usia 37 tahun), tetapi baginda telah meninggalkan jasa besar tidak ternilai.
Sejarah Negeri Kedah mdencatatkan sekiranya Raja Muda Abdul Aziz tidak melakukan sebarang pengorbanan, Negeri Kedah mungkin jatuh muflis pada waktu itu. Disebabkan tindakan pantas Raja Muda Abdul Aziz menghadap Raja Chulalongkorn di Bangkok berjaya meyakinkan Raja Siam itu sehingga mendapat pinjaman $2.4 juta dan menyelamatkan Kedah dari jatuh muflis.
Inilah satu peristiwa yang paling penting dalam sejarah Kedah moden akibat majlis perkahwinan "over budgeť" lima putera puteri Sultan Abdul Hamid pada tahun 1904.
Sejarah merakamkan hampir tiga juta wang perbendaharaan negeri dikeluarkan untuk membiayai perkahwinan yang berlangsung 93 hari, siang dan malam itu. Akibatnya, Negeri Kedah kekeringan tunai sebaik sahaja selesai perkahwinan itu.
Akibat daripada perjanjian pinjaman itu, Kerajaan Siam telah menghantar seorang wakil yang dilantiknya, seorang Inggeris bernama W. J. F. Williamson untuk bertindak sebagai Penasihat Kerajaan Kedah dan memantau dan mengurus kewangan Negeri Kedah.
Rentetan dari peristiwa itu, satu "State Council" (Majlis Mesyuarat Negeri) telah ditubuhkan di Balai Besar, Alor Setar pada tahun 1905 atas perkenan sultan.
Badan ini juga bertujuan memantau dan mengawal langsung usaha memulihkan ekonomi negeri yang tergugat akibat perkahwinan besar-besaran yang disebutkan itu.
Sayangnya usaha Raja Muda Abdul Aziz menyelamatkan ekonomi tidak berhasil sepenuhnya kerana baginda mangkat tiga tahun selepas perjanjian pinjaman dibuat.
Namun jasa-jasa besarnya tetap diingati dan dikenang oleh rakyat Kedah sepanjang zaman.
Tunku Abdul Aziz yang bergelaran Raja Muda Kedah ketika itu mangkat pada 30 Mei 1907 sewaktu baru berusia 37 tahun. Kemangkatannya telah dipertikaikan oleh banyak pihak di istana terutama sekali oleh bondanya sendiri, Paduka Besar Wan Hajar.
Tunku Abdul Aziz sangatlah dikagumi oleh rakyat Kedah termasuk penasihat British kerana perwatakannya yang menarik dan berwibawa. Sayangnya putera raja yang bijaksana itu tidak panjang hayatnya, baginda mangkat sebelum tiba usianya.
KONGSIKAN: