Dalam sejarah kepolisan negara, tarikh 17 Jun 1968 mencatat kisah duka iaitu serang hendap pengganas komunis ke atas konvoi Pasukan Polis Hutan (PPH) yang menyaksikan seramai 16 anggota terkorban, manakala 17 yang lain cedera parah. PPH atau kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) diasaskan daripada pasukan Jungle Company semasa era darurat sebagai unit infantri pasukan polis dengan organisasi dan persenjataan sama seperti tentera.
Peristiwa serang hendap Kroh amat penting dalam mengenang kekejaman pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) kerana ia satu-satunya kejayaan besar mereka mendapat jumlah korban pasukan keselamatan yang tinggi. Kroh atau kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu ialah sebuah pekan kecil di Hulu Perak. Berkeluasan kira-kira 873.70 kilometer persegi, ia bersempadan dengan daerah Gerik, Baling di Kedah dan Betong (Thailand).
Kedudukan tersebut menjadikan pekan kecil itu cukup strategik sebagai kawasan operasi tentera dan PPH semasa memerangi pengganas komunis sekitar tahun 1960an hingga 1980an. Melalui Kroh, PPH akan masuk ke sempadan Thailand di Betong untuk menjalankan operasi sehingga ke Kelantan. Sebelum Jun 1976, hanya PPH yang boleh beroperasi dalam sempadan Thailand untuk memburu komunis.
Ia sebab gerakan bersenjata PKM disusun semula pada tahun 1958 dengan anggaran saki-baki kira-kira 600 gerila yang bersembunyi di sempadan Malaysia-Thailand. Peristiwa serang hendap itu berlaku jam 5.30 petang melibatkan konvoi kenderaan yang membawa seramai 35 anggota Platun 11, Kompeni C, Batalion 1 PPH yang berpengkalan di Ulu Kinta, Perak.
Sumber: Sinar Harian
KONGSIKAN: