Pada tahun 1959, DYMM Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah, mengumumkan khabar gembira kepada seluruh rakyat negeri Selangor dimana negeri itu telah dibersihkan dari keganasan komunis dan diisytiharkan sebagai kawasan ‘Puteh’.
Pengisytiharan ini meletakkan 85 peratus dari seluruh Tanah Melayu, dapat dibersihkan daripada ancaman komunis. Dianggarkan hanya tinggal seramai 800 orang pengganas komunis sahaja dari 10,000 orang yang memegang senjata semasa darurat diisytiharkan. Tumpasnya Timbalan Setiausaha Agong Parti Komunis Malaya, Yang Kuo, merupakan kejayaan besar bagi negeri Selangor dalam usaha menghapuskan pergerakan komunis di negeri itu. Yang Kuo merupakan pemimpin Pertubuhan Daerah Parti Komunis Malaya Bahagian Selatan dan tinggal di daerah Ulu Langat.
Beliau dan anggota-anggotanya, terkenal sebagai pengganas yang paling kejam dan degil. Pengisytiharan gembira ini melenyapkan derita rakyat negeri Selangor setelah hampir sepuluh tahun berada dalam sekatan dari pelbagai sudut.
Sumber : Arkib Negara Malaysia
KONGSIKAN: