Kita boleh fikir, selepas tahun 1957 kita merdeka kenapa pengganas komunis masih nak lawan pasukan keselamatan negara kita. Sepatutnya pengganas-pengganas komunis ini seronok bila British dah tinggalkan negara ini, perjuangan mereka melihat British pergi dah berjaya.
Rupanya tidak, bagi mereka yang pernah membaca perlembagaan Parti Komunis Malaya, mereka bercita-cita besar mahu menubuhkan republik komunis di Tanah Melayu dan mengkomuniskan penduduk di Tanah Melayu. Oleh kerana itu juga, ulama-ulama di Tanah Melayu seperti Tuan Guru Haji Bakri, Tuan Guru Yahya Toha, Tuan Guru Haji Osman Lenggong dan yang lain-lain menentang niat jahat pengganas komunis itu semua. Bukannya kita mahu menyokong British, kita juga mahu British keluar namun kita bukan terlalu bodoh menyerah pula tengkuk kepada komunis.
Lihat sahaja rundingan Baling gagal, permintaan Tunku Abdul Rahman supaya mereka meninggalkan ideologi komunisme, membubarkan Parti Komunis Malaya dan meletakkan senjata ditolak bulat-bulat.
Kekalahan Vietnam Selatan, jatuhnya Kemboja ke tangan rejim Khmer memberikan inspirasi untuk pengganas komunis terus menggila di hutan dan bergerak secara halys di bandar. Bayangkan jika bukan kerana alim ulama, polis dan tentera bangun melawan mereka, tidak mustahil orang Melayu di Malaysia tentunya senasib saudara Champa mereka di Kemboja. Semua orang tahu bertapa gilanya Mao Ze Dong, Lenin dan Pol Pot. Di Madiun, Indonesia apabila Parti Komunis Indonesia seperti cacing naik ke mata, apa sahaja kekejaman mereka tak lakukan kepada para kiyai dan pelajar persanteren, semua dibantainya. Almarhum Tun Razak melangkah bijak, melawat ke China berjaya memujuk Mao untuk tak lagi membantu pengganas-pengganas komunis di negara kita. Strategi serampang dua mata Tun Razak berjaya melemahkan kekuatan pengganas komunis dalam perang gerila.
Berkias di sebalik nama "pejuang revolusi", "pejuang pembebasan rakyat" hakikatnya hanyalah candu membodohkan anak pribumi menyakini akidah songsang fahaman komunis. Tak sedikit orang Melayu menjadi pengkhianat bangsanya sendiri dengan diperalat menjadi sebahagian anggota pengganas komunis. Kini tiada lagi ancaman mereka maka hargailah pengorbanan pejuang-pejuang kita yang mempertahankan kemerdekaan ini. Mereka semakin tua dan senja bahkan sudah ramai pulang kehadrat ilahi. Jika sejarah mereka didiamkan, generasi muda hari ini takkan pernah ambil pusing yang mereka menikmati nyenyaknya tidur kerana lelah dan peritnya datuk mereka mempertaruhkan nyawa di medan tempur.
KONGSIKAN: