Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

 #FREE_PALESTINE

Digiring ke penjara kerana kasih saudara serumpun, seagama


 

Professor Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau nama penanya Hamka, merupakan anak kelahiran Minangkabau. Seorang tokoh ulung nusantara, ulama, sejarawan, pemimpin, ahli politik dan penulis yang bijak, arif lagi berwibawa.

Buya Hamka juga hingga kini diangkat sebagai salah-seorang susuk tokoh nasional bagi negara Indonesia, dan insan mulia ini juga punya hubungan sejarah yang rapat dengan Malaysia.

Malah, kerana kasihnya dan kesanggupan Buya Hamka mempertahankan dan membela kita, saudara-saudaranya di Tanah Melayu Semenanjung, menyebabkan tempias mengenai diri Hamka lalu insan mulia ini dicerca, dinista dan dipandang serong dan tidak cukup dengan itu, Hamka dihumban ke dalam penjara oleh sahabat baiknya, Sukarno. Hamka tidak sanggup melihat dua negara yang serumpun dan seagama bertumpah darah kerana perbezaan politik dan kenegaraan. Kelantangan Hamka mengkritik operasi "ganyang Malaysia" oleh Sukarno menyebabkan beliau dianggap tidak setia kepada Indonesia.

Di dalam tirai besi inilah Hamka diherdik, dihina dan dituduh sebagai pengkhianat oleh pemerintah Indonesia ketika itu dengan melemparkan tuduhan fitnah, bahawa beliau menjual negaranya kepada Malaysia.

Hamka dipenjara pada 27 Januari 1964 dan dibebaskan pada tahun 1966. Hamka dipenjara kerana dituduh terlibat perancangan mengulingkan Sukarno yang kononnya didalangi oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Selama dipenjara itulah, insan yang juga seorang ulama dan cendekiawan ini dapat menyiapkan penulisan Kitab Tafsir al-Azhar, yang sehingga kini menjadi pedoman serta rujukan buat para asatizah dan mahasiswa serta mahasiswi di universiti-universiti.

Sukarno telah digulingkan dalam karier politiknya, terpinggir dan tersisih dek kerana sikap diktator dan pemikiran komunismenya itu sendiri.

Lantas, Sukarno menyesal diatas perbuatannya dan memohon seribu kemaafan terhadap Buya Hamka dengan memesan kepada warisnya supaya apabila beliau meninggal dunia kelak, jenazahnya hendaklah disolatkan lalu yang menjadi imamnya adalah Hamka sendiri. 





KONGSIKAN:



FOLLOW KAMI SEKARANG DI TIK TOK

SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom