Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

 #FREE_PALESTINE

Bahagian 5 : Keringat di Tanah Basah


 


Saya dan Encik Mat, penolong Penghulu tidak rasmi Mukim Tanjung Karang telah ditugaskan menguruskan pendaftaran. Kami hanya menuliskan nama dan umur mereka sahaja. Kad pengenalan pada masa itu belum ada. Lebih kurang pukul 3.00 petang selesailah kerja-kerja pendaftaran peserta. Tuan Pegawai Daerah sungguh gembira kerana seramai 627 orang telah mendaftar nama untuk terlibat meneroka tanah.

Tuan Pegawai Daerah berjanji dalam tempoh satu bulan, beliau akan menyediakan pelan tanah yang hendak dibuka dan peneroka bolehlah memulakan kerja-kerja menebang pokok di kawasan masing-masing.

Mereka yang datang dari negeri Selangor balik pada hari itu juga, yang datang dari jauh, mereka terus tinggal di Pasir Panjang duduk menumpang di rumah-rumah kawan dan juga di masjid.

Pada 2 Oktober 1946, Encik Mat dengan arahan Tuan Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor; Encik Manan telah datang ke Pasir Panjang membawa dua helai pelan tanah, satu pelan tanah kawasan Pasir Panjang dan satu lagi kawasan Sungai Leman. Encik Mat telah menerangkan kawasan hutan ini telah diukur, setiap setengah batu akan ditandakan dengan dua batang pancang besi, jarak di antara dua pancang besi itu pula sepanjang dua rantai.

Ini adalah rizab untuk jalan dan parit. Di kawasan Sungai Leman semuanya ada 6 parit iaitu Parit 7, Talir Air 7, Parit 8, Tali Air 8, Parit 9 dan Tali Air 9. Parit-parit ini menghala ke dalam hutan (ke arah Timur).

Parit-parit ini akan dikorek menggunakan kapal korek. Di antara tanah sawah dengan tanah kampung dikhaskan rizab jalan dan parit, lebarnya dua rantai juga. Rizab jalan dan parit ini memang diwujudkan dari Sungai Leman hingga ke Pasir Panjang.

Tanah yang dikhaskan untuk kampung ini adalah untuk tanaman kelapa dan buah-buahan. Pada ketika itu kawasan ini masih hutan rimba terutama kawasan Sungai Leman. Di sebelah Pasir Panjang tanahnya hanya ditumbuhi hutan belukar sahaja kerana telah diusahakan ketika masa pemerintahan Jepun dahulu.

Saya, Sidang Haji Said, Encik Abu Hj. Said, dan beberapa orang Kampung Pasir Panjang mengadakan mesyuarat. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh En. Mat ; Pemangku Penghulu Mukim Tanjung Karang. Mesyuarat ini telah memutuskan, peserta rancangan ini diberi kebebasan untük memilih kawasan yang hendak diusahakan sama ada di kawasan Pasir Panjang atau Sungai Leman. Di Pasir Panjang di ketuai oleh Encik Abu Hj. Said dan di Sungai Leman pula saya sendiri mengetuainya untuk mengatur kerja-kerja penerokaan oleh para peneroka.

Bersambung...





KONGSIKAN:



FOLLOW KAMI SEKARANG DI TIK TOK

SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom