MENGENANG AYAH
Ayah saya Ahmad Bin Saman (1933 - 2004) jarang menceritakan mengenai dirinya. Saya fikir - ayah merasakan: "Hidup yang miskin tak ada cerita untuk dikisahkan kepada anak-anak."
Cuma, saya melihat keperitan hidup ayah dengan ingatan paling mengharukan: 'Kisah hari pertama persekolahan tahun 1974'.
Pada tahun yang sama juga - kakak saya Fauziah masuk Darjah Enam dan abang saya, Fauzi masuk Darjah Tiga.
Tahun yang sukar kerana tiga anak bersekolah dan ada dua lagi adik yang belum bersekolah.
Lebih perit - sewa rumah di Kampung Koboi, Teluk Wanjah sudah tertunggak berbulan-bulan.
Pemilik rumah berkali-kali datang ketemu ibu (siang ayah berkerja) dan meminta kami berpindah.
Ayah pada waktu itu hanya ada satu kerja; sebagai buruh sapu sampah di MADA Jalan Langgar.
Atas semua kepayahan itu; ayah memujuk saya: "Pakai dulu baju raya masuk sekolah."
Abang dan kakak pula - ayah minta memakai baju lama; walaupun sudah sendat dan singkat.
Dengan gaji sekitar RM180 pada tahun itu; dan sewa rumah pula RM20 sebulan -- hidup keluarga kami bertarung dengan keadaan serba ketidakcukupan.
BAJU RAYA BAJU SEKOLAH
Saya pakai baju raya; sehelai t-shirt berkolar warna krim. Seluar pendek warna hitam dengan ada kocek berhias tenunan pistol.
Seorang wanita di kepala jalan kampung menegur: "Kenapa pakai baju raya pergi sekolah?"
Saya sentiasa teringat reaksi wajah ayah sampai sekarang; tersenyum pahit kerana teguran itu memalukan saya sebagai anaknya.
MENGADAP GURU BERI PENJELASAN
Ayah terpaksa masuk ke bilik darjah dan jumpa guru kelas.
"Anak saya belum ada baju sekolah. Bagi masa sikit... nanti saya akan belikan...."
Saya ingat pengorbanan terbesar ayah waktu itu; air mukanya yang merayu serta perasaan terbeban menanggung malu.
Walaupun baju sekolah saya pelik; tapi pada usia itu -- saya lebih simpati pada keadaan ayah yang nampak sangat bersalah.
PIATU PADA USIA 12 TAHUN
Ayah tak pernah cerita kisah hidupnya. Hanya tahun 1999 -- ketika saya terima gaji besar bulan pertama sebagai Pengurus Bilik Berita di NTV7 -- ayah datang ke rumah saya.
Kebetulan -- saya memang nak belanja ayah beli sesuatu. Walaupun selama 5 tahun berkerja -- saya sentiasa mengutamakan ayah.
Waktu itu, ayah sudah berhenti kerja MADA -- dan bergaji selesa kerana berkerja dengan sepupu ibu saya -- Datuk Abdul Rahman Ibrahim (Rahman Brothers Group).
Ketika keluar bawa ayah berjalan-jalan di Makro, Shah Alam -- tiba-tiba ayah bercerita mengenai aruah bapanya.
"Datuk hang dulu, cedera teruk dibantai orang lepas perang Jepun. Komunis syak dia kampetai; depa pukul datuk hang sampai pengsan di rel keretapi."
Tahun 1945 -- apabila Jepun kalah perang -- semua orang yang disyaki rapat dengan Jepun -- akan diburu komunis.
Datuk saya dituduh "kampetai' (tali barut Jepun).
"Tak lama selepas kena pukul teruk, datuk hang meninggal," kata ayah.
Sejak itu, ayah jadi anak yatim piatu pada usia 12 tahun.
Rumahnya masih di Kota Rentang. Tanpa harta serta kakak tunggalnya pula tak mampu menjaga ayah -- maka, ayah memilih pergi merantau.
"Aku berjalan redah bendang, sampai ke Sungai Baru," kata ayah.
Ayah kisahkan mengenai nasi putih dalam daun keladi yang dibekalkan kakaknya. Peristiwa tahun 1945 yang sangat sukar bagi seorang yang masih kanak-kanak.
MELIHAT PUNCAK NAMPAKLAH SAWAH BERPETAK
Semua kisah ini saya teringat ketika berada di Panorama Hillhigh, Napoh, Jitra pada 4 Februari 2025.
Sebab di atas puncak chalet ini, saya nampak dengan jelas tanah bendang menghijau dan luas. Serta, pemandangan antara Gunung Kerbau serta Bukit Tunjang.
Nun sayup di kejauhan -- nampak berbalam Gunung Keriang.
Kampung Sungai Baru tak jauh dari Gunung Keriang. Jadi, saya dapat bayangkan betapa sukarnya ayah berjalan kaki meredah bendang dan belukar.
"Itu kali pertama aku berbangsat," kata ayah.
(Istilah berbangsat bagi orang Kedah ialah pergi membawa diri ke tempat yang tiada saudara-mara mahupun kenalan).
HIDUP DEWASA PADA USIA KANAK-KANAK
Sejak kematian datuk saya dan usia ayah baru 12 tahun; sudah ditempuhnya hidup berdikari tanpa ibu bapa.
Ayah pergi merantau dan belajar hidup menumpang dengan menjadi budak suruhan di petak bendang.
Kerja apa saja pada musim padi; tidur di dangau menjaga hasil tuaian atau mengambil upah membanting tulang pada musim menuai.
"Zaman tu, tak ada gaji... tapi, dapat upah makan dan tidur menumpang...," kata ayah.
Saya yakin, dunia yatim piatu dengan hidup sukar di tanah oranglah -- telah menjadikan ayah saya tumbuh sebagai budak lelaki yang tabah.
Sejak itu saya faham -- kenapa ayah sentiasa bersikap: Tidak suka menceritakan kesusahan hidupnya pada orang lain.
Sepanjang saya membesar, saya lihat ayah bekerja kuat. Apabila anak-anak semakin ramai (7 orang) -- selepas waktu kerja di MADA, Jalan Langgar -- ayah ambil upah jadi penarik beca sekitar pekan Alor Setar.
Ayah berkayuh beca sepanjang petang sampai lewat malam.
Balik rumah terus tertidur. Esok, bangun pagi-pagi -- keluar lagi pergi berkerja.
KISAH AYAH DAPAT KERJA MADA
Pertama kali ketika saya dengar ayah bercerita dunia masa kecilnya; umur saya sudah 32 tahun.
Itu kali pertama dan terakhir ayah bercerita mengenai kisah hidup zaman kanak-kanaknya.
Akhirnya, lewat tahun 50an -- selepas merdeka; ayah disuruh orang pergi ke Alor Setar. Ada tersebar khabar -- MADA sedang mencari buruh kasar.
Tanpa keluarga dan hidup tak menentu sebagai anak dagang di Kampung Sungai Baru -- ayah nekad mencuba nasib di Alor Setar.
"Masa dapat kerja... aku baru menikah dan bawa mak hang pindah ke Alor Setar."
Ibu saya Yom Che Din lahir 1944. Sudah ditakdirkan jodoh -- maka, berkahwinlah dia dengan ayah saya pada usia 16 tahun.
Ibu menemani ayah yang sangat berjasa menjaga 7 anaknya; ibu juga berpenat lelah menjaga kami sekeluarga.
Ayah kembali ke rahmatullah pada 2004; ibu menyusul pada 2021.
Setiap ayah pasti berjuang; maka, hargailah jasa ayah anda.
Sumber : ZRA Strim
Gambar Allahyarham Ahmad bin Saman (1933 - 2004) dirakam pada lewat 1980an
KONGSIKAN: