Pada 24 Julai 1511, Alfonso de Albuquerque telah memanggil kesemua pegawainya berbincang akanstrategi mereka untuk menawan Melaka. Oleh sebab perbezaan pendapat dalam kalangan kapten tersebut, Albuquerque kemudian telah meminta pandangan Ruy de Araujo kerana beliau telah lama berada di Melaka dan boleh melakukan penilaian strategi yang terbaik.
Araujo kemudian menerangkan kepada Albuquerque akan pentingnya untuk memisahkan kekuatan tentera Melaka kepada dua, iaitu dengan menawan jambatan yang menghubungkan Upeh dengan bandar Melaka. Menurutnya, kawasan sempit ini cukup menempatkan hanya 100 tentera Portugis untuk dipertahankan dari asakan hulubalang Melaka.
Jika tentera Portugis dapat menguasai jambatan ini, hulubalang dan tentera upahan Melaka tidak akan dapat saling membantu kerana mereka harus menyeberangi jambatan tersebut untuk bergabung. Lain-lain kawasan, menurut Araujo mempunyai risiko dikepung oleh hulubalang Melaka kerana jumlah angkatan perang Melaka yang terlalu ramai.
Orang Cina turut menawarkan bantuan kepada Portugis tetapi Albuquerque telah menolak tawaran tersebut dengan baik dan berkata Portugis tidak pernah meminta pertolongan sesiapa dalam memerangi orang Islam kerana tuhan akan membantu mereka. Albuquerque bagaimanapun meminjam beberapa buah perahu daripada mereka bagi tujuan pendaratan.
Hulubalang dan perajurit Melaka mempertahankan jambatan tersebut bermati-matian, sambil dibantu kira-kira 700 orang tentera upahan Jawa. Askar Portugis mengenakan topi besi dan perisai badan (breastplate) sebagai perlindungan diri dalam pertempuran ini. Manakala berhampiran masjid pula Jaoa de Lima dan lain-lain kesatria Portugis berhadapan dengan pasukan pimpinan Putera Alauddin dan iparnya.
Pasukan perang Melaka ini berada di antara jambatan (yang telah dikuasai Portugis) dan pasukan Portugis yang sedang mara menuju ke jambatan untuk membantu pasukan Albuquerque memperkukuhkan pertahanan di situ. Ketika pertempuran berlangsung, Sultan tiba bersama pasukan gajah perangnya, menyerang Portugis dari arah belakang. Setiap gajah mempunyai perumah atau rengga (howdah) di belakangnya yang menempatkan komander atau pemanah.
Selain gajah, 700 hulubalang dan perajurit mara bersama-sama gajah perang ini (ada sumber lain menyebutkan 2,000 orang). Dengan menggunakan tombak sepanjang 20 kaki, tentera Portugis berjaya mencederakan dua ekor gajah, menjadikan gajah-gajah itu mengamuk. Belaku keributan apabila gajah-gajah naik minyak dan merempuh pasukan tentera Melaka sendiri, malah Sultan tercedera akibat terkena tikaman tombak di tangannya.
Pertempuran sengit yang berlaku di jambatan akhirnya menyaksikan hulubalang hulubalang dan perajurit Melaka berundur ke kawasan barat laut Upeh yang merupakan satu umpan supaya Portugis mengejar dan meninggalkan kawasan jambatan. Menyedari akan muslihat ini, Albuquerque mengarahkan Aires Pereira dan Antonio de Abreu memimpin pasukan kembali ke jambatan.
Di sana mereka diserang pula oleh pasukan simpanan Melaka yang baharu dan belum keletihan yang kemudiannya berjaya menguasai dua per tiga kawasan jambatan dari tangan Portugis, namun Portugis kemudiannya melancarkan serangan balas dan berjaya merebut kembali jambatan ini.
Jam dua petang, tentera Portugis yang telah keletihan dan kelaparan akhirnya berundur ke kapal-kapal mereka. Mereka juga tidak tahan akan bahang panas matahari ketika itu. Serangan pertama mereka menemui kegagalan.
Sumber : Helmi Effendy (thepatriots)
KONGSIKAN: