Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Perkahwinan diraja damaikan kerajaan Johor dan Pahang



Pada tahun 1881, Tun Ahmad telah mengunjungi Johor dan Singapura selama 13 bulan. Dalam kesempatan ini, baginda telah berbincang dengan Maharaja Abu Bakar mengenai kedudukannya di Pahang. 

Maharaja Abu Bakar kemudiannya telah menasihati Tun Ahmad untuk mengangkat dirinya sebagai Sultan Pahang memandangkan Pahang pada waktu itu bukan lagi sebahagian daripada empayar Johor Lama. 

Apabila pulang ke Pahang, Tun Ahmad telah mengkaji jurai keturunannya bagi melayakkannya menjadi Sultan Pahang. Akhirnya pada tahun 1882, Tun Ahmad akhirnya telah diangkat sebagai Sultan Pahang Pertama era moden oleh pengikutnya. Baginda memakai gelaran Sultan Ahmad Muadzam Shah. 

Bagi mengukuhkan hubungan antara Johor dengan Pahang pula, Sultan Abu Bakar Johor telah mengahwinkan puterinya yang bernama Tengku Mariam dengan putera Sultan Ahmad yang bernama Tengku Besar Mahmud pada 14 September 1897. Namun perkahwinan ini tidak menghasilkan sebarang zuriat. Perkahwinan ini dapatlah kiranya merapatkan lagi hubungan antara kesultanan Johor dan Pahang yang sebelum ini pernah terpalit konflik perang saudara di Pahang berikutan perebutan takhta.

Ia berpunca dari tindakan Sultan Abu Bakar Johor yang telah menyebelahi Tun Mutahir, Bendahara Pahang yang ditentang oleh Wan Ahmad. Sultan Abu Bakar mempunyai alasan yang kuat untuk membantu kerana baginda merupakan menantu Bendahara Tun Mutahir.

Tengku Mariam telah diputerikan pada 21 Disember 1871, di Istana Besar, Johor Bahru. Tengku Mariam merupakan puteri sulung kepada Sultan Abu Bakar Johor. Bondanya ialah Sultanah Fatimah.

Tengku Besar Mahmud merupakan anakanda Sultan Ahmad dengan isterinya yang bernama Che Pah. Beliau telah dilahirkan pada 4 Februari 1868. 

Pada 22 Julai 1889, Tengku Besar Mahmud telah dilantik sebagai pemangku raja bagi membantu urusan pentadbiran ayahandanya. Pada 11 Oktober 1891, beliau telah diberikan gelaran sebagai Tengku Besar Pahang iaitu gelaran bagi bakal sultan di Pahang.

Pada 13 April 1909, Tengku Besar Mahmud telah menaiki takhta sebagai Sultan Pahang yang baharu kerana ayahandanya melepaskan takhta akibat usia tua. Tengku Mariam pula dilantik Tengku Puan Besar. Pemerintahan baginda tidak lama, hanya lapan tahum sahaja kerana baginda telah mangkat pada 19 Jun 1917 di Rumah Rehat Kuala Pahang. Tengku Mariam pulang ke Johor dan mangkat pada 25 Oktober 1952 dan disemadikan di Makam Diraja Johor.

YAM Tengku Besar Pahang Tengku Mahmud Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah ketika di Government House, Singapura pada 27 Mac 1890. Keberangkatan Tengku Mahmud ke Singapura adalah sebagai wakil Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah untuk menerima lawatan Duke dan Duchess of Connaught.



Tengku Mariam









KONGSIKAN:



SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom