Pedang Cura Si Manja Kini, senjata legenda yang diselubungi pelbagai kisah. Sekali lihat rupanya, pedang berusia ribuan tahun ini mungkin tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Namun, jika dilihat kepada susur galur penceritaan di sebalik pedang ini, ia melakar banyak sejarah.
Pedang ini disebut dalam teks Sejarah Melayu, diceritakan kepunyaan Maharaja Sang Sapurba iaitu nenek moyang legenda Raja-Raja Melayu.
Berdasarkan maklumat daripada Pejabat DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan, perkataan ‘Cura Si Manja Kini’ adalah berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu ‘Churiga Mandakini’ yang bererti mata pisau dari Mandakini, sebuah tasik berhampiran dengan Sungai Ganges, India.
Adalah dipercayai, pemilik asal pedang Cura Si Manja Kini ialah Sang Sapurba yang turut dikenali sebagai Sang Nila Utama.
Mengikut Hikayat Ketinggian Salasilah Perak, keturunan Sultan Perak adalah berasal dari Sang Sapurba, anakanda kepada Raja Suran dan Puteri Mahtab Al-Bahari, yang juga merupakan pewaris takhta Raja Aftab Al-Ardzi.
Dipercayai, pedang yang sama juga telah digunakan oleh Parameswara semasa beliau ditabalkan sebagai Maharaja Melaka yang pertama. Gelaran Maharaja ini kemudiannya ditukarkan kepada Sultan apabila Parameswara memeluk agama Islam.
Almarhum Sultan Mahmud, Sultan terakhir Melaka, telah mewarisi pedang ini dan disimpan olehnya sehingga baginda menjadi Sultan Kampar-Sumatera selepas berundur dari serangan Portugis pada tahun 1511. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1530.
Sebelum mangkat, Sultan Mahmud telah menghantar anakandanya, Raja Mudzaffar Shah untuk menjadi Sultan pertama bagi Negeri Perak.
Di dalam keberangkatan Raja Mudzaffar Shah, baginda dilengkapkan dengan pedang Cura Si Manja Kini beserta alat-alat kebesaran kesultanan yang lain seperti nobat, nafiri, cop mohor halilintar serta beberapa barangan lain.
Pedang Cura Si Manja Kini yang melambangkan keagungan dan kekuasaan Raja Pemerintah, telah menjadi alat perkakas turun-temurun bagi sultan yang memerintah Negeri Perak.
Dari Sang Nila Utama pengasas kerajaan Singapura Lama, kepada Parameswara pemerintah pertama Kesultanan Melaka dan seterusnya kepada Muzaffar Syah I, Sultan Perak Pertama, pedang Cura Si Manja Kini selama ratusan tahun menjadi simbol kedaulatan dan kekuasaan dalam budaya Melayu.
Berdasarkan kepada sejarahnya, tidak hairanlah jika ia dikaitkan dengan tamadun awal Melayu di Asia Tenggara, apatah lagi ia turut mempunyai kaitan yang kuat dengan institusi diraja Melayu.
KONGSIKAN: