Kejatuhan kota Melaka pada bulan Ogos 1511 kepada tentera salib Portugis tidak bermakna Sultan Melaka mengaku kalah dan tidaklah seluruh empayar Melaka itu runtuh. Baginda telah bertindak dengan berpindah ke Johor.
Albuquerque sedar Sultan Mahmud Syah telah membuat kubu-kubu pertahanan di Batu Hampar, Bertam dan Taboh Naning yang pastinya akan cuba menawan kota Melaka semula. Beliau pula ingin mengekalkan kedudukan tentera salib Portugis di Melaka.
Walaupun Albuquerque hanya berada di Melaka hingga bulan Januari 1512, beliau dapat mendirikan sebuah kota kecil yang bernama Kota Fortaleza untuk mempertahankan serangan daripada angkatan tentera Melayu. Beliau bukan sahaja hendak menakluki Melaka selama-lamanya, malah mahu membangunkan semula aktiviti perniagaan dan perdagangan dengan segera.
Untuk mendirikan sebuah kota yang kukuh, Albuquerque telah memecahkan istana raja yang terletak di atas bukit dan masjid besar yang juga dikenali sebagai Masjid Agong Melaka yang terdapat di kaki bukit. Batu-batu yang dikumpulkan dari pecahan istana, masjid dan makam-makam raja yang terdapat di belakang masjid mencukupi untuk mendirikan sebuah kota kecil di antara Bukit Melaka, muara dan sungai Melaka yang mengandungi sebuah benteng muara yang bermenara setinggi lima tingkat.
Seramai 1,500 orang hamba abdi termasuk orang-orang Melayu yang ditangkap selepas peperangan dipaksa mendirikan kota Portugis yang pertama. Kemudian, kota kecil ini diperluaskan mengelilingi Bukit Melaka. Tidak sekadar itu pedihnya perit nenek moyang Melayu dihina, bahkan Bukit Melaka sempat ditukar namanya sebagai Bukit St. Paul. Walaupun nama Bukit Melaka telah dikembalikan semula hari ini, sejarah hitam berkenaannya tetap tertulis dengan simbahan darah para syuhada yang mempertahankan Kota Melaka daripada asakan tentera salib Portugis.
Sesungguhnya Kota Fortaleza adalah satu penghinaan besar kepada umat Melayu di nusantara. Berdirinya dinding-dinding Kota Fortaleza hasil runtuhnya istana dan masjid yang pernah menjadi kebanggaan orang Melayu di Melaka yang pernah bergelar serambi Mekkah.
Gambar diambil dari Muzium Sejarah dan Etnografi
KONGSIKAN: