Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah ghaibnya Zulaiha masih kekal misteri



Kampung Gantuk, Mentakab, Pahang
28 November 1998

Ketika kejadian umur Zulaiha enam tahun. Pagi itu Zulaiha bermain dengan adiknya, Muhamad Nur Rahman, di bawah pokok jambu mawar di halaman rumahnya. Umur Muhamad Nur dua setengah tahun. Ibu mereka, Kamariyana Osman pula sibuk menyapu sampah.

Oleh kerana sakit perut, Kamariyana tinggalkan mereka dan pergi ke tandas. Namun sekembalinya ke halaman, Kamariyana dapati Zulaiha tiada.

Ke mana hilangnya Zulaiha? Muhammad Nur berlari datang dari balik sebatang pokok sambil menjerit-jerit. Dia menangis dan memberitahu bahawa kakaknya itu jatuh di pangkal pokok jambu tersebut.

Kalau setakat jatuh, mengapa Zulaiha tiada di situ? Muhamad Nur tidak dapat berikan jawapan. Kamariayana mencari di sekeliling pokok itu, hampa.

Usaha mencari dilakukan segera. Pihak polis menghantar anjing pengesan, beberapa buah bot dan helikopter untuk menyusuri Sungai Semantan yang terletak 200 meter dari rumah Kamariyana. Namun Zulaiha tidak ditemui. Selepas lebih hampir dua minggu berusaha, operasi itu dihentikan.



Bagaimana Zulaiha boleh ghaib dalam waktu yang begitu cepat? Ada yang mengatakan Zulaiha pergi ke Sungai Semantan dan lemas. Kalau benar begitu, kenapa tiada seorang jiran pun yang nampak sedangkan Zulaiha memerlukan kira-kira 10 minit untuk ke sana. Tambahan pula Zulaiha tidak pernah pergi ke sungai tersebut. Kalau dia ke situ, tentulah bersama Muhamad Nur.

Dia lemas di sungai? Kalau benar, kenapa tidak ada kesan tapak kaki, seliparnya mahupun kesan tergelincir di tebing sungai? Mengapa mayatnya tidak dijumpai? Pihak polis sendiri dalam siasatan mereka menafikan Zulaiha pergi ke Sungai Semantan.

Dia diculik? Soalnya, mengapa ramai jiran yang pagi itu berbual dan mengemas halaman tidak melihat kejadian tersebut. Juga tidak kedengaran langsung suara jeritan, raungan atau kesan pergelutan.

Kedua, kenapa Muhamad Nur tidak diculik sekali? Muhamad Nur malah tidak memberitahu pun ada orang membawa Zulaiha pergi.



Andaian yang tinggal ialah ada pihak mengatakan, Zulaiha telah dibawa ke alam lain. Dia telah disedut masuk ke dunia ghaib oleh makhluk halus yang tinggal di pangkal pokok jambu mawar!

Kata Muhamad Petah, berlaku kejadian-kejadian pelik sebelum Zulaiha hilang. Pertama, anaknya, Siti Rofeah pernah terhidu bau wangi di pangkal pokok tersebut dan bau itu melekat pada badannya selama beberapa hari.

Esoknya, seekor kucing mereka enggan masuk ke rumah dan hanya mahu tidur di bawah pokok berkenaan. Seorang bomoh yang cuba mencari Zulaiha pula tiba-tiba berasa tubuhnya bagaikan ditarik oleh suatu kuasa ghaib ke arah pangkal pokok jambu itu. Puas dia mengelak hingga tubuhnya terpelanting.

Bomoh itu percaya, di situlah tempatnya Zulaiha ditarik masuk ke alam ghaib yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar.




KONGSIKAN:



SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom