Keris ini merupakan salah satu daripada alat-alat kebesaran Kesultanan Selangor. Ianya adalah keris yang panjang dan mempunyai Hulu Bali, sampir Madura dan agak unik kerana matanya tidak berlok. Keris ini diperturunkan dari sultan ke sultan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah sultan yang pertama mengucup keris ini ketika istiadat permasyhuran baginda.
Ada bermacam-macam versi cerita tentang asal usul Keris Panjang Beruk Berayun ini. Ada yang mengatakan keris ini berasal dari nama seorang kerabat Diraja Selangor yang bernama "Ja Berayun" yang merupakan panglima kiri Sultan Abdul Samad. Asal nama Ja Berayun adalah Raja Berayun dengan menyingkirkan nama "Raja". Dikatakan pada zaman dahulu beliau menjaga seluruh kawasan Jugra bermula dari Pengkalan Batu Hampar. Beliau dikatakan tidak bergerak di tanah tetapi bergayut dari dahan ke dahan seperti monyet. Dikatakan kini makamnya terletak di Jugra di kawasan hutan berdekatan makam Sultan Abdul Samad.
Ada juga yang mengatakan keris ini asalnya dimiliki oleh seorang panglima berketurunan Mandailing bernama Raja Borayun. Beliau dikatakan sebagai salah seorang Imam Perang Mandailing di samping Raja Asal dan Raja Bilah yang berperang menentang Sultan Abdul Samad dan putera Raja Kedah iaitu Tengku Kudin dalam Perang Kelang. Walaupun bermusuhan dan memerangi satu sama lain, Raja Borayun dimakamkan juga di Bukit Melawati atas dasar Silaturrahim dan rasa persahabatan suatu waktu dahulu. Kemudian dikatakan bahawa makam Raja Borayun dipindahkan ke kaki Bukit Jugra, Banting agar berhampiran dengan makam almarhum Sultan Abdul Samad.
Satu cerita lagi ialah dikatakan keris ini asalnya milik Tok Buruk Berayun yang berasal dari Kuala Selangor. Tok Buruk Berayun adalah moyang kepada Tok Bangau Sumbing (1860) bin Orang Kaya Dewa Pahlawan Bangau Tok Sekam bin Tok Sahi Bai bin Bai Sahur bin Tok Buruk Berayun. Orang Kaya Dewa Pahlawan Tok Sekam (Kuala Semantan) ini adalah Panglima Sultan Selangor semasa perang melawan Belanda di Kuala Selangor. Selepas tamat perang, beliau mengikut pulang angkatan Bendahara Wan Abdul Majid Pahang yang membantu Selangor ketika itu dan terus menetap di Pahang dan diberi jawatan pembesar daerah. Moyang beliaulah Tok Buruk Berayun yang dikatakan pemilik asal keris tersebut.
Dalam kepelbagaian versi cerita yang berlegar-legar dalam kalangan rakyat negeri Selangor, pihak Wangsa Mahkota Selangor, mengeluarkan kisah rasmi asal usul Keris Panjang Beruk Berayun ini. Mudah-mudahan inilah versi yang paling tepat:-
Keris Panjang Berok Berayun adalah satu alat kebesaran Diraja Selangor di dalam Adat Istiadat Pertabalan dan kuasanya serta kehebatannya boleh digambarkan dalam baris berikut:
‘Pantang di Gerak pantang di ayon”
“Bisanya menyenak Hingga ke ubun-ubun”
Bilahnya dibuat dari besi dipanggil “Lela Rentaka” (sejenis meriam orang Melayu). Nama Berok Berayon kerana, menurut legenda, keris ini pertama kali ditemui dalam milikan monyet besar (berok) yang berayun dari cabang pokok dan pada masa yang sama menyerang pejalan kaki dan membunuh 99 orang yang melalui jalan tersebut. Tragedi tersebut telah mengemparkan semua penduduk kawasan tersebut. Namun begitu terdapat seseorang telah berjaya membunuh berok tersebut dan mengambil keris tersebut dengan menggunakan kayu lembut sebagai perisai di seluruh badan, dia perlahan-lahan maju ke arah monyet dan dalam perjuangan yang memastikan beliau ditikam dengan senjata tetapi seperti yang dijangka ia kekal tertanam dalam kayu lembut yang dijadikan perisai dibadan. Lantas lelaki itu segera memegang keris dan membunuh monyet besar tersebut.
Dari maklumat yang dikumpul, keris ini pada asalnya dimiliki oleh Raja Berkat atau Raja Muhammad Saman, bergelar Tengku Panglima Raja yang datang ke Selangor dari Sulawesi pada sekitar tahun 1855. Raja Berkat telah bersurikan adinda Paduka Sri Sultan Abdul Samad yang bernama Raja Lebar dan dilantik menjadi Penghulu Mukim Kanchong didalam daerah Kuala Langat dan kemudian dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri pada tahun 1877.
Keris ini kemudiannya diwarisi oleh anaknya, iaitu Raja Mahmud dan apabila Raja Mahmud pergi ke Mekah pada tahun 1912. beliau menyampaikan keris kepada baginda Paduka Sri Sultan Sir’ Ala’uddin Suleiman Shah dan sebagai balasan Sultan memberinya $ 500 sebagai mahar untuk disimpan bukan untuk dimiliki.
Pada zaman dahulu, jika seorang lelaki yang telah didapati bersalah atas suatu kesalahan dan dihukum mati, atas perintah Paduka Sri Sultan bahawasanya manusia itu akan ditikam dengan keris pada masa itu di Bukit Melawati, Kuala Selangor. Tengku Panglima Raja yang kebetulan tinggal berdekatan disediakan keris beliau berok berayon untuk menjalankan hukuman mati. Replika keris ini jelas di dalam jata Negeri Selangor.
Sumber:
1) Selangorkini - Alat kebesaran simbol kedaulatan raja dan negeri
2) Selangor Sultanate : Part II
3) Wangsa Mahkota Selangor - Sejarah Keris Panjang Berok Berayon
KONGSIKAN: