Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

 #FREE_PALESTINE

Ada yang masih bernyawa, dikubur hidup-hidup - Arumugam




Arumugam Kandasamy (kiri) menceritakan azabketika terlibat dengan projek landasan kereta api maut

Disember 2017, Selepas 75 tahun berlalu, Arumugam dijemput menjadi panel wacana anjuran Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM) dan Death Railway Interest Group (DRIG).

Dalam usia tuanya, mengenang peristiwa lampau memang sangat sukar, ditambah dengan kemarahan dan dendam yang belum padam. Malah, sepanjang acara itu juga Arumugam beberapa kali menyebut, beliau bernasib baik kerana masih hidup dan dapat pulang ke kampung halamannya di Rantau, Negeri Sembilan kerana ditugaskan sebagai penterjemah.

Jika turut dikerah membina jambatan maut yang menghubungkan Siam (Thailand) dan Burma (Myanmar) itu, Arumugam sendiri ragu-ragu apakah beliau mampu bertahan untuk terus hidup.

"Saya dibawa ke Nikki, sempadan Siam dan Burma ketika berusia 15 tahun. Bersama saya adalah abang kandung dan 48 penduduk Estet Ling Seng, Rantau.

"Ketika Jepun datang ke estet, mereka mengajak kami ke sana untuk memulakan hidup baharu. Kami hanya berfikir untuk berniaga atau bekerja mencari duit," katanya dalam sesi yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh cucu bekas buruh paksa, Ganapathy.

Kemarahan belum reda

Dibawa ke sana pada 1942, Arumugam melihat sendiri abang kandungnya meninggal dunia akibat penyakit dan mayatnya tidak diuruskan sebaik mungkin.

"Hingga sekarang walaupun sudah 75 tahun, marah saya masih belum reda dan tidak pernah ingin kembali ke sana," katanya.

Sejarah pembinaan landasan kereta api merentasi Sungai Kwai yang menghubungkan Siam dan Burma memang penuh tragik. Selain 13,000 tawanan perang dalam kalangan anggota tentera bersekutu yang dikurung di Penjara Changi, Singapura, ia turut membabitkan lebih 100,000 buruh paksa dalam kalangan orang awam penduduk Tanah Melayu, Indonesia, Thailand dan Burma.

Tentera Jepun mengawasi buruh-buruh landasan kereta api

Mengimbau kembali perjalanan beliau ke Nikki, Arumugam berkata, mereka bertolak dari estet ke Singapura menaiki lori sebelum menuju Saigon dengan kapal hingga ke Phnom Penh dan akhirnya ke Kanchanaburi, Siam. Dari Kanchanaburi, Arumugam dan kumpulan pekerja lain berjalan kaki ke Nikki yang mengambil masa 12 hari.

Mayat disusun seperti benteng

"Sepanjang perjalanan saya melihat mayat bergelimpangan. Waktu itu hati saya sudah kecut, apakah saya boleh kembali ke Rantau dengan selamat?

"Tiba di kem Jepun di Nikki, lebih banyak mayat ditemui, tetapi disusun seperti benteng," katanya.

Arumugam dalam usia 90 tahun kelihatan masih sihat dan gagah melangkah. Malah ingatannya terhadap kepedihan 75 tahun lalu masih sangat segar. Patah katanya pantas dan laju bercerita mengenai kehidupan di kem sepanjang hampir dua tahun yang disifatkannya sangat menyayat hati.

"Kami hanya makan sehari sekali tetapi dikerah bekerja setiap hari dengan tempoh masa yang panjang"

"Ramai orang mati sebab makanan yang tidak bersih, cirit-birit yang berpanjangan dan masalah kesihatan seperti luka yang lama-kelamaan menjadi bernanah, membesar serta membuatkan pergelangan kaki menjadi genting," katanya.

Mangsa dibuang hidup-hidup

Paling sukar dilupakannya adalah kawasan yang dinamakan Sangili yang terletak jauh sedikit dari kem. Di situ, terdapat lubang besar digali untuk menghumban mayat.

"Adakala saya melihat orang yang belum mati tetapi sakit teruk dicampakkan ke lubang itu," 

Arumugam menyebut kerana tugasnya sebagai penterjemah, beliau boleh dikira bernasib baik berbanding kawan-kawan yang lain. Bagaimanapun tentera Jepun selalu bersamanya kerana ingin tahu apa yang dibualkan oleh buruh paksa berbangsa India.

Hampir dua tahun di Nikki, projek membina landasan kereta api sejauh 420 kilometer itu siap sepenuhnya pada Disember 1943. Ketika itulah, kata Arumugam, beliau dihantar kembali ke Singapura untuk balik ke Tanah Melayu.

Hanya tujuh selamat

Daripada 50 buruh paksa yang datang bersamanya ke Nikki, hanya tujuh orang berjaya pulang dengan selamat.

Berkongsi bagaimana beliau boleh mempelajari bahasa Jepun, Arumugam menjelaskan proses pembelajarannya berlangsung secara tidak formal.

"Saya belajar dengan kamus yang mudah didapati di estet ketika itu. Dari situ, saya boleh membina ayat mudah dan faham bahasa mereka," katanya yang disokong oleh pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang turut diundang sebagai panel jemputan.

Bukan luar biasa Arumugam dapat mempelajari bahasa Jepun menerusi kamus kerana sebelum Jepun menawan Tanah Melayu, mereka sudah memiliki beberapa estet di Negeri Sembilan.

Sumber : Berita Harian





KONGSIKAN:



FOLLOW KAMI SEKARANG DI TIK TOK

SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom