Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Demang Lehman : sang syuhada dikebumikan tanpa kepala



Demang Lehman yang gugur syahid di tali gantung, tetap menjadi pahlawan di kalangan masyarakat khusus di kalangan etnik berketurunan Banjar. Demang Lehman dengan gagah berani menjadi Panglima Perang Banjar sehinggakan penjajah Belanda sangat gerun bertentang mata dengannya.

Demang Lehman dilahirkan pada tahun 1832 di Barabai, Hulu Sungai Tengah, Kalimantan Selatan Indonesia, dan mati syahid di Martapura pada 27 Februari 1864 pada usianya 32 tahun.

Beliau merupakan salah satu panglima perang yang berperanan penting dalam Perang Banjar. Nama asalnya adalah Idies namun ia digelar "Kiai Demang" kerana kecekapannya menjadi ketua pentadbiran daerah di Riam Kanan dalam wilayah kesultanan Banjar serta merupakan pembantu kanan kepada Pageran Hidayatullah, Sultan Banjar ketika itu.

Apabila meletusnya perang dengan penjajah Belanda, Demang Lehman pada 30 Ogos 1859 telah memimpin 3,000 mujahidin mengempur Istana Bumi Selamat yang pada ketika itu ditawan oleh Belanda sehingga menyebabkan Leftenan Kolonel Boon Ostade hampir terbunuh.

Keberanian luar biasa Demang Lehman bersama pasukan mujahidin berjaya merampas kubu pertahanan Belanda di Tabaniau. Peristiwa tersebut menimbulkan kemarahan kepada Belanda lantas mengirimkan kapal perang untuk menawan semula kubu pertahanan tersebut daripada pasukan Demang Lehman. Pertempuran sengit telah meletus ketika serbuan tentera Belanda di bawah pimpinan Leftenan Cronental namun Belanda tetap gagal dan berundur.

Serangan kedua dilancarkan oleh tentera Belanda untuk menawan kubu Tabaniau namun kali ini Demang Lehman dibantu pahlawan dan ulama Banjar lainnya seperti Kiyai Lang Lang dan Penghulu Haji Buyasin. Serangan kali kedua ini, sekali lagi berjaya menghambat tentera Belanda berundur. Meskipun tentera Belanda mempunyai persenjataan lengkap dan angkatan laut yang yang kuat, namun pasukan Demang Lehman mampu bertahan.

Pada tahun 1861, sekali lagi Belanda melancarkan serangan untuk membalas dendam untuk menebus kekalahan mereka sebelumnya. Maka tercetuslah pertempuran sengit antara kedua pasukan.

Pertempuran demi pertempuran dan asakan berterusan menyebabkan pasukan Demang Lehman berundur namun perang gerilanya terus memalukan tentera Belanda. Tentera Belanda berjaya merasuah beberapa orang tentera Demang Lehman untuk membocorkan rahsia keberadaannya. Pengkhianatan itu akhirnya menyebabkan beliau berjaya ditawan oleh tentera Belanda. 

Beliau ditangkap ketika sedang menunaikan solat subuh dan seperti di dalam gambar, lehernya dijerut dengan tali sebagai sebahagian penyeksaan ke atas beliau. Tidak terhenti di situ, penjajah Belanda juga mengugut sesiapa sahaja yang ingin melawatnya di penjara akan dianggap punyai pertalian dan bersubahat debgan beliau dan akan turut dihukum. 

Akhirnya takdir Allah taala telah sampai, Demang Lehman dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan beliau sehingga nafas terakhir tetap enggan tunduk untuk berpaling tadah kepada penjajah Belanda. Diceritakan ketika hendak digantung, beliau enggan kepalanya ditutup dan anak matanya tajam melihat ke arah pegawai-pegawai Belanda dengan pandangan penuh kebencian. Penjajah Belanda dengan sengaja mengaibkan beliau apabila hukuman gantung itu dijalankan ketika bulan Ramadhan dan beliau digantung sehingga mati dalam keadaan sedang berpuasa.

Tidak cukup dengan itu, selepas dihukum mati, kepala jenazah Demang Lehman dipenggal dan kini kepalanya masih disimpan di muzium Leiden di Belanda. Maka bersemadilah jenazah assyahid Demang Lehman tanpa kepala yang mana darahnya menitis mengobarkan api semangat kepahlawanan dan keberanian orang Banjar meneruskan jihad terhadap penjajah Belanda.

Wajah assyahid Demang Lehman ketika dalam tawanan tentera Belanda.




KONGSIKAN:



SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom