Pada penghujung 1531, seorang penakluk dari Sepanyol sampai di Peru. Namanya Francisco Pizarro. Mukanya lonjong berjambang. Pizarro datang dengan kapal perang bersama 180 orang tentera dan 30 ekor kuda.
Tujuan si muka lonjong itu ialah, pertama untuk meluaskan lagi jajahan takluk di Amerika Selatan. Kedua, menjadi kaya raya dengan mengaut hasil bumi negara yang ditakluki. Pizarro telah mendapat maklumat yang Peru kaya dengan emas serta perak. Jadi, inilah peluangnya.
Sampai di Peru, Pizarro mendapat berita dua orang pewaris kerajaan Inka sedang berperang sesama sendiri. Mereka ialah Atahualpa dan Huascar, putera maharaja Huayna Capac.
Apabila Huayna meninggal dunia akibat cacar pada 1427, empayar Inka yang ketika itu berada di puncak kegemilangan dengan jajahan yang luas meliputi Quito (Ecuador), Bolivia, Columbia, Chile, Argentina serta Peru, diserahkan kepada dua beradik tadi.
Huascar memerintah dari bahagian Selatan. Pusat pemerintahannya di Cusco. Atahualpa pula di Utara bermula dengan Quito.
Tetapi perasaan tamak menguasai kedua-dua beradik itu. Perebutan kuasa mula berlaku, perang saudara meletus yang mengorbankan ribuan nyawa. Huascar akhirnya tewas. Dia dibunuh, tenteranya dilanyak hingga lari bertempiaran.
Semua ini disaksikan oleh Pizarro. Dia membiarkan saja tapi dalam masa yang sama menyusun strategi.
Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila mendapat berita Atahualpa bersama-sama 30,000 tenteranya sedang bergerak menuju ke Cusco untuk menuntut takhta pemerintahan Inka. Dalam perjalanan itu, mereka berehat berhampiran Cajamarca, utara Peru.
Pada 15 November 1532, Pizarro menghantar wakilnya untuk berjumpa Atahualpa di Cajamarca. Atahualpa setuju, lalu bertolak bersama 6,000 orang tentera pengiring.
Di sinilah bermulanya sebuah tragedi. Di Cajamarca, Pizarro mengarahkan Atahualpa supaya menyerah kepada penjajah Sepanyol. Bukan itu saja, Atahualpa diarahkan supaya membuang tuhannya dan memeluk agama orang Sepanyol. Masyarakat Inka percaya kepada mitologi kuasa agung alam semesta.
Atahualpa ketawa mendengar permintaan Pizarro. Masakan dia perlu menyerah, sedangkan empayar Inka ini kepunyaan nenek moyangnya. Seluruh pergunungan Andes pun ditawannya, inikan pula pendatang Sepanyol.
Lagipun, kata Atahualpa, tentera Sepanyol cuma 180 orang saja. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan tentera jajahan takluknya yang bertebaran di tanah tinggi dan tanah datar.
Sejurus permintaannya ditolak, Pizarro terus memberikan isyarat kepada tenteranya yang bersembunyi di dalam bangunan-bangunan kosong di Cajamarca, supaya menyerang tentera Atahualpa.
Serangan mengejut itu menyebabkan tentera Atahualpa kucar-kacir. Dengan hanya bersenjatakan kapak batu, lastik serta perisai kayu, mereka tidak mampu berdepan serangan tentera Sepanyol yang bersenjatakan meriam, senapang dan pedang.
Mereka dikejar dan dikepung oleh tentera berkuda Sepanyol. Mana yang terjatuh, mati dipijak kuda-kuda tersebut. Yang cuba melawan, ditembak, dipancung dan ditetak.
Di akhir pertempuran, lebih 2,000 tentera Atahualpa terbunuh. Atahualpa sendiri ditangkap dan dipenjarakan di Cajamarca. Di sebelah Sepanyol, hanya lima orang sahaja yang terbunuh.
Kekalahan itu menyebabkan empayar Inka menjadi lemah. Moral rakyatnya merudum. Tambahan pula penyokong Huascar berpaling tadah kepada Sepanyol.
Atahualpa yang terkejut dengan kekalahan itu, menawarkan tebusan agar dirinya dibebaskan.
Sepanyol setuju. Untuk itu, rakyat Inka dikerah supaya mencungkil dan mempersembahkan semua ketulan-ketulan emas serta perak yang ada di seluruh empayar tersebut kepada Pizarro. Antaranya ialah kepingan emas yang menyalut dinding Kuil Matahari di Cusco.
Dalam tempoh dua bulan, sejumlah 11 tan emas dipersembahkan kepada Pizarro sebagai bayaran untuk pembebasan Atahualpa.
Adakah Pizarro berpuas hati? Tidak!
Setelah mendapat kekayaan yang dicari-carinya, Pizarro merasakan tidak ada gunanya lagi dia menyimpan Atahualpa. Lantas Pizarro mendakwa Atahualpa atas kesalahan menentang kekuasaan Sepanyol, menyembah berhala dan membunuh Huascar!
Seperti diduga, Atahualpa didapati bersalah dan dihukum bakar sampai mati. Atahualpa ketakutan. Ini kerana, dalam kepercayaan tradisi Inka, roh orang yang mati dibakar tidak akan dapat berpindah ke alam akhirat.
Atahualpa tersepit. Dia meminta hukuman ke atasnya ditukar. Pizarro setuju tapi dengan syarat Atahualpa mestilah sedia dibaptiskan menjadi Kristian Katolik. Atahualpa tidak mampu berbuat apa-apa lagi.
Adakah selepas itu Atahualpa dibebaskan? Oh, tidak sama sekali.
Selepas dikristiankan, Pizarro menjatuhkan pula hukuman gantung ke atasnya. Pada 29 Ogos 1533, hukuman itu dijalankan dan Atahualpa terkulai tidak bernyawa.
Setelah menjarah emas, Pizarro mengkristiankan Atahualpa sebelum dia menjatuhkan hukuman mati ke atas pemimpin empayar Inka itu.
Dengan kematian Atahualpa, maka berakhirlah empayar gemilang Inka di seluruh Amerika Selatan, digantikan dengan penjajahan zalim bangsa Sepanyol.
Kebetulan ketika itu rakyat Inka ramai yang mati akibat berjangkit bawaan kaum penjajah, terutamanya cacar dan campak. Ditambah lagi dengan perpecahan dan pengkhianatan di kalangan rakyat, ini memberi peluang kepada penjajah Sepanyol bermaharajalela.
Mereka melanyak orang Inka dengan secukup-cukupnya. Mereka dihina, diseksa, dibunuh dan dilayan seperti haiwan. Mana-mana pemimpin Inka yang cuba memberontak akan ditangkap dan dihukum bunuh di hadapan orang ramai. Hukuman itu dijalankan di sebuah tanah lapang di hadapan dua buah gereja.
Gereja pertama, Katedral Santo Domningo yang dibina oleh Sepanyol di atas tapak Kuil Matahari yang telah penjajah itu runtuhkan. Kuil Matahari merupakan kuil utama kaum Inka, dinding dan lantainya disalut dengan kepingan emas serta perak.
Gereja kedua pula, La Compania yang dibina Sepanyol di atas runtuhan tapak istana maharaja Inka, Huayna Capac.
Bersama runtuhnya kuil serta istana tadi, maka runtuh dan hancurlah maruah kaum Inka di kaki penjajah Sepanyol.
Selama tahun rakyat Peru bangun menebus maruah serta kemerdekaan mereka, tetapi gagal. Mereka hanya beroleh kemerdekaan pada 18 Julai 1821 melalui Jeneral Jose San Martin dari Argentina dan Simon Bolivar dari Venezuela.
Kedua-dua panglima perang itu jugalah yang membebaskan Argentina, Chile dan Peru dari penjajahan Sepanyol. Sepanjang 300 tahun itu, bermacam-macam kezaliman menimpa rakyat Peru.
Sambutan kemerdekaan Peru dijalankan di tanah lapang yang kini diberi nama Huacaypata (Dataran Pahlawan), di Cusco.
Hari ini masyarakat asal Peru tidak lagi menyembah dewa dewi alam semesta, tetapi menganut Kristian Katolik. Bahasa Sepanyol menjadi bahasa rasmi. Bahasa asal nenek moyang mereka iaitu Quechua dan Aymara pula menjadi bahasa kedua.
Suatu ketika dahulu, Inka suatu bangsa yang hebat dan pernah mempunyai empayar terbesar di dunia. Tapi akhirnya telah dizalimi oleh penjajah Sepanyol.
Sumber : UtusanTV
KONGSIKAN: