Tuan Haji Nyak Gam Bin Nyak Abdullah dilahirkan pada tahun 1897 di Acheh. Beliau berhijrah ke Tanah Melayu bersama bapanya mengikuti seorang ulama bernama Teungku Muhammad Daud Imam dengan tujuan untuk memugar tanah bagi penanaman pala dan getah. Beliau mempunyai seorang saudara kandung bernama Nyak Fatimah.
Ayahnya, Nyak Abdullah Bin Yusof atau disebut Peutua Lah atau disebut Cut Abdullah atau masyhur dengan panggilan Panglima Nyak Abdullah Cut Yusof adalah seorang hartawan. Di kampung Ruat, beliau sangat terkenal serta memiliki tanah yang luas dan mempunyai ramai pekerja.
Tidak dapat dipastikan dimanakah Tuan Haji Nyak Gam mendapat pendidikan agama tetapi menurut warisnya, beliau hanya mampu membaca dan mengajar bahasa Jawi sahaja.
Pada tahun 1911, sebuah sekolah didirikan di tepi Sungai Pekan Yan dan diberi nama Sekolah Melayu Yan. Pada tahun 1973 sekolah ini bergabung dengan Sekolah Perempuan Yan. Nama sekolah ini telah bertukar beberapa kali daripada Sekolah Melayu Yan kepada Sekolah Kebangsaan Yan. Pada tahun 1982 sekolah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam sempena dengan nama tokoh ini dan sekolah ini merupakan sekolah yang tertua di daerah Yan.
Pada 1 Februari 1955, Tuan Haji Nyak Gam telah dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Negeri (bukan pegawai) dalam Majlis Mesyuarat Negeri Kedah oleh Sultan Badlishah dan beliau memegang jawatan tersebut sehingga 1963.
Pada pilihanraya pertama tahun 1959, Tuan Haji Nyak Gam telah bertanding melawan Tuan Guru Haji Nawawi Bin Haji Abdul Rahman bagi kawasan Yan-Merbok. Beliau mewakili parti Perikatan. Tuan Haji Nyak Gam menang dengan majoriti 6,717 manakala Tuan Guru Haji Nawawi pula mendapat 1,781 sekaligus membuatkan beliau menjadi wakil rakyat pertama di daerah berkenaan.
Tuan Haji Nyak Gam turut bersepakat dengan Nyak Maun Cut Ali membentuk syarikat The Yan Bus Transport Company berpengkalan di Guar Chempedak. Perkhidmatan bas ini disediakan dari Yan ke Guar Chempedak dan Gurun ke Jenjang. Usaha ini juga adalah jasa beliau yang cukup besar kerana memudahkan rakyat di daerah Yan untuk melakukan urusan mereka dengan cepat.
Beliau telah berkahwin dengan Nyak Aminah Binti Teuku Hamzah dan dikurniakan 3 orang cahaya mata, iaitu Yushak, Jamaliah dan Khadijah dan perkahwinan beliau yang kedua dengan seorang wanita tempatan dianugerahkan 3 orang anak iaitu Abdullah, Kalthom dan Sofiah. Tuan Haji Nyak Gam bernikah yang ketiga, juga dengan gadis tempatan memperolehi seorang anak bernama Rokiah. Selain itu beliau juga ada mengambil seorang anak angkat bernama Abdul Hamid.
Atas jasa beliau, Tuan Haji Nyak Gam dianugerahkan pingat A.M.K dan J.P oleh paduka Sultan Kedah.
Tuan Haji Nyak Gam akhirnya meninggal dunia pada tahun 1972 dalam usia lebih kurang 75 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, Yan.
Sumber : Tengku Yusuff
KONGSIKAN: