Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

SU Auegcas : Pembantu Tadbir terus dipandang sepi dan dianaktirikan



Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (Auegcas) mendakwa kerajaan terus menganak tiri mereka apabila tidak menaik taraf kelayakan memohon skim perkhidmatan pembantu tadbir.

Setiausaha agungnya Amir Hamzah Ali Yakat berkata melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baru diperkenalkan kerajaan, skim perkhidmatan pembantu tadbir masih kekal menggunakan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak lebih 60 tahun lalu.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seharusnya sudah lama menilai kembali kelayakan masuk ke skim perkhidmatan tersebut memandangkan skop kerja yang berubah seiring perubahan zaman.

"Kami telah mengutarakan perkara ini sejak dari 2004 lagi melalui kertas-kertas kerja, bengkel majlis bersama kerajaan (MBK), sesi libat urus skim perkhidmatan selain pertemuan dengan pemegang taruh.

"Pelbagai input dan justifikasi dengan pelbagai saluran kami salurkan mengenai perkara ini, namun ia dipandang sepi dan terus dianaktirikan," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Menurutnya, banyak skim perkhidmatan lain sudah dinaik taraf malah ada perjawatan tertentu yang dulu rendah, kini sudah setaraf dengan skim perkhidmatan pembantu tadbir.

"Suatu masa dulu, kerani lebih dipandang berbanding guru.

"Apabila disebut bekerja sebagai kerani lebih mudah orang terima nak buat menantu," katanya dengan nada berseloroh ketika dihubungi.

Tambah Amir Hamzah, skim tersebut merupakan nadi utama yang sinonim dengan urusan pentadbiran kerajaan dan tenaga utama yang menggerakkan dasar-dasar negara.

Justeru, tegasnya, Auegcas menuntut supaya syarat kelayakan akademik bagi skim pembantu tadbir di ubah kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf.

"Ia selaras dengan keperluan semasa skim perkhidmatan ini kerana pembantu tadbir sekarang melaksanakan tugasan beraras tinggi berbanding syarat kelayakan masuk sejak dari 1950-an.

"Bahkan kerajaan sering menekankan supaya pembantu tadbir membuat tugasan yang memerlukan pelbagai kemahiran (multitasking).

"Tugasan-tugasan ini memerlukan idea dan kemahiran yang tidak dapat diperoleh pada tahap pendidikan SPM saja, malahan atas daya inisiatif penjawatnya hampir 70 peratus pembantu tadbir mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada SPM," katanya.

Auegcas kini mempunyai keahlian lebih 8,000 orang di seluruh negara dan menurut Amir Hamzah, mereka ditenteramkan oleh kesatuan itu daripada mengadakan piket.

"Kesatuan berharap mereka bersabar. Kami percaya sebagai sebuah kesatuan kebangsaan yang tertua dengan legasi kepimpinan yang terbilang kami akan terus berusaha.

"Tambahan pula Auegcas bergabung di bawah Public Service International (PSI) di peringkat antarabangsa, selain bernaung di bawah Cuepacs dan MUTC," ujarnya yang turut menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi perhatian kepada isu berkenaan.

Sumber : Malaysiakini




KONGSIKAN:



SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom