Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Berapa banyak Piramid wujud di Mesir





Kita sudah biasa dengan tiga piramid ikonik di Giza. Tapi tahukah anda yang sebenarnya terdapat lebih 100 buah piramid bertebaran di seluruh Mesir!

Umum mengetahui, piramid yang kita lihat sekarang di Mesir merupakan binaan-binaan gergasi gah yang dibina ketika zaman Mesir Purba. Kita juga tahu, piramid-piramid ini dibina dengan tujuan sebagai makam bagi menempatkan jasad para firaun.

Berbalik kepada soal bilangan piramid di Mesir. Secara tepatnya, Mesir ada 118 buah piramid yang ditemui. Kira-kira 80 buah kini berada di Sudan. Kebanyakan piramid ini dibina sewaktu era Kerajaan Lama (2686-2181 SM). 

Ketika zaman itu, reka bentuk piramid tengah ‘trending’ di kalangan Firaun untuk dijadikan makam buat mereka. Selain piramid di Giza, tapak piramid yang terkenal juga ada di Dahshur, Saqqara, dan Meidum.

Tapak-tapak ini menampilkan piramid yang dibina oleh para Firaun yang berbeza dengan mempamerkan pelbagai gaya dan teknik seni bina. Penting untuk kita tahu yang tak semua piramid dibina untuk Firaun sahaja. 



Ada juga piramid kecil yang dibina untuk ratu, pegawai kerajaan, dan golongan bangsawan lain. Walaupun kecil, namun piramid ini kekal sebagai bukti keunikan sejarah yang ada pada tamadun Mesir purba.

Di antara piramid-piramid yang terkenal, Piramid Bengkok di Dahshur menarik perhatian ramai kerana bentuknya yang unik. Reka bentuknya yang berubah sudut di tengah-tengah mencerminkan usaha eksperimen awal dalam pembinaan piramid oleh Firaun Sneferu. Sementara itu, Piramid Merah yang juga dibina oleh Sneferu di Dahshur dianggap sebagai piramid sempurna pertama yang berjaya disiapkan dengan sempurna.


Namun begitu, tradisi pembinaan piramid mula kurang mendapat sambutan menjelang Era Kerajaan Baharu (1550 - 1069 SM). Para Firaun zaman ini lebih suka untuk membina makam secara tertutup di Lembah Para Raja di Luxor, oleh kerana ancaman perompak makam yang kian meningkat. Lembah Para Raja menjadi tempat persemadian bagi raja-raja yang lebih baru seperti Tutankhamun dan Ramses II.

Walau bagaimanapun, keunikan piramid tidak dapat dinafikan. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai makam tetapi juga mencerminkan kepercayaan agama dan kemajuan teknologi tamadun Mesir Purba. Struktur-struktur ini dibina dengan ketelitian dan kepakaran yang tinggi, menunjukkan kemajuan ilmu kejuruteraan dan matematik pada masa itu.

Pada akhirnya, walau berapa pun jumlah piramid yang ada, piramid-piramid ini kekal menjadi bukti pencapaian luar biasa tamadun Mesir Purba. Selain menjadi ikon keagungan peradaban manusiawi, piramid-piramid ini juga mengingatkan kita akan kebijaksanaan dan kreativiti nenek moyang kita.

Dengan setiap batu yang tersusun rapi, piramid-piramid ini mengukir sejarah yang tidak akan dilupakan, menjadikannya salah satu keajaiban dunia yang sentiasa dikagumi dan dipelajari.

Sumber : Fakhry Harraz



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom