Dalam tahun lima puluhan ramai peneroka yang lari balik kampung meninggalkan tanah yang diberikan untuk mereka mengerjakannya. Ini adalah disebabkan berbagai kesusahan yang mereka alami seperti kalau mereka mengidap penyakit, sangat susah mendapatkan ubat kerana klinik dan hospital sangat jauh. Setakat yang ada pun hanya di Tanjung Karang dan Kuala Selangor. Isteri mereka yang mengandung tidak mendapat rawatan dan bila bersalin tidak ada bidan, tambahan pula wang perbelanjaan tidak cukup. Jalan dan parit baharu mula dibuat dan setengahnya belum siap. Kawasan crossban satu ke atas masih lagi belum bersih ditebang.
Hutannya berpulau-pulau, mereka tidak sanggup menebang pokok yang dua tiga pemelok besarnya, lebih-lebih lagi pokok kayu kempas yang sangat keras. Kapak yang mereka gunakan hanya sebesar empat jari sahaja.
Penghulu Pasir Panjang Datok Wan Hassan, saya, Sidang Hj. Said dan Sidang Abu berunding untuk mengatasi masalah kawasan yang belum ditebang. Datok Penghulu mencadangkan kerja ini diserahkan kepada kontraktor. Beliau kenal seorang kontraktor yang biasa mengusahakan menebang pokok yang besar-besar menggunakan tenaga orang asli namanya Raja Ailan yang tinggal di Batu Laut, Daerah Kuala Langat, Selangor. Kami pun membuat keputusan mengadakan perjumpaan dengan Raja Ailan. Pada hari yang ditetapkan kami pergi ke Batu Laut berunding dengan Raja Ailan, keputusannya beliau sanggup mengambil kerja ini.
Sekembalinya dari Batu Laut, kami berjumpa dengan Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor, Encik Manan untuk memaklumkan kepada beliau di atas usaha kami mengatasi masalah menebang pokok. Beliau bersetuju kontrak ini diberikan kepada Raja Ailan.
Usaha menyiapkan penebangan pokok ini berlaku dalam tahun 1948. Raja Ailan membawa 40 orang sakai bersamanya. Mereka datang dengan motorbot, mendarat di Kuala Pasir Panjang. Mereka dibekalkan dengan barang makanan yang diambil dari kedai kolinis di Pasir Panjang sebelum masuk ke dalam hutan di Pasir Panjang dan Sungai Leman. Di dalam hutan sakai ini tidak membina pondok, mereka membawa guni. Guni ini mereka ikat di antara dua batang pokok dijadikan buaian. Di dalam buaian inilah mereka berehat dan tidur di waktu malam.
Cara mereka menebang pokok berlainan dari kebiasaan. Saya lihat mereka menyandarkan sebatang kayu yang ditakok-takok ke batang pokok yang hendak ditebang. Kayu ini dijadikan sebagai tangga, tingginya lebih kurang 5 ke 6 kaki. Di atas tangga ini mereka berdiri dan badan mereka dibelitkan dengan akar kayu dan diikat ke batang kayu yang hendak ditebang. Mereka menggunakan kapak beliung sebesar 2 inci menebang pokok-pokok yang besar. Semasa menebang di sebelah kanan, tangan kanan menebang dan tangan kiri memegang akar kayu yang membelit badannya. Semasa menebang di sebelah kiri, tangan kiri menebang pokok dan tangan kanan memegang akar kayu yang membelit badannya. Apabila pokok kayu ini tumbang mereka melompat ke atas tunggul kayu yang ditebang tadi. Dalam masa empat bulan kerja menebang hutan yang belum ditebang telah dapat disiapkan.
Selain dari upah yang mereka dapati, 4 keluarga sakai ini telah diberikan tanah seluas 12 ekar. Mereka ini juga mendapat bantuan seperti penoraka lain.
Bersambung..
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: