Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Perang Klang, konflik berdarah pembesar Selangor



Pada tahun 1849, Sultan Selangor ketiga iaitu Sultan Muhammad Shah ibn Sultan Ibrahim Shah telah meletakkan wilayah Klang di bawah pentadbiran Raja Abdullah bin Raja Ja’far (dari Pulau Penyengat) bergelar Orang Besar Klang. 

Pada tahun 1866, Raja Abdullah telah memajak Klang kepada dua orang pendatang asing dari Singapura - William Henry Macleod Read dan Tan Kim Ching (anak Tan Tock Seng).

Kedua-dua saudagar itu kemudiannya keluar memungut cukai daripada penduduk-penduduk Klang. Salah seorang daripada penduduk tersebut adalah Raja Mahadi bin Raja Sulaiman yang bergelar Engku Sri Paduka Shahbandar, cucu Sultan Muhammad itu sendiri. 

Sebelum Raja Abdullah dilantik sebagai Orang Besar Klang, bapa Raja Mahadi pernah menyandang kedudukan tersebut. Ini memberi Raja Mahadi satu kedudukan yang tinggi di kalangan orang Melayu di Klang. Oleh itu, Raja Mahadi rasa terhina apabila orang luar datang mengutip cukai daripadanya. Dengan perasaan marah, Raja Mahadi enggan membayar cukai kepada dua saudagar tersebut. 

Pada tahun 1857, Sultan Muhammad mangkat dan anak saudara baginda, Sultan Abdul Samad Shah ibni Raja Abdullah menaiki takhta sebagai Sultan Selangor. 

Seperti Sultan sebelumnya, kuasa baginda amat terhad dan tidak mampu mengawal kuasa tokoh pembesar yang lebih berpengaruh. 

Oleh itu, Perang Saudara Klang pun tercetus pada tahun 1867 akibat masalah penguasaan daerah dan perebutan hasil pungutan cukai. 

Pertempuran itu bermula dengan kegagalan Raja Abdullah untuk menangani pertikaian yang timbul di antara pengikut Tok Bandar Yasih, wakil Raja Abdullah di Kuala Lumpur dengan masyarakat Batu Bara yang dipimpin oleh Mohamed Akib. 

Mohamed Akib yang tidak berpuas-hati dengan Raja Abdullah telah meminta Raja Mahadi menentang Raja Abdullah. 

Maka pada Mac 1867, penyokong Raja Mahadi telah berjaya menewaskan penyokong Raja Abdullah. Raja Abdullah telah cuba untuk menawan semula Klang tetapi tidak berjaya. 

Dalam konflik itu, Sultan Abdul Samad tidak mampu berbuat apa-apa bagi mengawal pihak yang bertelagah kerana tidak mempunyai pasukan askar yang kuat. Sebaliknya baginda mengambil langkah berkecuali dengan tidak membantu atau menyokong pihak yang sedang bersengketa bagi menjamin kedudukan baginda selamat.

Kelemahan Sultan Abdul Samad terbukti apabila arahan baginda kepada Raja Mahadi yang berjaya menawan Klang dari Raja Abdullah agar membayar $500 sebulan kepada baginda tidak dihiraukan. 

Pada 26 Jun 1868, Sultan Abdul Samad telah menikahkan puteri baginda, Raja Atfah dengan Tengku Dhiaudin (Tunku Kudin) bin Sultan Zainal Rashid Mu’azam Shah dari Kedah. 

Baginda juga telah melantik Tunku Kudin sebagai pentadbir daerah Langat dan sebagai ‘pendamai’ bagi menamatkan konflik di antara penyokong Raja Mahadi dengan Raja Abdullah. Walau bagaimana pun, usaha Tunku Kudin itu ditolak oleh Raja Mahadi. 

Inilah yang membuat Tunku Kudin tersinggung lalu memilih untuk membantu Raja Ismail, anak Raja Abdullah yang memimpin kumpulan menentang Raja Mahadi setelah Raja Abdullah meninggal dunia pada tahun 1869 di Pulau Penyengat. 

Pada Ogos 1869, Raja Ismail memimpin pasukan seramai 100 orang menyerang Klang dan menawan kota di hilir Sungai Klang. Ini telah memulakan sekatan terhadap Klang yang berlarutan sehingga 6 bulan. 

Tindakan Tunku Kudin yang kemudiannya berhubung dengan pegawai British di Singapura untuk membawa 500 askar Sikh dari Kedah bagi membantu pasukan Raja Ismail itu jelas membelakangkan kuasa dan kedudukan Sultan Abdul Samad. Ketiadaan alat kebesaran yang terletak di tangan pembesar menyukarkan lagi baginda untuk membuat pertimbangan dan keputusan bagi mengatasi konflik tersebut.

Dengan kekuatan yang lebih besar itu, ia menyebabkan pihak Raja Mahadi berundur daripada Klang pada Mac 1870 dan mencari perlindungan sementara di Kuala Selangor. 

Dalam pertengahan Jun 1871, bekas penasihat Sultan Abdul Samad iaitu Syed Mashor bin Muhammad Al-Bin Shahab dari Pontianak (Kalimantan) berjaya mengumpulkan 2000 orang pengikut di Hulu Selangor. 

Beliau bersama dengan Chong Chong dan puak Ghee Hin cuba menyerang Kuala Lumpur dalam rangka membantu Raja Mahadi tetapi telah dihadang di Rawang oleh pihak Tunku Kudin dan pengikut Yap Ah Loy (Kapitan Cina) dan puak Hai San. 
Ini menyebabkan Syed Mashor berundur semula ke Hulu Selangor.

Dalam November 1871 pula, Syed Mashor bersama-sama dengan 250 orang pengikutnya dan sepasukan orang-orang Rawa telah mengepung kubu Tunku Kudin dan menyekat bekalan makanan dan senjata yang dibawa masuk ke Kuala Lumpur. 

Pada Mac 1872, Syed Mashor sekali lagi menyerang Kuala Lumpur dan kali ini dengan bantuan Raja Mahmud bin Sultan Abdul Samad dan Raja Mahadi, mereka berjaya menawan Kuala Lumpur dari Tunku Kudin dan Yap Ah Loy. 

Di dalam serangan itu juga Syed Mashor berjaya membunuh Van Hagen (Commander Of Sepoy Army) - 'orang kuat' Tunku Kudin. Selepas menawan Kuala Lumpur, Syed Mashor menuju ke Kuala Selangor dan berjaya menawan Kuala Selangor pada Ogos 1872 juga dari Tengku Kudin. 

Sejak itu, Kuala Lumpur berada di dalam kekuasaan Syed Mashor dan Raja Mahadi sehingga akhir Mac 1873. Pada akhir Mac 1873, pihak Raja Mahadi, Syed Mashor dan Raja Mahmud telah menerima tentangan hebat dari Tunku Kudin dengan bantuan askar Sikh dari Pahang. 

Akibat dari tentangan ini Syed Mashor, Raja Mahmud dan Raja Mahadi terpaksa berundur dari Kuala Lumpur ke Hulu Selangor dan akhirnya ke Perak. 

Mulai saat itu, Raja Ismail dan Tunku Kudin berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di Klang. 

Kemenangan itu sebaliknya tidak disenangi oleh kerabat Diraja Selangor. Malah keengganan askar Sikh untuk pulang ke Pahang serta tindakan mereka memungut cukai sebagai pampasan atau upah perkhidmatan daripada Perang Saudara Klang telah memburukkan nama Tunku Kudin di mata Sultan Abdul Samad. 

Perang Saudara Klang berakhir pada tahun 1874 dengan Syed Mashor membawa diri ke Kerling manakala Raja Mahadi pula diberkas oleh pihak British dan dipenjarakan di Outram Prison (Singapura) pada Oktober 1875. 

Raja Mahadi menghembuskan nafasnya yang terakhir di Outram Prison akibat jangkitan Tuberculosis pada 10 Januari 1882. Namun, berita meninggalnya Raja Mahadi telah dirahsiakan bahkan sehingga ke hari ini tiada siapa yang tahu di mana beliau disemadikan di Singapura. 

Perang Saudara Klang yang berlaku pada tahun 1867 hingga 1874 merupakan perang yang bukan sahaja memberi kesan kepada Selangor sendiri tetapi kepada negeri-negeri di Tanah Melayu yang lain juga. Peranan yang dimainkan oleh Kedah dan Pahang dalam perang itu menunjukkan bahawa jika tidak diatasi, sudah tentu memberikan implikasi yang negatif kepada mereka. 

Seterusnya, perang itu juga menunjukkan kelemahan yang terdapat pada pemerintahan Kesultanan Melayu. Sebagai contoh, ketiadaan kuasa yang kuat di Selangor menyebabkan pihak luar berani untuk menyaingi antara satu sama lain bagi merebut jawatan dan kawasan yang kaya dengan hasil bijih timah seperti daerah Klang. Kehadiran ribuan buruh dan saudagar Cina di Selangor bagi mengusahakan lombong-lombong di sana juga menimbulkan masalah apabila berlaku perebutan antara mereka bagi membuka dan mengusahakan lombong tersebut. 

Perang itu juga merupakan permulaan dasar penglibatan British di Tanah Melayu dengan alasan memulihkan keamanan akibat huru-hara yang berlaku.

Akhir kata, “Raja bergaduh sama Raja, British jugak yang dapat untung..” 

Makam Syed Mashor bin Muhammad Al-Bin Shahab: Koleksi Jejak Warisan Singapura

Makam Muhamad Akib, panglima perang Raja Mahadi

Raja Mahadi ibni Raja Sulaiman


Tengku Kudin





Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom