Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tragedi 19 Ramadhan : serangan khawarij ke atas Sayyidina Ali


Sayyidina Ali RA lahir pada tahun 601 Masihi di Makkah. Bapanya Abu Talib adalah pembesar puak Quraisy yang juga bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Saidina Ali RA merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam.

Ketika Rasulullah SAW meninggalkan Mekah ketika peristiwa Hijrah, Sayyidina Ali RA bertindak sebagai umpan memperdaya musuh Islam dengan tidur di katil Rasulullah SAW, sekali gus menggagalkan rencana membunuh Baginda oleh para penentangnya. 

Sebagai sepupu Rasulullah SAW, Sayyidina Ali RA menjadi Khalifah ar-Rashidin ke-empat menggantikan Sayyidina Uthman ibn Affan pada 36 Hijrah. Namun beliau berdepan tentangan daripada pelbagai puak termasuk Gabenor Syria, Muawiyah bin Abu Sufian dari Bani Umayyah.

Dua perang saudara tercetus (Perang Unta dan Perang Siffin) dalam tempoh yang dipanggil Fitnah Pertama, membawa kepada pemansuhan Khilafah ar-Rashidin dan bermulanya kekuasaan Dinasti Umayyah.

Rentetan Perang Siffin yang berakhir buntu, Sayyidina Ali RA bersetuju untuk menimbang tara dengan Muawiyah untuk mencari titik pendamaian. Namun ada kumpulan daripada tentera Saidina Ali RA yang tidak setuju lalu memberontak. Mereka digelar 'Khawarij' (mereka yang keluar).

Khawarij merumuskan bahawa kemelut Islam berpunca daripada Sayyidina Ali RA, Muawiyah dan Gabenor Mesir, Amr ibn As dan mereka bertiga mesti dibunuh untuk menamatkan segalanya. Abd al-Rahman ibn Muljam dipilih untuk menjalankan misi tersebut.

Maka pada hening pagi 19 Ramadan 40 Hijrah bersamaan 28 Januari 661 Masehi, Ibn Muljam menetak Saidina Ali RA di kepala dengan sebilah pedang beracun ketika beliau sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Besar Kufah, Iraq. Dua hari kemudian, beliau syahid di usia 62 tahun, sebahagian pendapat mengatakan 63 tahun.

Masjid Besar Kufah di Iraq pada 1915, tempat di mana Saidina Ali RA diserang

Jasad Saidina Ali RA dimakamkan di tengah malam gelap di Najaf, Iraq. Sehari kemudian, Ibn Muljam berjaya ditangkap dan dihukum mati secara Qisas oleh anak Saidina Ali RA, Hassan RA.

Sumber: World History, Republika Id, Islamic Finder



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom