Kesusahan hidup semasa zaman pemerintahan Jepun serta semangat mahu berkhidmat untuk negara tercinta mendorong Sariah Ali menyertai perkhidmatan pasukan polis wanita.
Berasal dari Parit Kadzi, Muar, Johor, beliau yang berusia 22 tahun ketika itu adalah seorang daripada 54 orang yang lulus untuk pengambilan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita yang dibuat setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Sebenarnya mak cik hanya mencuba nasib mengikuti seorang kawan sekampung yang dapat surat tawaran menghadiri temu duga mata-mata (polis) di Mantin (Negeri Sembilan).
"Masa temuduga itu, ada lima orang termasuk mak cik tetapi di akhir temuduga itu empat lagi termasuk kawan sekampung mak cik tidak berjaya. Mak cik berjaya kerana kesihatan baik, mata tak juling dan ada kemahiran bercakap,"
Menurut Sariah, anak bongsu daripada enam beradik ini, ibunya, Kalsom Jusoh, seorang peniaga kopi turut menemaninya ke Mantin dengan menaiki kereta api.
Ayah Sariah yang dikenali dengan nama 'Ali Gagah' meninggal dunia sewaktu beliau berumur lapan bulan.
"Bila nak balik saya beritahu emak saya lulus. Tercengang emak kerana saya tak ada surat temu duga dan hanya tumpang kawan tapi akhirnya saya yang dapat kerja mata-mata tu, “
Selang seminggu selepas sesi temuduga, Sariah menerima surat tawaran rasmi untuk jawatan konstabel polis.
Tanggal 1 Ogos 1956 membuka lembaran baru dalam kehidupan anak kelahiran Johor ini apabila meninggalkan kampung halaman untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Wanita di High Street (kini Jalan Tun H S Lee) Kuala Lumpur.
Berdasarkan sejarah awal penubuhan pasukan polis wanita, usaha mengambil polis wanita bermula pada zaman darurat 1948. Pada tahun 1955, ada pengambilan tujuh orang polis wanita untuk pangkat inspektor dan kemudian pada 1956, pengambilan pertama seramai 54 orang anggota polis wanita berpangkat konstabel dibuat.
Untuk 54 orang perintis Pasukan Polis Konstabel Wanita, rata-rata usia pelatih kami dalam lingkungan antara 18 hingga 23 tahun.
"Kami dipecahkan kepada tiga lokasi latihan, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak. Setiap lokasi ditempatkan 18 orang,”
Menurut beliau, majlis pentauliahan anggota konstabel wanita itu disempurnakan oleh Tunku Abdul Rahman pada sekitar Mac 1957.
Selama enam bulan tempoh latihan, pelbagai pengalaman yang dilalui. Sariah masih ingat nama seorang pegawai polis wanita berbangsa Inggeris, Miss B.D.B. Wentworth yang dipinjamkan kepada pasukan polis untuk membantu melatih golongan perintis konstabel polis wanita.
Pengambilan Mata-Mata Khas Wanita atau WPC mendapat sambutan yang begitu baik kemudiannya, terutama di kalangan mereka yang tinggal di luar bandar.
Sebelum penubuhan polis wanita, tugas ini sebelumnya digalas isteri polis serta orang awam yang dilantik sebagai pegawai pemeriksa wanita.
Sariah turut berkongsi kenangan memulakan tugas di bahagian cawangan trafik dengan gaji bulanan RM99.90 ketika itu selain tugas menjaga lalu lintas.
Beliau berkata keadaan jalan raya pada waktu itu sangat menyenangkan kerana tidak banyak kenderaan berbanding zaman sekarang.
Warga emas itu turut bertemu jodoh di tempat kerjanya dengan suaminya, Kamaruddin Mohd Nordin, juga seorang anggota polis trafik yang bersara pada usia 54 tahun dengan pangkat akhir Sarjan Gelap (kini bahagian jabatan siasatan jenayah). Suami Sariah meninggal dunia di Makkah pada tahun 1983 pada usia 55 tahun.
Sariah yang turut bersama suaminya untuk menunaikan ibadan haji itu berkata arwah suaminya yang bersara pada umur 54 tahun pernah berseloroh akan meninggal dunia di Makkah.
Banyak kenangan manis Sariah sewaktu berkhidmat selama kira-kira 25 tahun sebagai anggota polis. Dalam tempoh perkhidmatan itu, selain bertugas sebagai polis trafik dan di balai polis, beliau turut bertindak sebagai menjaga pesalah dan pengiring polis.
Bagaimana ada satu pengalaman yang masih segar dalam ingatan beliau iaitu bertugas pada malam ambang kemerdekaan di Padang Kelab Selangor (kini dikenali Dataran Merdeka).
Menurut Sariah, malam bersejarah itu tidak mungkin dapat dilupakan kerana dapat menyaksikan sendiri upacara menurunkan bendera Union Jack, menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat.
Pada malam itu beliau ditugaskan mengawal trafik di Padang Kelab Selangor.
Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 tepat pukul 12 tengah malam di Padang Kelab Selangor diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack dan digantikan dengan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
"Mak cik berasa seronok sangat. Orang sana sini laung 'merdeka, merdeka, merdeka'. Mak cik turut berpeluang bersalaman dengan Tunku Abdul Rahman,”
Setelah mencurahkan bakti bertugas di Kuala Lumpur selama sembilan tahun, Sariah kemudiannya ditukarkan ke Melaka dan meneruskan perkhidmatan selama lapan tahun.
Dari Melaka beliau berpindah ke Teluk Intan sehingga bersara awal pada 1982.
Sariah yang menetap di Taman Cecily, Teluk Intan dan mempunyai 23 cucu dan 8 cicit berkata beliau teringin untuk bertemu rakan-rakan seperjuangan perintis polis wanita seandainya masih mempunyai kesihatan yang baik.
Rujukan : Bernama
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: