Jika tembok putih Masjid Omar Kampung Melaka di Keng Cheow Street boleh berkata-kata, mungkin ia dapat menguak dada sejarah dan menghimbau renteten peristiwa sejak ia terbina.
Itulah masjid dan rumah ibadat rasmi pertama dibina di zaman penjajahan British hasil kemurahan hati seorang saudagar dan dermawan dari Hadhramaut (Yaman), Syed Umar bin Ali Aljunied pada tahun 1820.
Masjid itu seolah-olah menjadi saksi kepada perkembangan sebuah pelabuhan bebas yang dibuka oleh Thomas Stamford Bingley Raffles setahun sebelumnya sehingga ke hari ini.
Sepanjang tempoh itu, masjid tersebut turut dewasa - membangun daripada sebuah surau kecil menjadi sebuah monumen negara.
Kalaulah tembok masjid itu boleh berkata-kata, ia mungkin menegaskan bahawa usianya yang ke-204 tahun tidak sekali-kali melunturkan semangatnya untuk terus berkhidmat.
Asalnya dikenali sebagai Surau Kampung Melaka sempena pertempatan orang-orang Melayu dari Melaka yang mengelilingi surau pada awal pembinaannya. Namanya kemudian diubah sebagai Masjid Omar Kampung Melaka sempena nama pengasasnya pada lewat tahun 1960-an.
Bangunan batu-bata yang ada sekarang pula dibina pada tahun 1855 hasil sumbangan anak Syed Umar iaitu Syed Abdullah.
Ia dipertingkat dalam tahun 1981 dan kemudian pada tahun 1985 apabila menara masjid didirikan. Namun reka bentuk asal di luar dan dalam masjid tidak sedikit pun ditokok tambah dan bahan-bahan binaan asal masjid turut dikitar semula. Ia kini boleh menampung sekitar 1 000 jama'ah.
Setelah 180 tahun menyaksikan perkembangan pesat negara dari tebing Sungai Singapura, Masjid Omar Kampung Melaka diisytiharkan sebuah bangunan bersejarah oleh pemerintah pada tahun 2001.
Pada tahun 2002 pula, sekitar 70 saki-baki jenazah kaum keluarga Aljunied yang bersemadi di Makam Aljunied (Jalan Kubor) telah dipindahkan ke perkarangan masjid. Ini termasuklah Syed Umar sendiri yang meninggal dunia pada tahun 1852.
Ini adalah kerana, kawasan perkuburan di Jalan Kubur itu telah diambil oleh kerajaan pada tahun 1987 dan di bawah pelan induknya, kawasan tersebut bakal dizonkan bagi kegunaan kediaman dan sebagai tanah simpanan.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: