Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

100 tahun kejatuhan sistem Khilafah


Tanggal 3 Mac 2024, 100 tahun yang lalu, Khalifah Uthmaniyah terakhir, Abdulmecid II dilucutkan jawatan.

Sultan Abdulmecid II (Abdul Majid) diarahkan dibuang negeri

Dinasti Uthmaniyah diasaskan oleh Osman Ghazi pada 1299. Apabila Uthmaniyah menakluk Mesir daripada kuasa Mamluk pada 1517, Sultan Selim I yang memimpin empayar berpusat di Anatolia itu mula memakai gelaran Khalifah Penjaga Kota Suci Mekah dan Madinah, yang diteruskan oleh sultan-sultan Uthmaniyah selepasnya.

Abdülmecid II lahir pada Mei 1868. Mengikut tradisi Uthmaniyah, beliau tak dibenar keluar daripada istana hingga usianya 40 tahun, yang mana sepanjang itu bapanya Abdulaziz dan tiga sepupunya berada di takhta. Apabila sepupu keempatnya Mehmed IV naik takhta pada 1918, Abdulmecid dilantik sebagai Putera Mahkota.

Namun ketika itu Uthmaniyah sudah pun tumbang, tewas dalam Perang Dunia I kepada Tentera Bersekutu. Mehmed VI, Sultan Uthmaniyah terakhir, meninggalkan Constantinople setelah Kesultanan Uthmaniyah dimansuhkan pada November 1922 dan Abdulmecid dilantik menjadi Khalifah oleh Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki (TBMM).

Begitupun beliau tak punyai kuasa eksekutif, hanya sekadar sebagai simbol hubungan Turki baharu dengan sejarah Uthmaniyahnya. Oleh hal demikian beliau menjadi sandaran buat para penentang Mustafa Kemal yang sebahagian besarnya dibelakangi British.

Atas sebab itu, Mustafa Kemal tekad memutuskan hubungan dengan masa silam, mengisytiharkan Republik Turki pada 29 Oktober 1923 dan pada 3 Mac 1924, TBMM memansuhkan kekhalifahan Turki - selepas 407 tahun bernaung di Anatolia. Keesokan harinya, Abdulmecid dibuang negeri bersama ahli keluarganya.

Beliau diberi wang tunai £2,000 dan dibawa menaiki Orient Express ke Switzerland, sebelum akhirnya menetap di Perancis. Abdulmecid hidup atas ihsan Nizam Hyderabad (juga atas kebenaran British yang menguasai subbenua India ketika itu) yang kemudian mengahwini anak perempuannya.

Abdulmecid meninggal dunia di Paris pada 23 Ogos 1944 di rumahnya di Paris sebelum akhirnya dikebumikan di perkuburan Al-Baqi’, Madinah.

Sumber: Britannica, New World Encyclopedia



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom