Sebut sahaja kacang tanah, pastinya kacang tanah yang terkenal di Malaysia, Kacang Menglembu Cap Tangan Ngan Yin akan terbayang di fikiran. Kacang tanah yang dikomersilkan dibawah cap dagangan berupa tangan yang menunjukkan isyarat bagus ini cukup terkenal, malah sudah dipasarkan dipasaran luar seperti Singapura, China, Canada, Hong Kong, New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Syarikat Ngan Yin ditubuhkan pada tahun 1960an lagi, dan nama Ngan Yin adalah bersempena insan yang mengusahakan perusahaan ini, iaitu Encik Ngan Yin.
Dengan pasaran yang luas, pastinya perusahaan ini memerlukan sumber yang mencukupi, kilang pengeluaran syarikat Ngan Yin berpusat di Kampar, dan sumber kacang tanah dari pengusaha ladang tempatan juga didapati dari sekitar Lembah Kinta dan Sungai Siput. Kilang Syarikat Ngan Yin merupakan yang terbesar di Malaysia.
Siapa sangka, akibat kemasyhurannya jugalah kacang cap tangan ini pernah menjadi mangsa cetak rompak, bukan sekali, malah dua kali. Peristiwa pertama berlaku sekitar tahun 1970an, Encik Ngan Yin sendiri apabila menerima aduan dari orang ramai telah pergi menyiasat sendiri kebenarannya. Beliau dapati kacang menglembu palsu ini telah dijual secara meluas di Singapura, iaitu di kawasan Ochard Road, Toa Payoh,Chinatown dan Bugis Street,dan setelah aduan polis dilakukan, kacang-kacang palsu ini telah dirampas.(The Straits Times, 14 Januari 1974:15)
Pengasas perusahaan kacang menglembu cap tangan, Encik Ngan Yin meninggal dunia pada 20 Julai 1980, ketika sedang melakukan aktiviti jalan kaki di kaki Bukit Kledang. Beliau yang berusia 61 tahun pada ketika itu.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: