BAITULMAQDIS: Beribu-ribu rakyat Israel termasuk menteri sayap kanan dan sekutu Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berkumpul di Baitulmaqdis semalam bagi menggesa penubuhan semula penempatan Yahudi di Semenanjung Gaza.
Menurut kenyataan rasmi Netanyahu, pihaknya sudah menolak penempatan semula di wilayah Palestin, di mana tentera Israel kini bertempur dengan kumpulan pejuang Hamas.
Namun, perhimpunan itu menunjukkan perubahan dalam pendirian pentadbiran Netanyahu sebelum ini, dengan momentum lebih rancak disokong kerajaan Israel berhaluan kanan sekarang.
"Jika kita tidak mahu kejadian 7 Oktober berulang, kita perlu mengawal wilayah itu," kata Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, yang merujuk kepada serangan Hamas mencetuskan perang yang kini sudah memasuki bulan keempat.
Beliau berkata, Israel perlu 'menggalakkan penghijrahan sukarela' rakyat Palestin dari Gaza, mengulangi kenyataan lampau yang mendapat teguran tajam daripada sekutu rapat, Amerika Syarikat (AS) dan tentangan meluas masyarakat antarabangsa.
Beberapa peserta membawa senjata api, manakala di luar pusat konvensyen, penjual menjual baju-t yang tertera, 'Gaza sebahagian tanah Israel'.
Jurucakap pada perhimpunan itu, yang dihadiri oleh ahli parti Netanyahu dan beberapa menteri lain, menggesa Netanyahu menzahirkan impian perbalahan mereka.
Ada yang menyokong pengusiran penduduk Palestin dari Gaza dan mengisytiharkan penempatan itu sebagai milik Yahudi sebagai satu-satunya cara untuk memastikan keselamatan warga Israel.
"Perjanjian Oslo sudah mati, rakyat Israel hidup," antara kata dilaungkan oleh orang ramai, merujuk kepada perjanjian penting Israel-Palestin pada 1990-an memberi rakyat Palestin kuasa pemerintahan sendiri yang terhad.
Perhimpunan semalam bertujuan menekan kerajaan untuk 'kembali ke Semenanjung Gaza dan menubuhkan komuniti dengan segera', "kata ketua peneroka Yahudi, Daniella Weiss.
"Orang Arab tidak akan tinggal di Gaza, begitu juga Hamas dan penyokong Hamas manakala mereka yang tidak menyokong Hamas memang tidak mahu tinggal di sini," katanya.
Lebih 400,000 rakyat Israel kini tinggal di penempatan di Tebing Barat yang diduduki secara haram di bawah undang-undang antarabangsa, bersama kira-kira tiga juta rakyat Palestin.
Wilayah yang dikuasai Hamas menjadi kediaman kepada kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin, sebahagian besar daripada mereka kini kehilangan tempat berteduh akibat serangan udara, darat dan laut yang tidak berkesudahan sejak 7 Oktober.
Kempen tentera Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 26,422 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Serangan 7 Oktober mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.
Palestin berjuang membentuk masa depan negara merdeka di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis timur yang diilhakkan Israel.
Pada masa sama, gesaan rakan gabungan Netanyahu supaya penempatan Israel ditubuhkan di Gaza semakin meningkat, bertentangan dengan dasar pentadbiran Presiden AS, Joe Biden.
Awal bulan ini, Jabatan Negara AS, berkata Gaza adalah tanah Palestin dan akan kekal sebagai tanah Palestin. - AFP
Sumber rujukan : Berita Harian
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: