Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Sati : amalan Hindu yang diharamkan oleh British


Pada 4 Disember 1829, amalan ‘sati’ diharamkan oleh pentadbiran British di India.


Sati adalah satu amalan Hindu yang dipercayai sudah wujud sejak purba kala di India, di mana si balu akan membakar dirinya sampai mati bersama suaminya yang telah meninggal dunia ketika upacara pembakaran mayat.

Sati bermaksud ’wanita suci’, diterap daripada nama dewi Sati, yang membakar dirinya sebagai protes kepada bapanya Daksha yang membenci suaminya Shiva. Kisah mitos ini dipercayai menjadi punca kepada wujudnya amalan ini.

Sati menjadi simbol pengakhiran sebuah perkahwinan, dianggap sebagai bentuk pengabdian tertinggi seorang isteri kepada suaminya dan dipercayai dapat menghapus segala dosa si isteri. Asalnya diamalkan kerabat diraja berkasta Kshatriya, hanya kemudian tersebar hingga ke setiap kelas sosial.

Asalnya ia amalan sukarela tapi lama-lama ia menjadi sesuatu yang dituntut, memandangkan menjadi balu dianggap satu beban kepada masyarakat tradisional Hindu. Jika wanita itu tiada anak untuk menyaranya, dia akan dipaksa untuk melakukan sati.

Kemuncaknya pada kurun ke-15 dan 16 apabila sekitar 1,000 balu membakar diri setiap tahun, majoritinya di wilayah Rajasthan. Usaha membanteras amalan ini sudah ada pun dimulakan apabila Mughal berkuasa, berjaya mengurangkan kes dengan banyak.

Gerakan mengharamkannya yang lebih serius dijuarai seorang mubaligh Kristian, William Carey dan reformer Bengali, Ram Mohan Roy di era pentadbiran British. Roy terdorong selepas melihat kakak iparnya sendiri dipaksa melaksanakan sati.

Walau berdepan tentangan kumpulan tradisionalis Hindu, akhirnya Gabenor British India, William Bentnick pada Ahad 4 Disember 1829 mengeluarkan Peraturan XVII yang mengharamkan sati & pelakunya boleh dihukum oleh mahkamah jenayah.

Undang-undang lain yang lebih ketat menyusul. Bagaimanapun, tetap ada kes-kes terpencil amalan ini dilapor berlaku di India, malah hingga ke hari ini. Paling kecoh di era moden ini adalah kes Roopkuvarba Kanwar pada Oktober 1987.

Sumber: Culture Trip, Britannica




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom