Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah disebalik banglo Al Kaff Mansion



Berdiri sergam di puncak bukit yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Jagoh berdekatan dengan Telok Blangah Green ialah sebuah banglo mewah milik keluarga hartawan Arab terkenal - Alkaff. 

Keadaan persekitarannya sangat indah dengan seni reka bentuk Baratnya ditambah dengan pepohon yang subur menghijau meneduhkan sepanjang perjalanan melalui Pender Road ke arah banglo itu. 

Banglo mewah itu dikenali sebagai Alkaff Mansion atau terkadang juga disebut sebagai Mount Washington. Untuk sekian lama, ia menjadi pusat utama pertemuan golongan elit dari pelbagai latar-belakang dan bangsa bahkan juga tempat perhimpunan keluarga Alkaff khususnya. 

Dari serambi di tingkat dua banglo tersebut, pemandangan perairan Singapura di Keppel Harbour sungguh menarik. 

Hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa dari arah itu melengkapkan suasana nyaman pada petang hari di samping mendinginkan ruang kamar dan serambinya. 


Dua menara empat persegi berdiri tegak di tepi banglo itu, keindahannya bukan sahaja pada reka bentuk luar banglo itu tetapi juga pada ukiran halus yang terdapat di setiap penjuru dinding dan langit rumah. 

Jubin bermotif bunga pelbagai warna menghiasi lantai di kelima-lima bilik banglo itu. Malah, jubin yang serupa coraknya menghiasi tandas. 


Perkarangannya pula dikelilingi oleh birai pagar yang diperbuat daripada batu yang mempunyai reka bentuk ala-Eropah. Tiga buah tangga yang berpagar sama terdapat di bahagian hadapan, kiri dan kanan banglo itu. 

Alkaff Mansion telah dibina pada tahun 1918 oleh Syed Abdul Rahman bin Shaikh Alkaff. 

Syed Abdul Rahman bin Shaikh Alkaff

Beliau jugalah yang bertanggung-jawab dalam mendirikan Masjid Alkaff Upper Serangoon, Masjid Alkaff Kampung Melayu dan membuka sebuah taman lengkap dengan sebuah tasik yang dinamakan Alkaff Lake Gardens di Sennett Estate. 


Kini, bekas tapak Alkaff Lake Gardens telah didirikan Cedar Girl’s Secondary School. 

Bagaimanapun, kemegahan dan kemeriahan di Alkaff Mansion itu luput selamanya akibat Perang Dunia II.

Tentera British telah menggunakan banglo itu sebagai pusat utama kemudahan mereka. 

Alkaff Mansion kemudiannya dibiarkan terbengkalai setelah Perang Dunia II.

Pada tahun 1972, World Buddhist Society telah menyewa Alkaff Mansion sebagai pusat kegiatan persatuan hingga tahun 1984. 

Pada tahun 1990 pula, syarikat hartanah Hotel Properties Ltd telah menyewa Alkaff Mansion untuk digunakan sebagai restoran yang menghidangkan jamuan Belanda dan Indonesia. Bagaimanapun, restoran itu tidak kekal lama. Ia ditutup pada tahun 2003.

Pada 9 Jun 2005, Urban Redevelopment Authority (URA) telah menyenaraikan Alkaff Mansion ke dalam senarai ‘conservation site’. Ini di mana ciri-ciri reka-bentuk bangunan bersejarah itu akan dikekalkan dan tidak boleh diubah.

Syarikat firma LHN kemudiannya telah menyewa Alkaff Mansion pada tahun 2010 dan membuka sebuah lagi restoran yang menyediakan masakan Itali iaitu Alkaff Mansion Ristorante. Namun, restoran itu hanya kekal 6 tahun sahaja. 

Kini, Alkaff Mansion menempatkan tiga buah restoran - Wildseed Cafe, TXA Gastrobar dan UNA. 

Sumber:- 
Foto - National Archives Of Singapore



Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom