Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Jambatan Darat Thailand : Malaysia perlu lebih proaktif


[IKLAN] CARA MUDAH BUAT DENGAN SHOPEE Nak buat duit dengan shopee tanpa ada produk sendiri? sertai SHOPEE AFFILIATE PROGRAM sekarang. Anda mampu menjana pendapatan dengan hanya kongsikan link produk sahaja. Daftar sekarang KLIK DI SINI


ALOR SETAR: Malaysia tidak boleh menunggu sehingga rancangan Thailand untuk membina jambatan darat direalisasikan bagi mengambil tindakan atau langkah yang perlu untuk negara mendapat manfaat daripada projek berkenaan.

Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Shazida Jan Mohd Khan menegaskan impak projek itu khususnya kepada ekonomi negara perlu dinilai dan diperhalusi segera.

"Walaupun projek ini masih lama lagi untuk dilaksanakan, kita (Malaysia) tidak boleh hanya menunggu projek ini siap kerana apabila terbinanya infrastruktur bagi projek ini nanti pastinya akan memberi saingan yang utama kepada sektor perkapalan negara.

"Jambatan darat ini akan menjadi jalan alternatif yang memberi perkhidmatan lebih cepat dan murah daripada segi logistik kepada kapal yang sebelum ini melalui Selat Melaka," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas berhubung rancangan Thailand itu yang diumumkan Perdana Menterinya, Srettha Thavisin baru-baru ini.

Menurut Shazida Jan, satu langkah yang boleh dilakukan Malaysia adalah dengan membangunkan sektor perindustrian dan logistik di kawasan wilayah utara Semenanjung khususnya di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dicadang dibangunkan di Kedah mampu menjadi nilai tambah yang dilihat dapat menyokong projek jambatan darat Thailand itu yang akan memberi manfaat kepada Malaysia.

"Kita perlu melihat kedua-dua projek ini (jambatan darat Thailand dan KXP) secara positif dan menilai daripada segi kekuatan dan kekangan yang sedia ada.

"Apa yang pasti perkhidmatan hab kargo akan berkembang selaras dengan keperluan masa kini dan KXP ini mampu memberi sokongan kepada pelabuhan Pulau Pinang mahupun perkhidmatan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang secara positif," katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan untuk Indonesia, Thailand dan Singapura di UUM (UUM-ITS), Prof Madya Abdul Rahim Anuar pula berkata, Malaysia perlu mengambil bahagian secara langsung dalam pembinaan jambatan darat Thailand itu sekiranya mahu mendapat manfaat daripadanya.

Ia boleh dilakukan menerusi penawaran pelaburan atau kepakaran antara syarikat tempatan dengan syarikat Thailand yang akan terlibat dalam projek itu, katanya.

"Saya melihat projek jambatan darat itu mungkin tidak memberi manfaat kepada Malaysia apabila siap nanti kerana kedudukannya yang agak jauh dari Malaysia, justeru untuk dapat manfaat Malaysia harus terbabit dalam pembinaannya," kata Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu mengambil inisiatif untuk meneliti projek tersebut.

"Projek ini cabaran kepada kita...ia sangat memberi kesan daripada sudut geopolitik dan kerajaan negeri Kedah serta kerajaan pusat perlu meneliti," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, baru-baru ini.

Pada 27 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik selesai mengadakan lawatan sehari ke Sadao, Thailand berkata rancangan negara jiran itu untuk membina projek berkenaan turut akan memberi manfaat kepada Malaysia.

Anwar berkata, Perdana Menteri Thailand turut menyuarakan pandangan dan memberi jaminan untuk membabitkan Malaysia dalam projek tersebut.

Sebelum ini, Thailand dilaporkan mengemukakan cadangan untuk membina pelabuhan dan jambatan darat bagi mengurangkan masa perjalanan kapal dengan menghubungkan Teluk Siam dan Laut Andaman.

Srettha dilaporkan memberitahu pelabur di San Francisco, Amerika Syarikat bahawa projek yang dianggar bernilai 1 trilion bath (US$28 bilion) itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian




Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:


Ads Bottom