Semua kita tahu, dalam tahun 1948 di seluruh negara kita, pada masa itu dikenali dengan Malaya telah diisytiharkan darurat angkara pengikut Parti Kominis yang diharamkan oleh Kerajaan British yang memerintah Malaya pada ketika itu. Kominis telah menjadikan negara kita tidak aman. Mereka membuat huru-hara, membunuh, mengugut, membakar, menculik, merompak dan menyerang orang awam dan pasukan keselamatan.
Sungai Leman tidak terkecuali dari angkara kominis ini. Tambahan pula kawasan ini baharu sahaja dibuka dan banyak lagi kawasan rimba yang belum diteroka yang memudahkan menyembunyikan diri. mereka
Saya berpindah ke Parit 8 Sungai Leman. Di sini saya mendirikan pondok di Kuala Parit 8. Saya, isteri dan anak-anak tinggal di sini mengerjakan tanah sawah, menanam padi di celah-celah tunggul dan batang kayu yang bergelimpangan. Pada masa itu padi ditanam setahun sekali sahaja. Sebagai Sidang, saya telah bekerja dengan penuh tanggungjawab menyusun, memberi bantuan, mengawasi dan menyelesaikan masalah anak buah saya di Parit 8.
Kami semua Sidang Sungai Leman dan Pasir Panjang telah dipanggil berkursus di Gombak, Kuala Lumpur (ketika itu). Kami diberi uniform askar, diajar menggunakan senjata, undang-undang darurat, peraturan dan strategi keselamatan kampung dan penduduknya. Kami berkursus di sini selama dua minggu. Sekembalinya kami dari kursus, seorang Pegawai Home Guard dari Kuala Selangor berbangsa Inggeris telah memerintahkan kami menubuhkan pasukan Home Guard. Saya telah dilantik selaku Komander Home Guard untuk kawasan Sungai Leman. Mengawal di lima kawasan dan mempunyai petugas seramai 56 orang. Untuk pasukan saya, kami telah diberi 12 pucuk senapang patah dan 12 kotak peluru.
Pada setiap petang 12 orang akan bertugas mengawal dan mengawasi keselamatan dan memastikan tidak ada pengganas kominis memasuki di lima buah kawasan yang telah ditetapkan. Saya selaku ketua, memeriksa dan memastikan mereka menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Kami membuat kerja ini dengan sukarela sahaja demi untuk keamanan kampung.
Semasa darurat ini beberapa peristiwa telah berlaku. Ada dua peristiwa yang masih saya ingat. Satu, peristiwa pengganas komunis membakar kapal pengorek terusan air di sempadan di antara kawasan hutan dan kawasan sawah padi. Kedua, peristiwa salah seorang ahli Home Guard saya Mohd. Nor yang dikenali dengan nama Sidang Misai telah menembak hingga mati seorang yang tidak dikenali kerana merayau- rayau di kawasan perintah berkurung (curfew). Saya telah disoal siasat oleh Penguasa Home Guard dari Kuala Selangor, bagaimana perkara ini telah berlaku dan bagaimana memberi arahan kepada ahli-ahli Home Guard saya. Saya memberitahu kepada beliau, semua arahan dan peraturan adalah seperti yang diarahkan oleh beliau iaitu sesiapa melanggar perintah berkurung hendaklah ditangkap dan jika tidak menjawab dan lari apabila diberi amaran hendaklah ditembak. Penyiasatan ini ditutup kesudahannya diketahui orang yang kena tembak ini adalah seorang yang baharu dikeluarkan dari hospital gila Tanjung Rambutan.
Kerja sukarela mengawasi dan keamanan kampung ini, saya lakukan selama satu tahun. Selepas itu kerajaan menubuhkan pasukan Home Guard beruniform. Mereka yang terlibat diberi kursus seperti seorang tentera. Pasukan ini di ketuai oleh Encik Hasnan bin Hj. Sidek, berpangkat Inspektor Home Guard. Mereka diberi senjata otometik dan pakaian seragam askar. Mereka ditugaskan menjaga keamanan kawasan Pasir Panjang dan Sungai Leman.
Pasukan Home Guard yang lama dibubarkan. Semua senjata api diserahkan kembali kepada kerajaan kecuali yang diberikan kepada sidang-sidang terus diberikan hak pemilikan untuk langkah berjaga-jaga.
Bersambung...
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: