Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

 #FREE_PALESTINE

Bahagian 4 : Keringat di Tanah Basah



Saya balik ke Pasir Panjang menumpang duduk di rumah Wak Nazir yang tinggal seorang diri sahaja. Setiap hari saya akan pergi ke kawasan Sungai Leman meninjau keadaan hutan di sini. Satu hari dengan tidak di sangka saya bertemu dengan orang bekerja menebang pohon nibong, nama mereka Kaimi dan kawannya Ngadiman. Batang nibong ini mereka jual kepada peraih Cina yang tinggal di bagan Sekinchan. Pokok nibong di kawasan ini cukup banyak. Pokok nibong ini ditebang dan ditarik keluar hingga ke pintu air (kunci air) Haji Sirat. 

Di sini peraih Cina akan membelinya dengan harga RM10.00 sebatang. Saya tertarik untuk menumpang sama bekerja menebang nibong ini. Mereka berdua dengan senang hati menerima saya, hanya mereka khuatir, mungkin saya tidak sanggup bekerja kerana menebang pokok nibong ini sangat susah, pokoknya berduri dan apabila ditebang ia akan sangkut kepada pokok nibung lain, ia tidak tumbang terus ke tanah. Saya menerangkan kepada mereka yang saya ada pengalaman bekerja di hutan nibong di Sumatera, Indonesia dahulu dan keesokannya saya ikut mereka bekerja. Satu hari kami boleh mengeluarkan sebanyak lima batang. Saya ikut mereka bekerja mengeluarkan nibong ini selama tujuh hari.

Saya pun mengajak Sidang Haji Said sekali lagi pergi ke Kuala Selangor dengan berbasikal seperti biasa menempuh bermacam kesusahan dan meletihkan untuk berjumpa dengan Tuan Pegawai Daerah. Dalam pertemuan ini saya telah menerangkan usaha-usaha yang telah kami buat untuk menjayakan perjumpaan ini. Beliau berjanji pasti akan datang pada tarikh yang ditetapkan dan mengucapkan terima kasih kepada Sidang Haji Said dan saya di atas usaha-usaha yang gigih membantu pihak kerajaan menjayakan rancangan menwujudkan kawasan penanaman padi di Negeri Selangor.

Pada 13 September 1946, pagi-pagi lagi saya telah berada di tempat di mana perjumpaan dengan Pegawai Daerah Kuala Selangor akan diadakan. Saya dapati ramai orang telah berhimpun. Saya kira tidak kurang daripada 500 orang. Saya tidak menyangka sambutannya sungguh menggalakkan. Saya sungguh terharu dan ini sudah tentu mengembirakan Tuan Pegawai Daerah.

Lebih kurang pukul 10.30 pagi, saya nampak sebuah kereta jip membawa Tuan Pegawai Daerah dan beberapa orang keraninya bergerak terhuyung-hayang mengelak lopak-lopak dan jalan yang berbonggol-bonggol menuju ke tempat kami berkumpul. Tuan Pegawai Daerah keluar dari jipnya dan bersalaman dengan kami. Beliau berdiri di atas peti kayu sambil memberi penerangan. Bahasanya seperti orang putih berbahasa Melayu, cakapnya tersekat-sekat, sungguhpun begitu bahasanya mudah difahami. Beliau datang hari ini adalah untuk memberitahu bahawa kerajaan Negeri Selangor sedang berusaha memperbanyakkan kawasan tanaman padi. Kawasan hutan paya di Pasir Panjang dan Sungai Leman luasnya lebih kurang 17,000 ekar didapati sesuai untuk rancangan ini. Kerajaan bercadang hendak membuka kawasan ini.

Kerajaan akan memberikan kawasan kepada setiap peneroka seluas tiga ekar. Bantuan wang bagi kerja-kerja menebang dan membersikan hutan kawasan ini di bayar sebanyak RM150.00.

Untuk mendirikan pondok, papan, atap dan paku akan diberi. Setiap peneroka akan diberi barang makanan yang bernilai RM10.00 sebulan. Semua bantuan ini diberi dengan percuma. Tanah seluas tiga ekar yang diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan baik akan diberikan  hak milik tanah. Sesiapa yang berminat mengikuti rancangan ini bolehlah mendaftar nama dengan pegawai yang datang bersama-sama beliau.

Bersambung...



KONGSIKAN:



FOLLOW KAMI SEKARANG DI TIK TOK

SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom