Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Bahagian 3 : Keringat di Tanah Basah




Saya pulang ke Pasir Panjang berbincang dengan Sidang Hj. Said untuk berjumpa Tuan Pegawai Daerah. Kami telah dapat menyenaraikan nama seramai 191 orang. Seperti biasa kami menaiki basikal ke Kuala Selangor menggunakan jalan dahulu yang penuh dengan cabaran dan kesulitan. Sampai sahaja di Kuala Selangor, kami terus ke pejabat daerah berjumpa Tuan Pegawai Daerah. Kami tunjukkan senarai nama yang kami bawa. Tuan Pegawai Daerah gembira kerana ramai juga orang yang sanggup menyertai rancangan ini. Seterusnya beliau menggariskan bantuan yang akan diberi.

1. Tiap-tiap orang diberi seluas 3 ekar dan diberi bantuan RM150.00.

2. Untuk mendirikan pondok tiap-tiap peneroka dibekalkan 20 keping papan, 300 keping atap nipah dan 3 kati paku.

3. Bantuan barang makanan seperti beras, gula, tepung dan lain- lain bemilai RM10.00 diberi tiap-tiap bulan.

4. Kerajaan akan membina dua buah rumah panjang 40 kaki X 120 kaki. Sebuah di Pasir Panjang dan sebuah lagi di Parit 8, Sungai Leman untuk kediaman sementara peneroka.

Tuan Pegawai Daerah mahukan kami mengumpulkan mereka yang ada dalam senarai. Tetapkan tarikh dan tempatnya supaya dapat beliau bertemu dan seterusnya menerangkan pelbagai perkara termasuk bantuan yang akan diberi. Kami memberitahu beliau untuk mengumpul mereka ini mengambil masa yang lama kerana mereka berada di termpat yang jauh dan ramai di antara mereka dari luar Negeri Selangor. Saya berbincang dengan Sidang Haji Said berkenaan tarikh dan tempat yang sesuai untuk perjumpaan ini. Kami telah membuat keputusan dan memberitahu Tuan Pegawai Daerah.

Tarikhnya pada 13 September 1946 dan tempatnya di Kuala Pasir Panjang berhampiran pintu air ban laut Sungai Pasir Panjang akan dijadikan lokasi perjumpaan. Tuan Pegawai Daerah menuliskan ke dalam buku dairinya tarikh yang telah kami persetujui. Sebelum kami berangkat balik, Tuan Pegawai Daerah menasihatkan kami, supaya bekerja lebih keras lagi mencari orang kerana kawasan yang hendak dibuka ini sangat luas. Kami memberitahu beliau bahawa kami yakin ramai lagi akan menyertai pembukaan hutan ini, setelah mengetahui bantuan- bantuan yang akan diberi oleh kerajaan.

Kami balik ke Pasir panjang. Malamnya kami mengadakan mesyuarat bagaimana hendak mengumpulkan orang. Encik Abu percaya pada hari tersebut ramai orang akan hadir setelah mengetahui bantuan-bantuan yang akan diterima. Cuma beliau khuatir mereka agak gerun melihat pokok-pokok kayu yang besar- besar hingga dua tiga pemeluk dan di dalam paya pula.

Pada esoknya saya bertolak ke Sungai Haji Derani ke rumah bapa saudara saya Encik Maisin. Saya menumpang duduk di rumahnya. Dua tiga hari saya duduk termenung memikirkan bagaimana hendak memanggil orang datang. Hendak balik ke Kuala Kurau Perak, saya kekurangan wang, apatah lagi hendak pergi ke Johor dan Kedah. saya membuat keputusan, hanya ada satu jalan sahaja ia itu dengan menulis surat. Saya berdoa kepada Allah semoga surat- surat saya ini sampai dan mendapat sambutan.

Selepas beberapa hari di rumah Maisin, saya pergi ke Bagan Terap ke rumah kawan yang berasal dari Kuala Kurau juga. Nama mereka Basri bin Hassan dan ljab bin Jubai. Belum pun sempat saya menceritakan hal pembukaan tanah ini, mereka sudah bertanya sama ada benar atau pun tidak Tuan Pegawai Daerah Kuala Selangor akan datang ke Pasir Panjang untuk menerangkan berkenaan pembukaan tanah di Pasir Panjang dan Sungai Leman dan juga jenis-jenis bantuan yang akan diberi. Saya memberitahu mereka, berita ini memang benar, saya sendiri bersama Sidang Pasir Panjang telah berjumpa dengan Tuan Pegawai Daerah Kuala Selangor mengatur lawatannya ke Pasir Panjang. Dengan berita ini beliau mengajak saya pergi ke Parit 6 Sungai Besar kerana beliau mempunyai ramai kawan di sana.

Pada esoknya kami pergi ke Parit 6. Basri ini orangnya lincah, dialah yang bekerja keras menerangkan kepada penduduk sekitar Sungai Besar tentang pembukaan tanah ini. 

Bersambung...






Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom