Siri penceritaan "Keringat di Tanah Basah" adalah penghargaan bagi mengenang kesusahan peneroka awal yang terdiri daripada orang-orang Melayu yang membuka tanah sawah di Sungai Leman, Selangor selepas tamat Perang Dunia Kedua.
Hari Sabtu 25 Jun 1946 Adalah satu tarikh yang tidak pemah saya lupa. Tarikh yang bersejarah ini adalah titik permulaan pembukaan tanah sawah padi Sungai Leman., Sekinchan Selangor.
Saya telah banyak mendengar berita berkenaan hasrat kerajaan Negeri Selangor hendak membuka hutan di Pasir Panjang dan Sungai Leman dalam Daerah Tanjung Karang. Keinginan saya untuk mengubah hidup saya dan keluarga saya yang serba kekurangan sentiasa bermain dalam kepala. Melalui berita yang saya dengar ini, ianya adalah satu peluang bagi saya mencuba hasrat yang telah lama terpendam.
Bertolak dari Kuala Kurau, Perak dan setelah mengalami berbagai kepayahan, akhirnya pada hari Sabtu 25 Jun 1946 saya telah sampai di Kampung Pasir Panjang. Sesampai sahaja, dengan bantuan penduduk di situ saya terus ke rumah Sidang Haji Said bin Haji Salleh, Ketua Kampung Kampung Pasir Panjang, pada ketika itu dalam Mukim Tanjung Karang, Daerah Kuala Selangor.
Saya bermalam di rumah beliau dan kesempatan ini, saya dapat berbual-bual dengan panjang lebar dan menerangkan tujuan utama saya datang dari jauh menziarahi beliau. Saya berhajat untuk mengetahui adakah benar tentang berita Kerajaan Negeri Selangor hendak membuka tanah di kawasan ini. Saya juga ingin meninjau keadaan hutannya.
Sidang Haji Said telah menerangkan, berita ini memang benar. Tuan Pegawai Daerah (DO) Kuala Selangor telah mengarahkan beliau mencari orang untuk membuka hutan paya untuk dijadikan tanah sawah di kawasan Pasir Panjang dan Sungai Leman. Kawasan ini telah mula dibuka sebelum perang Jepun tetapi masih luas lagi kawasan yang belum diteroka. Dengan pengalaman yang ada semasa membuka tanah di Sumatera, saya berbincang dengan beliau hingga larut malam untuk menyusun rancangan kerja bagaimana hendak membuka tanah ini untuk dikemukakan kepada Pegawai Daerah Kuala Selangor.
Pada esok paginya, hari Ahad 26 Jun 1946, saya dan Sidang Haji Said membuat tinjauan keadaan hutan di Pasir Panjang dan Sungai Leman. Saya dapati kawasan ini berpaya dan ditumbuhi oleh pokok nibung dan pokok-pokok kayu yang besar. Mengikut pengalaman saya tanah seperti ini memang sesuai dijadikan kawasan bertanam padi. Tambahan pula kawasan ini berhampiran dengan laut dan tanahnya rata, ini memudahkan untuk membuang air dan menakung air. Kami membuat tinjauan sehingga pukul 12.00 tengah hari. Kami makan tengah hari di rumah Encik Abu, anak Sidang Haji Said. Pada malamnya ramai orang datang untuk menyaksikan permainan kopang yang diketuai oleh Encik Jajuli.
Tepat pukul 8.00 pagi hari Isnin 27 Jun 1946 saya dan Sidang Haji Said dengan masing-masing menunggang basikal bertolak ke Kuala Selangor. Dari Pasir Panjang ke Tanjung Karang jauhnya lebih kurang 12 batu. Kami menunggang basikal mengikut jalan ban laut. Ban ini banyak yang telah putus (tidak ada jalan). Apabila sampai di kawasan ini, kami terpaksa memikul basikal. Saya kira sepanjang perjalanan kami ke Tanjung Karang, basikal naik atas bahu kami dan kami menaiki basikal sama banyak. Setelah menyeberang jambatan kayu menyeberangi Sungai Tanjung Karang, kami menunggang basikal lagi ke Pasir Penambang, jalannya jalan tanah merah, jauhnya lebih kurang 8 batu. Dari Pasir Penambang kami menyeberang sungai Kuala Selangor dengan sampan sewa. Sampai di seberang kami terus ke Pejabat Pegawai Daerah Kuala Selangor. Nasib kami kurang baik kerana Tuan Pegawai Daerah (District Officer) telah pergi ke Kuala Lumpur...(Bersambung)
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: