Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tuan Guru Haji Abdul Latif Shahabudin, Pondok Pokok Sena




Tuan Guru Haji Abdul Latif Shahabudin, Pondok Pokok Sena 

Tokoh ini merupakan salah seorang dari senarai ulama berjasa di negeri Pulau Pinang. Walaupun beliau bukanlah seorang yang ternama dalam kalangan masyarakat umum, namun jasanya yang cukup besar di Pondok Pokok Sena, Seberang Perai sangat bernilai. Ratusan anak-anak berjaya di bawah didikan beliau. Inilah kisah ringkas mengenai Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Latif Bin Shahabudin.

Tidak dapat dipastikan di mana dan bila tarikh beliau dilahirkan, namun ada sumber mengatakan bahawa Allahyarham sedikit muda daripada Tuan Guru Haji Ahmad Bin Tuan Hussien dan beliau juga pernah tinggal di Bagan Datok, Perak.

Pendidikannya pula setakat yang diketahui, Tuan Guru Haji Abdul Latif merupakan lulusan pengajian Masjidil Haram di Mekah al-Mukaramah.

Beliau merupakan orang kanan kepada Tuan Guru Haji Ahmad Bin Tuan Hussain di Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang. Pada tahun 1935, beliau dilantik menjadi guru besar di Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena. 
Antara yang diketahui pernah membantu beliau seperti Tuan Haji Abdullah Bin Haji Abdul Ghani dari Tandop, Alor Setar, Kedah. Tuan Haji Abdullah ini juga merupakan lulusan Mekah.

Adik beliau yang pernah mengajar di Madrasah Khairiah bernama Ustaz Noh Shahabudin. Adiknya ini merupakan lulusan Madrasah Khairiah Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Anak Tuan Guru pula yang mengikut jejak langkah beliau dalam menyebarkan dakwah, seperti Dato' Yusof (mantan YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang). 

Antara anak murid beliau yang diketahui seperti:

1. Tuan Guru Haji Hamzah, Padang Lalang
2. Tuan Guru Maulana Mansoor, Seri Petaling
3. Haji Haroon Lubuk Meriam
4. Tuan Guru Haji Abdul Wahab Bin Hussin, Jarak

Antara pesanan beliau kepada pelajar-pelajarnya sekitar 1960-an yang mungkin kita juga boleh ambil manfaat pada hari ini, lebih kurang berbunyi begini :

"Tuan-Tuan bila keluar sekolah nanti dan balik ke kampung jadilah 'Tok'. Kalau jadi Tok selamatlah. Dan sekiranya jadi 'Kaki' rosaklah tuan-tuan. Iaitu jadilah Tok Alim, Tok Guru, Tok Imam, Tok Bilal, Tok Penghulu, Tok Mudim. Dan janganlah tuan-tuan jadi 'Kaki' iaitu Kaki Botol, Kaki Arak, Kaki Judi atau Kaki Betina.


Tanggal 2 September 1987, Tuan Guru Haji Abdul Latif meninggal dunia dan disemadikan di perkuburan Kampung Banggol, Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Sumber - Kajian daripada Muhammad Zhafri Mohd Zaini, Tengku Yusuff

Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:




Ads Bottom