Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Sabak Bernam dalam era penjajahan Jepun


Tiada catatan bertulis secara khusus menyentuh mengenai kehidupan penduduk di Sabak Bernam ketika era penjajahan Jepun diantara tahun 1942 sehingga tahun 1945. Jika di Teluk Anson (Kini Teluk Intan) pada era perang dunia kedua sangat terkenal dengan kekejaman polis tentera Jepun yang dikenali Kempetai yang dikepalai oleh sarjan Sasaki Saburo. Penindasan kepada penduduk tempatan khususnya di kalangan berketurunan Cina cukup mengerikan dan berbekas kepada penduduk tempatan.

Di Daerah Sabak Bernam, terdapat seorang pegawai Jepun yang ditempatkan di sini yang bernama Isimura San seperti yang diceritakan oleh Jaafar bin Haji Ali, pemimpin Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam.

Jaafar bin Haji Ali

Menurut cerita orang-orang lama di sini, kawasan di antara bangunan balai polis Sungai Besar sehingga ke Dewan Seri Bernam pernah dijadikan kawasan penempatan Tentera Jepun. Mungkin ada asasnya dimana kawasan Panchang Bedena ketika itu sudah pun aktif terlibat dengan aktiviti penanaman padi maka adalah tidak dapat menolak kemungkinan kewujudan penempatan tentera Jepun bagi mengawasi pengeluaran beras yang sangat penting bagi mereka bagi menampung makanan mereka. Selain itu, terdapat juga kisah pesawat tempur tentera Jepun terhempas di kawasan sawah padi di sekitar Sungai Besar.

Penanaman padi di Sabak Bernam era 1930an

Terdapat peta yang menunjukkan Sabak Bernam menjadi laluan kemaraan tentera Jepun melalui jalan darat menuju ke Kuala Lumpur dalam kempen menawan Tanah Melayu pada awal tahun 1942. Rejimen Infantri ke-11 Tentera Jepun tiba di Kuala Sungai Bernam dan berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan meneruskan kemaraan melalui jalan laut di Selat Melaka dan satu kumpulan lagi meneruskan perjalanan melalui Jalan Darat. Semasa mendarat di Kuala Sungai Bernam diceritakan berlaku serangan tentera bersekutu menyebabkan banyak mayat tentera jepun terbunuh dan mayat mereka terapung di Sungai Bernam.

Peta maraan Tentera Jepun dari Pulau Pinang, tiba di Kuala Bernam pada malam 1 Januari 1942

Peta maraan tentera Jepun melalui Sabak Bernam menuju ke Kuala Lumpur, garisan biru laluan tentera Jepun dan merah laluan tentera bersekutu



Peta kawasan Daerah Sabak Bernam pada waktu pendudukan tentera Jepun tahun 1942

Seorang saksi hidup semasa pendudukan Jepun di Sabak bernam, almarhumah Asmah Mat Yaasin pernah menceritakan kisahnya hidup semasa remaja di bawah pemerintahan Jepun. Ketika itu beliau yang masih lagi tunangan orang dan menetap di Parit 6, Panchang Bedena. Beliau menceritakan bagaimana tunangnya dibawa lari oleh pihak tentera Jepun dan dipercayai menjadi buruh paksa landasan kereta api di sempadan Burma-Siam dan tidak pernah kembali selepas itu.

Asmah binti Mat Yaasin 
1920an - 2010

Lebih menyedihkan, abang iparnya turut diseksa oleh tentera Jepun sehingga mati. Tentera Jepun memaksa abang iparnya meminum air sabun sehingga perut kembung sebelum ditikam berkali-kali dengan bayonet. Tidak cukup sekadar itu, jasad abang iparnya yang nyawa-nyawa ikan itu ditindih dengan papan sebelum beberapa orang tentera Jepun memijaknya sehingga buih sabun memancut keluar dari luka tikaman diperut. 

Kesalahan yang biasa dilakukan oleh penduduk kampung ketika itu adalah menyorokkan beras yang mana komoditi beras adalah di bawah kawalan ketat di bawah tentera Jepun. Anak-anak gadis terpaksa disembunyikan takut dirampas oleh kempetai Jepun. Kaum lelaki pada ketika itu akan mengadakan kawalan di setiap persimpangan jalan dan apabila kempetai Jepun masuk ke kampung mereka akan menghebahkannya dengan segera kepada orang kampung untuk menyorokkan segera anak gadis mereka.

Menurut Hajah Asmah, rumah yang mempunyai anak gadis akan digali lubang seakan liang kubur di bawah perumahan (ruang tanah bawah rumah) bagi menyembunyikan anak gadis mereka.

Terdapat penduduk tempatan yang kelabu mata sanggup menjadi mata- mata atau orang suruhan Jepun dengan tujuan untuk menakutkan penduduk atau dilihat semacam 'ada kuasa berlagak' menjadi wakil Jepun untuk mendapat habuan dalam bentuk makanan seperti beras dan pisang.

Selain itu terdapat keluarga Melayu yang memberikan bantuan kepada taukey kelapa dari kalangan orang Cina dan menyembunyikan mereka di rumah masing-masing kerana mereka adalah golongan yang menjadi buruan Jepun. Selepas perang tamat pun, orang Cina yang dibantu ini tetap mengingati keluarga Melayu yang menolong mereka. Acap kali juga pada ketika itu, khususnya anak-anak perempuan Cina terpaksa diserahkan kepada Melayu untuk dipelihara akibat tekanan ancaman tentera Jepun dan ibu bapa mereka melarikan diri termasuk bergabung bersama Bintang Tiga untuk menentang Jepun.

Keganasan dan cara Jepun menyeksa orang tempatan di luar kampung seperti memaksa minum air sabun, memaksa tunduk dan menyembah matahari terbit, memanjat pokok kelapa untuk mendapatkan air kelapa bagi pihak tentera Jepun hanya meniti dari bibir ke bibir ahli masyarakat. Namun ada juga kampung yang tidak didatangi tentera Jepun seperti Kampung Tebuk Mufrad.

Pemerintah Jepun di Malaya ketika itu telah mengeluarkan siaran mana-mana penduduk yang lahir atau pada 1921 (berusia 20 tahun ke atas) yang masih bujang dikehendaki bekerja dengan Jepun untuk projek pembinaan jalan kereta api di Burma. 

Oleh kerana itu, Anak-anak yang dilahirkan pada atau sebelum 1921 telah menukar status kelahiran pada 1924 dan seterusnya (muda 3 tahun pada catatan tarikh lahir). Selain itu, proses "kahwin segera" dalam kalangan pemuda dan pemudi kampung bagi memperoleh status berkahwin semata-mata untuk mengelak daripada menjadi buruh paksa penjajah Jepun. Berlakulah proses "tangkap muat" (mix-match) asal kahwin, terdapat pasangan yang sesuai dan kekal lama sebaliknya berlaku juga perceraian selepas beberapa waktu bersama.

Banyak urusan berkaitan ibadah menimbulkan rasa prejudis tentera Jepun seperti solat berjemaah di masjid maka banyak sekatan-sekatan dikenakan kepada penduduk. Semasa Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945, apabila pengkhabaran itu sampai kepada penduduk kampung, mereka keluar beramai-ramai dan berteriakkan "Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar" dan menangis meraikan kebebasan daripada kekejaman tentera Jepun.

Rujukan: Sejarah Tebuk Mufrad, Serba Ringkas Sejarah Sabak Bernam, Perkembangan politik dan sosio ekonomi di Sabak Bernam dari 1900 sehingga kini dan penceritaan lisan penduduk.




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom