Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Raja Che Nong dan Kampung Tok Khalifah



Menurut cerita lisan yang diperturunkan, Kampung Sungai Panjang (kini Mukim Sungai Panjang, Daerah Sabak Bernam) telah mula diterokai seawal tahun 1820an lagi oleh Raja Che Nong dan Raja Mahadi bersama pengikut masing-masing.

Nama Sungai Panjang diambil kerana Sungai Panjang merupakan cabang sungai terpanjang sungai yangvutama iaitu Sungai Bernam.

Diakhir fasa perang saudara Selangor, Sabak Bernam menjadi kubu terakhir para pengikut Raja Mahadi bersama kaum kerabat yang menyokongnya. Sabak Bernam khususnya Sungai Panjang menjadi laluan pengikut-pengikut Raja Mahadi berundur dari Kuala Selangor seterusnya melalui Sungai Bernam terus mudik ke hulu. Sebahagian pengikut Raja Mahadi ada yang terus bersembunyi di Sabak Bernam dan sebahagiannya nekad menyeberang ke Perak. 

Kemarahan Raja Mahadi dan Raja Che Nong yang mana kedua-duanya merupakan sebahagian kerabat Kesultanan Selangor memuncak di dalam perang saudara Selangor apabila Tengku Kudin yang juga menantu kepada Sultan Abdul Samad masuk campur dalam perang tersebut. Tengku Kudin dianggap orang luar kerana beliau merupakan kaum kerabat yang berasal daripada Kedah. Ini ditambah pula apabila Tengku Kudin memberi laluan mudah untuk mempalawa British untuk masuk campur dalam kecamukkan negeri Selangor ketika itu.

Raja Che Nong dan Raja Mahadi serta pengikut-pengikutnya telah mendirikan istana di tepi Sungai Bernam dan Raja Che Nong dilantik menjadi Penghulu dan mengutip cukai di persisiran Sungai Bernam. Dari semasa ke semasa, Kampung Sungai Panjang bertambah maju dan ada di kalangan penduduknya yang berdagang ke Pulau Pinang melalui Sungai Bernam, dimana Sungai Bernam ketika itu merupakan laluan perdagangan membawa pelbagai hasil daripada kawasan pendalaman sebelum kapal-kapal dagang terus ke Selat Melaka.

Makam Raja Che Nong dan disebelahnya makam Raja Latif

Apabila pedagang ini balik membawa barang dagangannya, barangan mereka sering dirampas oleh lanun Aceh apabila lalu di kawasan Banting Aceh di tepi Sungai Bernam. Pada masa itu, menurut cerita orang-orang lama, kawasan ini dikatakan tidak ditumbuhi pokok kayu dan rumput kerana terlalu banyak manusia yang terkorban dan darahnya tumpah ke bumi kerana dibunuh oleh lanun Aceh.

Raja Che Nong yang merupakan seorang peniaga, juga melalui tempat-tempat tersebut dengan membawa barang dagangan dari Pulau Pinang. Apabila melalui kawasan berbahaya ini, beliau telah memukul gong yang dibawanya bersama. Apabila didengar oleh lanun Aceh, maka mereka pun terus terlena seolah-olah terkena pukau. Maka selamatlah Raja Che Nong dari bertempur dengan lanun tersebut.

Serangan oleh lanun Aceh ini semakin tidak terkawal dan mereka menjarah, membunuh para pedagang dan penduduk sekitar. Bagi menghentikan perbuatan mereka ini, maka Raja Che Nong dan hulu balangnya bertindak menggempur kedudukan kumpulan lanun Aceh tersebut. Pertempuran yang hebat berlaku di antara kedua-dua belah pihak yang berakhir dengan kekalahan di pihak lanun Aceh. Semenjak hari itu, tamatlah riwayat keganasan lanun di Banting Aceh dan persisir Sungai Bernam.

Selang beberapa tahun kemudian, datanglah rombongan orang-orang dari India yang berketurunan Malabari dan beragama Islam. Mereka ini diketuai oleh seorang alim yang dipanggil Tok Khalifah. Dilihatnya keadaan kampung ini aman tenteram di bawah pentadbiran Raja Che Nong sebagai Penghulu. Maka Tok Khalifah pun memohon restu keizinan tinggal menetap di kampung ini daripada Raja Che Nong. Setelah diizinkan, Tok Khalifah telah mendirikan masjid tidak jauh dari istana Raja Che Nong. Tok Khalifah menjadi khalifah (imam) di masjid tersebut dan mengajar mengaji al-Quran dan hukum-hakam kepada pe duduk sekitar dan mereka yang datang dari luar untuk mendalami ilmu agama.

Di samping itu, Tok Khalifah juga sering berulang alik ke Pulau Pinang membawa barang dagangan. Kebetulan pada suatu subuh, berlakulah peristiwa yang tetapi dengan kekuasaan Allah maka timbul sebuah batu hampar di tengah-tengah sungai berhampiran kapal atau tongkang Tok Khalifah.



Batu hampar ini timbul di kawasan berhampiran 'lubuk pusing yang dianggap lubuk berpuaka di mana airnya berpusing-pusing (berpusar) dan mampu menyedut masuk objek ke perut bumi. Dikatakan bahawa, pada waktu air surut telah menjadi air pasang maka akan membuak keluar bersama air pasang tadi benda-benda seperti buah berembang, dan buah bakau yang mana benda-benda ini selalunya boleh dijumpai di tepi laut sahaja. Ini menunjukkan bahawa lubuk ini mempunyai terowong bawah tanah dan boleh tembus hingga ke laut. Mengikut cerita orang lama, terowong ini tembus ke laut Selat Melaka.

Dikatakan apabila melihat batu hampar tersebut, Tok Khalifah telah turun dari kapal (tongkang) lalu mengerjakan solat fardu subuh di atas batu tersebut. Selepas solat, Tok Khalifah memohon bantuan kepada Allah meminta supaya air yang berpusing itu ditenangkan dengan izin Allah supaya tidak menjadi bahaya kepada orang yang melalui kawasan tersebut. Semenjak peristiwa itu, air yang berpusing itu reda dan membolehkan perahu kecil lalu di tempat tersebut.

Keadaan pusaran air di Lubuk Pusing

Terdapat juga yang mengatakan Raja Che Nong juga dikatakan diberi gelaran khalifah (ketua) dalam Tarian Dabus yang merupakan tarian tradisi bagi penduduk kawasan ini. Beliau mengajar Tarian Dabus Robana dan silat. Tarian Dabus ini asalnya dari istana bagi meraikan majlis-majlis kebesaran diraja.

Semasa pemerintahan British, banyak kampung-kampung baru diwujudkan di sekitar kawasan Sabak Bernam. Pada masa ini, Kampung Sungai Panjang yang telah berkembang dinaiktarafkan sebagai sebuah mukim dan dinamakan Mukim Sungai Panjang, Daerah Sabak Bernam.

Kampung Tok Khalifah yang terletak dalam Mukim Sungai Panjang pula dinamakan demikian sempena nama dua orang ketua yang terkenal di kawasan Sungai Panjang dan dianggap sebagai Khalifah (ketua) dalam bidang masing-masing, iaitu Raja Che Nong (Penghulu dan Khalifah Dabus) serta Tok Khalifah (Imam Masjid). Bagi menghormati ketokohan dan sumbangan kedua-dua pemimpin ini maka kampung tersebut dinamakan Kampung Tok Khalifah dalam Mukim Sungai Panjang.

Ketua Kampung Tok Khalifah yang pertama ialah Allahyarham Sidang Ahmad bin Komek (cucu Raja Che Nong), yang kemudiannya digantikan oleh Sidang Mohd. Aris bin Samad (cicit Raja Che Nong). Di Kampung Tok Khalifah, terdapat dua kubur bersejarah iaitu makam Raja Che Nong (Raja Dabus) dan makam Tok Khalifah yang datang dari Malabari. 




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom