Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Perjanjian hutang darah dan bermulanya industri perkapalan di Malaysia




Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun telah menandatangani Perjanjian Muhibbah pada tanggal 21 September 1967 bagi melunaskan "Hutang Darah" akibat Pendudukan Tentera Jepun selama tiga tahun lapan bulan, iaitu dari tahun-tahun 1941 hingga 1945, di Tanah Melayu. Upacara ringkas tetapi bersejarah itu telah dijalankan di Bilik Kabinet, Jabatan Perdana Menteri, dan T. Kojima, Duta Jepun di Malaysia. Perjanjian ini adalah hasil dari perbincangan awal di antara Perdana Menteri Malaysia dengan Perdana Menteri Jepun, Esako Sato yang telah diadakan di Tokyo pada bulan Mei tahun 1967. Mengikut perjanjian yang ditandatangani itu Kerajaan Jepun akan menghadiahkan kepada Malaysia dua buah kapal yang berharga 25 juta ringgit.

Dalam satu kenyataan setelah selesai menandatangani perjanjian itu Tunku Abdul Rahman berharap agar segala rasa tidak puashati yang disuarakan oleh rakyat negeri ini di masa pendudukan Jepun dulu akan tamat dan selesai selama-lamanya. Beliau juga telah menjelaskan bahawa dengan hadiah dua buah kapal laut itu Malaysia akan dapat memulakan Perkhidmatan Perkapalannya sendiri. Dengan ini juga, tambah Tunku kerajaan Jepun akan memberikan bantuan teknik serta melatih anak-anak kapal yang akan bekerja dalam kapal-kapal itu. Ini menurut Tunku lagi adalah merupakan satu permulaan yang amat baik bagi Malaysia untuk menjalankan syarikat perkapalannya sendiri.


Tunku Abdul Rahman dan T. Kojima, Duta Jepun ke Malaysia menandatangani perjanjian Muhibbah

Dalam usaha untuk menubuhkan syarikat perkapalan Malaysia ini Tunku Abdul Rahman menambah bahawa beliau akan meletakan tanggungjawab kepada Menteri Perdagangan dan Perusahaan ketika itu, Dr Lim Swee Aun untuk menubuhkan sebuah Syarikat Perkapalan Kebangsaan. Langkah ini akan diikuti dengan pembetulan satu jawatankuasa yang akan menentukan rangka dan rupabentuk kapal yang diperlukan itu sesuai dengan kehendak-kehendak Malaysia. Setelah langkah ini diselesaikan kerajaan akan membuka tender untuk menempah kapal- kapal itu. Setelah itu, jelas Tunku lagi kerajaan akan membuka saham kepada hartawan-hartawan di Malaysia untuk membolehkan pembelian kapal-kapal laut yang lebih banyak lagi.

Tunku Abdul Rahman menganggap bahawa perjanjian ini adalah amat penting dalam usaha kita untuk menubuhkan syarikat perkapalannya sendiri. Beliau menegaskan bahawa sudah sampai masanya Malaysia perlu mempunyai sebuah syarikat perkapalannya sendiri untuk perdagangan negara. Malaysia sekarang terpaksa membayar kos pengangkutan yang mahal untuk menghantar barang barang ke Sabah dan Sarawak. Di samping dua buah kapal itu, wang yang sama harganya dengan kedua-dua buah kapal itu, iaitu 25 juta ringgit akan dikeluarkan untuk membina sebuah universiti di Pulau Pinang. Universiti ini bukan sahaja akan memberi faedah kepada penduduk-penduduk di Pulau Pinang, tetapi seluruh Malaysia, di masa-masa akan datang. Universiti yang dicadangkan ini kemudiannya telah lahir sebagai Universiti Sains Pulau Pinang dan kini dikenali sebagai Universiti Sains Malaysia.

Segala bantuan yang telah dipersetujui oleh kerajaan Jepun dalam perjanjian ini akan dikuatkuasakan mulai pada tahun 1967 dan hendaklah diselesaikan dalam tempoh tiga tahun. Duta Jepun ke Malaysia, T. Kojima dalam ucapannya setelah selesai menandatangani perjanjian itu berharap bahawa kapal yang diberikan oleh kerajaan Jepun itu akan memberikan pertolongan yang besar kepada usaha Malaysia hendak menubuhkan Syarikat Perkapalan Kebangsaannya sendiri. Beliau juga berharap dengan perjanjian ini, awan tebal yang meliputi perhubungan Malaysia-Jepun semua ini akan hilang, buat selama-lamanya.

Bermula dari perjanjian ini dan diikuti dengan usaha-usaha yang gigih Malaysia kini telah berjaya mendirikan sebuah syarikat perkapalan kebangsaannya sendiri yang dikenali sebagi Malaysian International Shipping Corporation Berhad atau ringkasnya MISC yang bergerak sebagai sebuah syarikat swasta.


Dua buah kapal yang dihadiahkan kerajaan Jepun kepada Malaysia

Sumber : Utusan Malaysia 22 September 1967, Arkib Negara, Jabatan Penerangan

Ikuti kami di TELEGRAM :
KONGSIKAN:




Ads Bottom