Nama Kampung Gelanggang Buaya sudah telah lama tiada di dalam pemetaan moden bagi Daerah Sabak Bernam khususnya di Mukim Sungai Panjang. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa Kampung Gelanggang Buaya ini telah dibuka sejak era permulaan tertubuhnya Kesultanan Melaka pada abad ke 14. Nama "Gelanggang Buaya" ini diperolehi daripada kisah misteri berkenaan kewujudan "Raja Buaya Sungai Bernam" yang bersaiz sangat besar. Lebar buaya seperti perahu dan pehanya sahaja sebesar guni beras seperti mana yang diceritakan orang lama di sini. Disebabkan buaya ini merupakan buaya terbesar di sungai ini maka tiada seekor buaya pun yang berani menghampirinya.
Buaya itu akan kelihatan di tepi sungai apabila air sungai ini dalam keadaan pasang, tetapi apabila air surut ia akan hilang. Walaupun saiznya sahaja sudah cukup menakutkan namun buaya keramat ini dikatakan tidak mengganggu penduduk setempat la seolah-olah ianya adalah penunggu yang menjaga dan mengawasi kawasan sungai yang kini dikenali sebagai Kuala Bernam. Sekiranya terdapat buaya-buaya lain yang datang atau cuba mengganggu kawasan ini, maka buaya keramat ini akan berlawan dan menyerang buaya-buaya tersebut.
Tiada siapa yang berani menangkap buaya tersebut, dan akhirnya buaya itu hilang begitu sahaja. Ada pendapat mengatakan bahawa buaya tersebut adalah jelmaan jin. Namun, pada tahun 1992 dikatakan buaya itu muncul semula dan terdapat penduduk yang melihat akan kemunculannya. Malahan, buaya di Sungai Bernam itu juga dikatakan semakin banyak hingga menghampiri angka ratusan ekor buaya. Walau bagaimanapun, sehingga kini kebenaran mengenai dakwaan ini sukar dipastikan.
Berdasarkan cerita mengenai keganasan buaya di Sungai Bernam, terdapat cerita mengenai satu peristiwa tragis yang pernah berlaku di Sungai Bernam. Pernah berlaku, apabila seorang penduduk kampung sedang mengambil wuduk di sungai, tiba-tiba sebelah tangannya telah dibaham oleh seekor buaya yang besar. Selain itu, ada seorang wanita yang sedang mencuci kain di tepi Sungai Bernam turut menjadi mangsa dibaham buaya. Begitu juga, terdapat cerita mengenai seorang gadis sunti kaum punjabi yang telah dibaham buaya ketika mandi di sungai. Kesan daripada peristiwa keganasan buaya di Sungai Bernam, pihak Kerajaan telah mengarahkan supaya buaya-buaya itu diburu dan ditembak kerana ia mula mengancam nyawa penduduk kampung. Pada masa kini, kawasan yang dikatakan Gelanggang Buaya tersebut telah terbiar dan banyak ditumbuhi pokok-pokok nipah dan bakau bahkan ada yang menambah cerita dikawasan tersebut juga terdapat perkampungan bunian.
Sementara itu, di kawasan Pantai Landu, iaitu kawasan Sungai Bernam yang bersempadan dengan Negeri Perak, terdapat kisah mengenai kewujudan buaya putih di kawasan ini. Ada cerita yang menyatakan bahawa buaya putih ini dikatakan kadang-kadang masih dijumpai oleh orang-orang yang mencari udang galah. Kononnya, panjang buaya ini jika dalam kedudukan melintang, maka kepalanya di Sungai Bernam ekornya di sebelah Perak. Kadang-kadang ia kelihatan seperti kayu melintang di tengah sungai dan boleh orang menyeberang ke seberang sana.
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: