Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !


Dekad 60an kebangkitan pejuang Bahasa Melayu


IKLAN



Pada awal 1960an terdapat segelintir orang bukan Melayu yang berfahaman cauvinis menentang keras menjadikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Isu bahasa kebangsaan diambil kesempatan oleh golongan cauvinis untuk mendapatkan laba keuntungan politik dengan menyemarakkan api perkauman.

Rasa kurang senang orang-orang Melayu semakin tak terbendung maja pasa 19 Julai 1964, satu barisan bertindak Bahasa Kebangsaan telah ditubuhkan untuk menentang anasir-anasir yang menghalang pelaksanaan Bahasa Kebangsaan. Pengerusi Barisan Bertindak Rakyat Malaysia, Melan Abdullah yang hadir dalam perjumpaan penubuhan badan itu telah memberikan jaminan bahawa barisan ini akan memberikan sokongan kepada setiap tindakan untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan pada bila-bila masa sahaja.


Perjumpaan menubuhkan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan ini telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka. Hadir dalam majlis itu ialah pecinta- pecinta bahasa, pensyarah-pensyarah maktab, wartawan-wartawan tempatan, penulis-penulis dan pelajar yang berjumlah kira-kira 70 orang.

Dalam perjumpaan ini, Yahya Ismail, Penolong Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka telah dipilih menjadi pengerusi barisan tersebut manakala Encik Kamaruddin bin Mohd. Said telah dipilih sebagai setiausahanya.


Di antara tujuan-tujuan barisan itu ialah:

(i) Memperjuangkan Bahasa Kebangsaan dengan lebih berkesan dan bersungguh-sungguh.

(ii) Melaksanakan kehendak Perlembagaan iaitu Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal menjelang tahun 1967.

(iii) Menimbulkan dan meneguhkan semangat perjuangan terhadap Bahasa Melayu. 

(iv) Menjaga kesucian dan kedaulatan bahasa di negara ini. 

(v) Mengadakan tunjuk perasaan untuk membantah sikap anti-nasional yang ditunjukkan oleh badan-badan perniagaan, pejabat-pejabat dan perbadanan-perbadanan lain.

(vi) Mengadakan risalah penerangan dan ceramah-ceramah, rapat-rapat umum dan tindakan-tindakan yang lain sesuai dengan kehendak keadaan.

(vii) Membela dan memberi sokongan kepada pejuang-pejuang Bahasa Kebangsaan untuk meneguhkan keyakinan mereka bahawa mereka itu tidak keseorangan dalam perjuangan mereka.

Lain-lain Ahli Jawatankuasa yang telah dilantik terdiri daripada Encik Noor Azam, Encik Abdullah Zawawi, Encik Abu Zaki Fadzil, Encik Asraf, Encik Melan Abdullah, Encik Usman Awang, Encik Abdullah Hussain dan Cik Habibah Manan.

Sumber : Berita Harian 20 Julai 1964



KONGSIKAN:




Ads Bottom