Selepas tentera Jepun menyerah kalah di Tanah Melayu, pengganas komunis sempat menguasai Tanah Melayu walaupun tidak lama. Ketika itu, Sungai Manik menjadi antara kawasan yang dikuasai komunis yang mengancam penduduk setempat.
“Di Sungai Manik bermulanya markas yang menghimpunkan penduduk kampung berpakat untuk menyerang pengganas komunis. Orang-orang berketurunan Banjar telah bertindak menyatukan seluruh penduduk kampung untuk menyerang komunis yang menguasai Sungai Manik serta kawasan sekitarnya,”
Parti Komunis Malaya (PKM) ketika itu rancak merekrut anggotanya dan penduduk kampung tersebut antara kawasan yang menjadi sasaran mereka. Walaupun ramai penduduk kampung tidak mahu menyertainya, ada juga mereka yang terpengaruh dengan hasutan PKM
“Jika hendak diceritakan keganasan komunis di sini waktu itu, memang tidak habis. Keganasan mereka satu tragedi hitam buat penduduk kampung. Tetapi kerana kuatnya semangat dan kekentalan penduduk kampung, pengganas komunis berjaya dihapuskan waktu itu,”
Antara tokoh masyarakat yang disegani ialah Tuan Guru Haji Bakri yang sentiasa menjadi sebutan di kampung itu. Kerana ketinggian ilmu agamanya, tokoh itu sentiasa menjadi rujukan penduduk kampung yang memerlukan bantuan dan pertolongan sewaktu saat genting kampung itu dikuasai pengganas komunis.
Terdapat satu kisah bagaimana sekumpulan penduduk kampung berketurunan Banjar berjaya membunuh beberapa pemimpin komunis yang bermarkas di Sungai Manik masih lagi diceritakan kepada generasi muda di situ sehingga hari ini.
“Ketika itu, setelah kematian seorang anak murid Tuan Haji Bakri dikenali sebagai Utoh Putih yang mempunyai kehandalan melawan musuh kerana dibunuh komunis, penduduk kampung telah berkumpul dan berpakat untuk membalas dendam serta menghapuskan kekejaman pengganas komunis.
“Kebetulan, sebelum itu, pihak pengganas komunis telah meminta agar beberapa wanita di kampung itu diserahkan kepada mereka untuk bekerja di dalam hutan. Jika tidak, penduduk kampung diancam dibunuh komunis,”
Maka, penduduk kampung berpakat menjadikan beberapa pemuda Banjar sebagai umpan untuk menjerat ketua-ketua komunis itu dengan cara menyamar menjadi perempuan.
Kisah Perang Sungai Manik turut diceritakan oleh Hj Asmuni Abdul Rahman, yang pernah berguru dengan Tuan Guru Haji Bakri ketika itu. Menurutnya, setelah penyamaran berjaya, pemuda-pemuda tersebut yang bersenjatakan parang dapat membunuh kesemua ketua komunis tersebut. Malangnya, kejayaan tersebut sebenarnya membuatkan pengganas komunis berterusan menyerang kampung itu tidak lama kemudian.
Katanya, untuk beberapa bulan, Kampung Sungai Manik bagaikan hidup di dalam neraka apabila sentiasa diancam pengganas komunis yang membunuh ramai penduduk kampung itu. Ini kerana, usaha komunis untuk menarik kemasukan lebih ramai anak-anak kampung menjadi anggota komunis masih belum tercapai.
Akhirnya, komunis mengalah dan lari meninggalkan kawasan itu setelah ramai anggotanya berjaya dibunuh penduduk kampung.
Peristiwa tersebut benar-benar meninggalkan kesan hitam buat penduduk kampung yang terkesan dengan keganasan komunis. Namun, kekuatan semangat orang Banjar yang bersatu-padu dengan orang Melayu di sekitar kawasan itu berjaya menghapuskan kekejaman tersebut
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: