Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Dato Taiban Hassan : Harimau Selangor yang dilupakan



Dato Taiban bin Hassan bukan sahaja menjadi Ahli Undangan Negeri Selangor bagi kawasan Sungai Besar yang pertama bermula tahun 1959 sehingga tahun 1974 bahkan turut diberi amanah sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor di era Menteri Besar  Dato Seri Harun Idris.

Digelar "Harimau Selangor" oleh Tunku Abdul Rahman kerana sikap tegasnya mempertahankan prinsip yang dipegang dan sangat lantang bersuara membela rakyat bawahan menjadikan Dato Taiban seorang wakil rakyat yang disegani khususnya di Daerah Sabak Bernam. Bersama rakan seperjuangannya Dato Lope Salleh Zainal Abidin, Dato Taiban antara saksi hidup melihat permasyhuran Daerah Sabak Bernam oleh Ke Bawah Duli Sultan Selangor sebagai Daerah ke tujuh Selangor pada 1 Julai 1960.

Dato Taiban (duduk) lima dari kiri


Pertembungan beliau dengan Hamid Tuah dalam isu penerokaan tanah di Merbau Berdarah menunjukkan sikap beliau yang tegas mempertahankan keutamaan hak penerokaan kepada penduduk asal Sungai Besar bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dikawasan yang diwakilinya.

Dato Taiban empat dari kanan dalam lawatan ke Afrika Utara


Satu peristiwa bantahan para pesawah yang tidak berpuas hati dengan isu harga padi yang dibeli oleh FAMA dan Dato Taiban dilihat menyebelahi para pesawah serta ditambah pula adu domba dijaja memburukkan namanya membawa kepada pemecatan beliau daripada UMNO ketika era pemerintahan Tun Hussien Onn. 

Menerima pingat daripada Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Mehnah politik yang dihadapi oleh beliau sedikit pun tidak mengugat ketegasan berkenaan apa yang diperjuangkan. Disisihkan daripada UMNO bahkan pernah diugut dengan dihantar peluru ke kediamannya seperti yang pernah diceritakan oleh warisnya merupakan sepak terajang beliau dalam perjuangan membela rakyat bawahan.

Selain ketegasan membela nasib rakyat bawahan, Dato Taiban diakui berkeras mahu pusat Daerah Sabak Bernam berpindah dari Pekan Sabak ke Pekan Sungai Besar walaupun berhadapan dengan penentangan daripada rakan-rakan politik beliau daripada UMNO di kawasan Sabak. Itulah Dato Taiban, seorang pemimpin berjiwa marhaen membela rakyat. Namanya diabadikan disebatang jalan di Pekan Sungai Besar sebagai tanda kenangan menghargai jasa beliau. 

Hukum Allah yang menghidupkan dan mematikan hambaNYA. Pada tahun 1978, pulanglah Dato Taiban bin Hassan kehadrat penciptanya setelah mengalami strok di Hospital Klang dan pusaranya diabadikan di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. Tinggalah segala jasa bakti beliau kepada rakyat yang sangat membekas khususnya kepada golongan rakyat kelas bawahan.

Dato Taiban bin Hassan




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom