Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Amukan Sarjan Hassan : puluhan pengganas Komunis maut ditangannya



30 April 1991 – Keperwiraan Kapten (B) Hassan Haji Othman yang diabadikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui filem patriotiknya ‘Sarjan Hassan’ pada tahun 1955 amat mengagumkan para penonton yang menonton filem tersebut. Beliau merupakan anak Melayu yang mempunyai semangat waja dan berkesungguhan dalam menentang anggota pengganas komunis yang bermaharajalela sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Pada 30 April 1991 Kapten (B) Hassan bin Haji Othman telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Seremban, kerana diserang sakit jantung. Allahyarham yang berusia 64 tahun, meninggalkan seorang balu, Puan Aishah bte Haji Salleh 60 tahun, 12 orang anak serta 18 orang cucu. Jenazahnya selamat disemadikan di makam Tuan haji Said, Seremban, selepas waktu Zohor.



Allahyarham Kapten (B) Hassan berasal dari Kampung Pantai, Seremban dan dilahirkan pada tahun 1927 serta memasuki perkhidmatan tentera pada tahun 1946 sebagai rekrut biasa. Setelah berjuang menegakkan keamanan di negara ini selama 23 tahun, Allahyarham bersara sebagai anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu yang berpangkalan di Port Dickson pada tahun 1969 dengan berpangkat Kapten.

Allahyarham melibatkan diri dalam pasukan tentera setelah pembunuhan kejam dilakukan oleh anggota pengganas komunis terhadap keluarganya termasuk isterinya di hadapan matanya sendiri.

Dalam catatan sejarah tanahair telah tercatat bahawa Allahyarham pernah berjaya membunuh seramai 54 pengganas komunis dan antara jasanya yang terbesar ialah menggagalkan usaha 400-500 pengganas komunis di Water Fall Estate, Rawang yang cuba mensabotaj kemerdekaan negara kira-kira 10 hari sebelum negara Merdeka.



Allahyarham juga pernah menerima pingat keberanian oleh Kerajaan British seperti King Medal pada tahun 1951 dan Queen Order pada tahun 1953. Selain itu Allahyarham juga dianugerahkan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK), Ahli Mangku Negara (AMN), Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dan Pingat Sri Mahkota Selangor (SMS).


Sesungguhnya semangat keperwiraan yang tersemat dan dimiliki oleh Kapten (B) Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Sarjan Hassan’ sewaktu hayatnya di alam fana ini, amat mengagumkan dan tiada tolok bandingnya, terutama sebagai penghayatan generasi muda pada hari ini. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Semoga nama Allahyarham akan sentiasa terpahat dipersada sejarah tanahair.




Jabatan Penerangan Malaysia
Rejimen Askar Melayu Diraja


Umum  mungkin mengetahui filem Sarjan Hassan lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang mengisahkan anggota Askar Melayu berjuang menentang penjajah Jepun di Tanah Melayu.



Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu berlaku satu peristiwa tragis seterusnya menjadi dendam yang mendorong Sarjan Hassan menyertai Askar Melayu ketika itu atau sebenarnya, Sarjan Hassan menyertai Askar Melayu untuk menentang komunis ketika darurat.

Cucu pahlawan negara itu, Mohd Ariffin Abd Karim, berkata, Allahyarham datuknya itu hanyalah orang kampung biasa yang melakukan kerja kampung tetapi pada masa yang sama turut menentang komunis secara senyap.

"Bagaimanapun, apabila pihak komunis tahu mengenainya, mereka mencari keluarga arwah dan membunuh isterinya yang sarat mengandung, ibu mentua dan anak saudara seterusnya rumah mereka turut dibakar.

"Arwah datuk begitu marah dan beliau tahu sukar untuk membalas dendam sendirian. Justeru, beliau menyertai Askar Melayu untuk sama-sama berjuang membebaskan tanah air daripada ancaman komunis," katanya ketika ditemui di Shah Alam.

Pada masa sama, Mohd Ariffin berkata, hanya sebahagian sahaja kisah perjuangan datuknya yang dipaparkan dalam filem Sarjan Hassan.

"Misalnya, watak penjual sayur (apek) dalam filem berkenaan menjadi penghubung (membantu menghantar surat) antara Sarjan Hassan dan keluarganya.

"Dalam kisah sebenar yang diceritakan kepada saya, penjual sayur itu memang wujud tetapi dia adalah tali barut komunis yang memberi maklumat mengenai datuk dan keluarganya," katanya.

Jelasnya lagi, adegan lain yang mempamerkan kisah sebenar Sarjan Hassan adalah kesulitan yang dialami apabila mahu berjumpa keluarganya kerana rumah dikawal ketat.

Katanya, adegan bapa Sarjan Hassan dipukul dan ditahan komunis juga adalah kisah sebenar.

Mohd Ariffin berkata, beliau amat berbangga menjadi cucu kepada pahlawan negara dan berharap agar rakyat negara ini bersyukur dengan keamanan yang dikecapi pada hari ini.

"Kita tidak hidup pada zaman mereka yang terpaksa meninggalkan keluarga serta mengorbankan nyawa untuk berjuang membebaskan negara dari penjajahan," katanya.

Sementara itu, Mohd Ariffin berkata, beliau merancang untuk membina sebuah bangunan rumah kedai dan menamakannya sempena nama arwah datuknya sebagai tanda ingatan terhadap Hassan.

"Ibu saya (anak ketiga Sarjan Hassan) menyerahkan urusan tanah pusaka milik arwah datuk yang terletak di Kampung Rasah, Seremban kepada saya. Daripada dibiarkan kosong, lebih baik saya bina sesuatu sebagai tanda ingatan terhadap arwah.

"Insya-Allah, saya akan mulakan proses pembinaan pada tahun hadapan," katanya.

Mengikut fakta sejarah, Hassan Othman dilahirkan pada 15 Februari 1927 di Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan.

Pada usia 17 tahun, beliau berkahwin dengan gadis sekampung dengannya, Siti Zabedah Ali. Bagaimanapun, kegembiraan beliau bersama isterinya tidak berpanjangan apabila keluarganya dibunuh komunis.

Hassan kemudian berkahwin dengan gadis berasal dari Kampung Rasah, Seremban, Aishah Bujang pada 1951 dan pasangan itu dikurniakan 12 orang cahaya mata, enam lelaki dan enam perempuan serta 24 cucu.

Hassan menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Kompeni di Kompeni Lima Melayu pada 1967 selepas berkhidmat selama 21 tahun dengan menyandang pangkat terakhir sebagai kapten.

Beliau meninggal dunia akibat sakit jantung pada 1991 ketika berusia 64 tahun.


Sumber : Harian Metro




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom