Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tentera Melayu Perak membantai keangkuhan Belanda



Setelah berjaya menduduki Melaka, Belanda menjalankan usaha untuk memonopoli perdagangan bijih timah di Perak. Ini kerana Perak adalah pengeluar bijih timah terpenting di Selat Melaka ketika itu, sekaligus antara yang utama di dunia. Oleh kerana hasrat Belanda ini tidak disetujui oleh Sultan Muzaffar Shah (1636-1653), Belanda telah mengepung kuala Sungai Perak. Selain itu, Belanda turut meminta bantuan Sultanah Aceh, Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675) untuk mendapatkan kebenaran membeli bijih timah di Perak. 

Pada tahun 1650, Gabenor Cornelis van der Lijn menghantar wakilnya, Joan Truijtman ke Aceh untuk berunding dengan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin untuk mendapat persetujuan. Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah menghantar wakil mengiringi Truijtman, wakil Belanda ke Perak. Campur tangan Aceh ini telah menyebabkan Belanda berjaya menandatangani perjanjian dengan Sultan Muzaffar Shah ll pada 15 Ogos 1650. Belanda seterusnya mendirikan loji di Kuala Perak. Oleh kerana kehadiran Belanda dan pembinaan loji ini tidak disenangi kebanyakan penduduk Perak, orang-orang Perak bertindak menyerang, membunuh 27 orang dan memusnahkan loji tersebut. Anehnya, Belanda dan Aceh tidak mampu berbuat apa-apa berhubung serangan tersebut.

Pada tahun 1655, ketika pemerintahan Sultan Mahmud Iskandar Shah (1653-1720), Gabenor Jeneral Betawi, Joan Maatsuyker menghantar wakilnya, Joan Truijtman untuk membaharui perjanjian 1650 dahulu. Nampaknya Belanda masih tidak berputus asa untuk memonopoli perdagangan bijih timah sementelah Perak ketika itu merupakan antara pengeluar utama komoditi tersebut di arena perdagangan antarabangsa di Selat Melaka. Mampu mengawal perdagangan bijih timah di Perak umpama mampu mengawal harga bijih timah di pasaran dunia sekaligus. 

Dalam rundingan itu, Belanda menuntut memonopoli perniagaan bijih timah di Perak dan ganti rugi sebanyak 50,000 rial ke atas loji Belanda yang diserang, serta menuntut menghukum mereka yang terlibat dalam serangan itu. Walau bagaimanapun, Perak tidak mematuhi ketetapan ini dan bijih timah tidak dijual kepada Belanda; sebaliknya dijual kepada saudagar India, Aceh dan Cina kerana tawaran harga mereka lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan oleh Belanda. Perkembangan ini menyebabkan Belanda menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan bijih timah. 

Oleh kerana tidak puas hati dengan tindakan tersebut, Belanda menghantar Joan Truijtman dengan kapal Domburg dan Concordia mengepung Perak beberapa bulan pada tahun 1656. Tindakan Belanda ini menimbulkan kemarahan Perak. Dengan itu, pada 27 Mei 1658 pasukan Perak yang terdiri daripada tujuh perahu perang, dibantu oleh 30 perahu Aceh serta bantuan dari Ujong Salang melancarkan serangan mengejut ke atas Belanda dan membakar markas mereka. Serangan ini menyebabkan ramai orang Belanda terbunuh dan mengalami kecederaan. Belanda tewas dalam pertempuran tersebut.

Rujukan: Seminar Kearifan Tempatan Maritim




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom