BABYLON : Sejarah Nabi Ibrahim yang hampir musnah di sebalik taman tergantung yang dijulang sebagai keajaiban dunia purba
Bila disebut Babylon, semua orang tahu ia merupakan sebuah kota lama yang penuh dengan sejarah. Dari kisah Raja Namrud, zaman pemerintahan Hammurabi sehinggalah kepada presiden Saddam Hussein.
Di kota bersejarah ini juga lahirnya seorang Nabi di satu tempat bernama Faddam A’ram di dalam empayar kota Babylon tersebut. Beliau ialah Nabi Ibrahim a.s.
Kelahiran beliau ketika itu di zaman Babylon diperintah oleh seorang raja bernama Namrud bin Kan’an. Di bawah pemerintahan Namrud, kerajaan Babylon menjadi empayar yang makmur dan maju.
Rakyatnya hidup senang. Namun daripada sudut rohaninya, mereka hidup dengan cara jahiliyah. Mereka menyembah patung-patung yang dibuat sendiri daripada batu dan tanah.
Raja Namrud merupakan seorang raja yang zalim. Setiap permintaan dan perintahnya mesti dilaksanakan. Sesiapa yang melawan akan dihukum. Lebih daripada itu lagi, Raja Namrud memerintahkan rakyatnya menyembah beliau sebagai Tuhan.
Nabi Ibrahim pula sejak kecil dipelihara daripada menyembah berhala mahupun Namrud. Sehinggakan suatu hari, dia telah mengapak patung-patung sembahan tersebut. Hal ini menyebabkan kemarahan orang ramai dan mereka menangkap Nabi Ibrahim dan menghukumnya dengan dibakar dalam api.
Seluruh rakyat di kota ini keluar dan menggali lubang serta meletakkan kayu untuk dibakar. Kemudian mereka melepaskan Nabi Ibrahim ke dalam api tersebut sebagai hukuman.
Namun takdir Allah s.w.t., api itu menjadi dingin dan tidak membakar tubuh Nabi Ibrahim. Setelah api padam, maka Nabi Ibrahim pun keluarlah dengan selamat sehingga membuatkan orang-orang kafir menjadi bingung.
Selain kisah Nabi Ibrahim dan Raja Namrud, Babylon juga terkenal dengan kerajaan Hammurabi. Di kawasan ini terkenal dengan ‘tembok-tembok Babylon’ dan ‘Taman Tergantung Babylon’ yang disenaraikan sebagai salah satu keajaiban dunia zaman purba.
Dua tempat tersebut dibina oleh cucu Raja Hammurabi iaitu Raja Nebuchadnezzar II sekitar tahun 600 SM. Taman Tergantung Babylon terletak sekitar 50 kilometer di selatan Baghdad, Iraq, di sebelah tebing timur Sungai Eupretus.
Menurut sesetengah sumber mengatakan taman tersebut dibina untuk menggembirakan isteri Nebuchadnezzar, Amyitis yang rindukan kampung halaman.
Amyitis merupakan anak kepada Raja dari kerajaan Medes, telah berkahwin dengan Nebuchadnezzar untuk menjalinkan hubungan kerjasama di antara dua buah negara.
Negara asal Amyitis merupakan sebuah negara yang subur yang penuh dengan tumbuhan menghijau. Namun apabila berkahwin dengan cucu Hammurabi ini, dia sedih kerana terpaksa tinggal di kawasan yang berbukit dan kering kontang.
Jadi, untuk menggembirakan isterinya, Raja memerintahkan supaya sebuah taman dibina seperti kampung halaman mentuanya yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan subur menghijau di atas sebuah bukit. Taman ini kelihatan seakan tergantung di kawasan yang berbatu-batu tanpa tumbuhan.
Selain kisah di atas, banyak lagi sejarah besar kota Babylon yang menyaksikan pernah wujudnya di kawasan ini sebuah tamadun awal manusia iaitu Mesopotamia.
Ada juga beberapa pendapat menyatakan beberapa orang Nabi lagi selain Nabi Ibrahim pernah sampai ke kawasan ini. Oleh itu, kota ini menyimpan beribu kesan sejarah lampau sejak sebelum Masihi lagi.
Tetapi sayang kerana letaknya Babylon ini dalam bumi Iraq, negara yang sering dilanda peperangan. Malah, sewaktu Iraq berperang dengan Amerika dahulu, Amerika menjadikan kawasan Babylon ini sebagai salah satu pangkalan tentera mereka.
Menurut sumber UNESCO, sekitar tahun 2003, tentera Amerika membawa masuk pelbagai jentera berat mereka ke kawasan ini. Para tentera dan kontraktor Amerika telah banyak meruntuh dan meratakan bukit-bukit di kota ini.
Mereka juga menggali parit-parit besar untuk memusnahkan bahan-bahan arkeologi. Selepas tentera Amerika meninggalkan kawasan ini, tentera Poland yang menjadi sekutu Amerika menduduki pula tempat ini pada tahun 2004.
Sumber UNESCO pernah menyatakan, kerosakan kota Babylon ini bukan bermula dengan penjajahan tentera Amerika. Sebenarnya sekitar abad ke-19 sudah ada ahli-ahli arkeologi yang datang ke sini dan mengambil kesan-kesan tinggalan sejarah kota tertua ini.
Kemudian, di zaman pemerintahan Saddam Hussein pula, dia cuba menjadikan Babylon sebagai pusat pelancongan dunia bagi menaikkan imej pemerintahannya.
Dibina restoran dan kemudahan-kemudahan di sekitarnya. Selain itu, bagi mencapai cita-cita besarnya, Saddam telah mendirikan istananya di kota ini di atas sebuah bukit buatan. Dibina taman-taman tema di sekitarnya. Akibatnya, banyak kerosakan berlaku kepada tinggalan sejarah Babylon ini.
Ketika penjajahan Amerika pada tahun 2003 di Iraq, muzium Iraq telah dipecah masuk. Pelbagai bahan-bahan kesan tinggalan sejarah Babylon telah dicuri. Begitu juga dengan dokumen-dokumen kajian berkaitan Babylon ini turut dicuri dan dilarikan keluar Iraq.
Keadaan ini amat menyedihkan kerana sebahagian besar kesan kota Babylon telah pun hilang dan musnah. Jika tinggal sekalipun amat sedikit sekali.
Pasca perang Amerika Iraq turut berlaku pertelingkahan di antara pegawai-pegawai kerajaan Iraq dengan pejabat warisan negara. Pegawai-pegawai Iraq mahu menjadikan tempat ini sebagai pusat pelancongan. Manakala pejabat warisan mahu memelihara kawasan ini supaya menjadi warisan dunia, seiring dengan kehendak UNESCO yang juga mahu kawasan Babylon ini menjadi warisan dunia.
Kota yang kaya dengan tinggalan dan catatan sejarah ini banyak yang musnah. Hanya sedikit yang masih berbaki untuk tatapan generasi akan datang.
Babylon kini sudah boleh dikunjungi pelancong.
Sedikit demi sedikit kota ini diperbaiki semula dan pada tahun 2009, ia dibuka semula kepada pelancong. Pada Julai 2019, akhirnya kota Babylon yang berusia lebih 4,000 tahun ini diiiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
Kredit : mastika.online
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: