Pada bulan September tahun 1992, Muzium Sultan Alam Shah telah melancarkan satu rancangan penjelajahan arkeologi di Selangor Darul Ehsan. Rancangan penjelajahan ini merupakan tahap permulaan perlaksanaan kegiatan arkeologi yang sistematis di Selangor Darul Ehsan. Tidak boleh dinafikan bahawa kemusnahan tapak-tapak arkeologi adalah masalah yang mendesak dan memerlukan perhatian yang serius di negeri Selangor memandangkan bahawa pembangunan infrastruktur moden dan pelbagai projek pembinaan seperti perumahan, kilang-kilang, saliran dan sebagainya sedang begitu giat dijalankan. Banyak tinggalan kuno ini musnah begitu sahaja oleh jentolak, dan sebagainya) kerana penemuan-penemuan ini biasanya tidak dikenalpasti dan dilaporkan kepada pihak Muzium. Kebanyakan syarikat pembinaan juga tidak memberi perhatian langsung kepada tinggalan-tinggalan kuno yang tergali oleh jenera-jentera tersebut sewaktu projek-projek pembangunan dijalankan. Tinggalan-tinggalan ini sebenarnya merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya dalam memahami sejarah awal negeri negeri Selangor
Pasukan eksplorasi ini diketuai oleh Prof. Madya Leong Sau Heng dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya yang juga merupakan salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Kecil Penyelidikan, Penerbitan dan Perpustakaan, Lembaga Murium Negeri Selangor Darul Ehsan. Lain-lain ahli pasukan ini termasuk enam orang pegawai dan kakitangan Muzium Sultan Alam Shah iaitu Mohd. Lotfi bin Nazar, Anita bt. Tuarno, Mohd. Asruddin bin Selamat, Madzan bin Abdul Rahman, Asmadi bin Sairi dan Bazli bin Haji Mohd. Amin serta seorang kakitangan Jabatan Muzium. Bagi tahun 1992, rancangan eksplorasi tertumpu hanya kepada empat kawasan yang dianggap mungkin mempunyai potensi dari segi tinggalan-tinggalan arkeologi. Kawasan yang terlibat ialah kawasan Klang (di Bukit Kuda, Bukit Jati dan Bukit Badak), kawasan Rawang (Bukit Takun dan kawasan sekitarnya). kawasan Lembah Sungai Langat (di Jenderam Hilir dan Kampung Sungai Lang di Kuala Langat) dan Lembah Sungai Bernam.
Penjelajahan Arkeologi di Lembah Sungai Bernam, 7-9 Oktober, 1992
Lembah Bernam juga merupakan salah satu kawasan yang pernah menjadi titik perhatian rancangan penjelajahan arkeologi pasukan Prof. Madya Leong Sau Heng kerana Sungai Bernam pada zaman dahulu merupakan salah satu daripada jalan utama ke beberapa kawasan pendalaman Semenanjung Malaysia.
Tumpuan rancangan penjelajahan di lembah tersebut adalah di kawasan Changkat Menteri. Di kawasan sekitarnya terdapat beberapa bukit kecil yang sesuai bagi penempatan kerana kedudukannya yang strategik terutamanya untuk mengawal perjalanan lalu lintas di sungai berkenaan. Walaupun sebahagian kawasan ini kini adalah di dalam wilayah negeri Perak, namun sejarah kawasan tersebut telah bersangkut paut dengan sejarah awal kerajaan Selangor sejak sebelum tahun 1825 lagi.
Pada tahun 1825, Perjanjian Anderson telah menetapkan Sungai Bernam sebagai sempadan antara Selangor dan Perak dan ini telah mengakibatkan bahagian tebing utara Sungai Bernam terpisah dari Selangor.
Penemuan sebuah kubur kepingan batu pada tahun 1895 oleh J.A. Legge, seorang pembantu juru ukur British telah mendorong pasukan eksplorasi Prof. Madya Leong Sau Heng memberi perhatian yang khusus pada kawasan Changkat Menteri. Lagi pun antara jenis artifak yang pernah dilaporkan digali dari kubur tersebut (penggalian dilakukan oleh H.C. Robinson pada tahun 1919) adalah alat-alat besi bersaket yang agak serupa dengan yang pernah dijumpai di Bukit Kuda.
Gambar di atas ini menunjukkan bagaimana kebudayaan purba dari penghujung Zaman Prasejarah Awal Zaman Sejarah dikesan di sebuah ladang kelapa sawit di Changkat Menteri.
Kepingan batu besar dari sebuah kubur yang biasanya terpendam telah terangkat naik ke permukaan tanah akibat pembinaan teres bagi penanaman kelapa sawit di bukit tersebut. Batu-batu itu dibiarkan di permuka tanah kerana pekerja-pekerja ladang tidak tahu nilai sejarahnya sehingga pasukan eksplorasi kami melakukan penyiasatan arkeologi di situ.
Gambar ini merupakan satu lagi bukti kebudayaan kubur kepingan batu yang dikesan di Changkat Menteri pada 8 Oktober, 1992. Beberapa batu dari jenis kubur ini telah digunakan untuk membuat pondok ibadat kecil oleh pekerja-pekerja ladang yang tidak tahu nilai sejarah batu-batu tersebut.
Tapak sebuah kubur kepingan batu yang dijumpai di Ladang 8. Changkat Menteri. Gambar ini menunjukkan keadaan tapak setelah kawasan semak samun dibersihkan dan tapak digariskan dengan tali sebelum bermulanya kerja-kerja ekskavasi.
Pemandangan tapak dan bahagian atas kubur lapisan batu tersebut setelah ianya digali sedalam 20 cm dari permukaan tanah.
Beberapa biji manik kaca (berwarna merah, kuning dan biru) serta manik batu Carnelian yang diperolehi dari ekskavasi di Kubur 1, Ladang Changkat Menteri pada bulan Oktober, 1992.
Encik Murusamy al Tanasamy dan Encik Subramaniam a/l Veloo sedang menunjukkan tapak kubur kepingan batu yang pernah dijumpai di Ulu Pair dekat Changkat Menteri semasa pembinaan rumah-rumah pekerja ladang dan penemuan ini tidak dilaporkan kepada pihak Muzium.
Salah satu objekif eksplorasi arkeologi di Changkat Menteri ini ialah untuk mengesan tinggalan kebudayaan Zaman Besi tersebut. Objektif ini tercapai dengan penemuan dua buah kubur kepingan batu (slab graves) semasa kerja-kerja penjelajahan di Changkat Menteri. Sebuah kubur (dinamakan K1) telah dapat dikesan di Ladang 8 tidak berapa jauh dari tebing Sungai Benam. Manakala sebuah lagi kubur (K2) dikesan di atas sebuah bukit kecil di Ladang 9 iaitu kira-kira 2 km dari tapak K1. K1 kemudiannya telah digali pada 20-25 Oktober dan Kubur K2 pada 8-17 Januari, 1993.
Kerja-kerja penjelajahan banyak bergantung pada bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh pekerja-pekerja ladang kelapa sawit di situ.
Hasil temubual pasukan Prof. Madya Leong Sau Heng dengan mereka yang pernah dan telah bekerja lama di Changkat Menteri, berjaya mendapatkan banyak maklumat yang penting terutamanya mengenai jumpaan kepingan-kepingan batu besar di situ misalnya sewaktu mereka menjalankan kerja-kerja pembukaan tanah, meratakan tanah, memotong teres-teres di lereng bukit untuk penanaman dan sebagainya. Mengikut keterangan mereka, pernah satu ketika batu-batu granit besar ditemui beberapa kali tetapi batu-batu itu dibiarkan begitu sahaja di situ ataupun di buang kerana mereka tidak mengetahui nilai sejarahnya. Kini, keadaan tersebut telah berubah lebih-lebih lagi setelah pasukan Prof. Madya Leong Sau Heng menjalankan penyiasatan arkeologi di Changkat Menteri. Seorang pemandu traktor iaitu Encik G. Arumugam telah dapat menemui dua buah kubur kepingan batu semasa beliau sedang membajak tanah dengan traktornya. Melalui penemuan yang tidak disengajakan ini, beliau telah membuat laporan terus kepada pengurusnya yang mana selanjutnya telah menghubungi pihak kami bagi mengambil tindakan segera untuk mengesan dan menyelamatkan penemuan tersebut.
Rujukan : Prof. Madya Leong Sau Heng, Jabatan Sejarah Universiti Malaya
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: