Bangkai Pak Itam ditemui penduduk terapung di Sungai Selangor |
KUALA SELANGOR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor mengesahkan seekor buaya tembaga mati di Sungai Selangor, berhampiran Kampung Kuantan, di sini, semalam.
Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung, berkata bangkai reptilia itu yang belum dikenal pasti jantinanya dengan berat kira-kira 500 hingga 600 kilogram ditemui terapung oleh penduduk kampung.
"Buaya itu dipercayai telah mati dalam tiga hingga empat hari berdasarkan keadaan fizikalnya.
"Malah, ketika hidupan liar itu ditemui ia sudah kembung dan mulai reput," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Choon Yung berkata, bangkai buaya itu kemudian ditarik naik ke darat oleh penduduk.
Beliau berkata, ketika ini pelupusan bangkai masih dijalankan pihaknya.
Semalam, tular di laman Facebook memaparkan beberapa gambar bangkai buaya yang terapung di Sungai Selangor.
Menerusi status yang dimuat naik sebuah laman Facebook, buaya yang diberi nama 'Pak Itam' itu dipercayai 'menemani' pemancing udang di daerah ini sejak berdekad lalu.
"Akhirnya Pak Itam pergi di bulan mulia (Ramadan). Selamat jalan Pak Itam.
"Ramai pemancing kenal Pak Itam. Baik dan tidak pernah ganggu orang," menurut hantaran berkenaan.
Sumber : Berita Harian
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: