Nama asalnya Grigory Yefimovich Novykh, seorang petani kelahiran Pokrovskoye (22 Januari 1869) yang berkelana ke gereja-gereja Orthodoks serata Rusia dan membina reputasi kononnya sebagai orang suci penyembuh batin bernama Rasputin.
Dengan karismanya, Rasputin mendapat perhatian para paderi, bangsawan dan kerabat diraja yang membawanya kepada Tsar Nicholas II dan isterinya Alexandra, yang terdesak mencari orang yang dapat menyembuhkan anak mereka, Alexei daripada haemofilia.
Pasangan maharaja itu percaya dengan kuasa menyembuh Rasputin, lantas menjadikannya individu penting buat keluarga Romanov. Namun pengaruhnya di istana melampaui sehingga urusan pentadbiran negara, membuatkan keberadaan Rasputin tidak disenangi.
Rasputin menjadi terlalu berkuasa kerana keakrabannya dengan Nicholas dan Alexandra, sesiapa yang menentangnya akan disingkirkan dari pentadbiran. Keberadaannya memburukkan lagi kestabilan Empayar itu yang semakin melemah di bawah pentadbiran Nicholas.
Lantas sekumpulan bangsawan dikepalai Putera Felix Yusupov mengatur plot untuk membunuh Rasputin. Diceritakan, selepas tengah malam 29 Disember 1916, Yusupov menjemput Rasputin ke rumahnya dengan isteri Yusupov, Irina sebagai umpan.
Sambil menunggu Irina, Rasputin dijamukan dengan makanan dan wain yang didakwa dicampur racun sianida. Apabila dia masih tidak tumbang selepas menikmati hidangan, Yusupov melepaskan 3 das tembakan kepada Rasputin, satu daripadanya tepat di dahi pada jarak dekat.
Mayatnya dibungkus dengan karpet lalu dihumban ke Sungai Malaya Nevka, ditemukan pada 1 Januari 1917 di bawah lapisan ais sungai yang membeku itu, kira-kira 200 meter dari tempatnya dihumban dari Jambatan Petrovsky.
Rasputin dikebumikan esok harinya di sebuah gereja kecil di Tsarskoye Selo dalam majlis yang hanya dihadiri keluarga Romanov dan orang terdekat. Selepas Tsar turun takhta pada Mac 1917, kuburnya dibongkar dan mayatnya dibakar.
Sumber: Britannica, History Extra, Smithsonian Magazine
Ikuti kami di TELEGRAM:
KONGSIKAN: