Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tuan Guru Haji Mohammad Noh : Ulama kelahiran Sabak Bernam menabur bakti di bumi Kedah



Tuan Guru Haji Mohammad Noh Bin Mohammad  dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor. Beliau yang lebih dikenali dengan nama Pak Noh  berketurunan Bugis. 

Beliau mendapat pendidikan awal dari Sekolah Agama Gunung Semanggol, (kemungkinan Madrasah Rahmaniah) selama beberapa tahun. Kemudian beliau menyambung pelajarannya di Pondok Padang Lalang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang berguru dengan Tuan Guru Haji Saad Bin Abdul Qadir. Seterusnya beliau mendapat didikan dari Tuan Guru Haji Mat Isa Bin Haji Jusoh al-Yamani di Pondok Kubang Semang, Bukit Mertajam. 

Atas dorongan kecintaan terhadap ilmu agama, beliau berangkat ke Makkah pada tahun 1934 hingga 1954. Pengalaman yang panjang selama 20 tahun berada di sana diisi dengan mendalami keilmuan Islam dalam bidang-bidang Tafsir, Falak, Tasauf, Feqah dan hadis sehingga menjadi peribadi yang disegani dalam bidang-bidang tersebut. Di antara muridnya ketika di Makkah ialah Tuan Guru Haji Zakaria Alor Janggus.


Sekembali ke tanah air beliau telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah antara tahun 1965 hingga 1972. 

Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Hajah Maimunah Binti Haji Abdul Rahman yang meninggal dunia ketika berusia 70 tahun. Sepanjang perkongsian hidup, beliau dikurniakan empat orang anak; dua lelaki, Haji Mohd dan Abdul Rahman serta dua perempuan yakni Kalthom dan Solehah. 

Peribadinya cukup warak dan oleh kerana itu, beliau sangat dihormati oleh segenap lapisan masyarakat Islam mahupun bukan Islam.

Dikisahkan suatu hari seorang peniaga Cina menyimpan wang kepunyaan Allahyarham yang tercicir. Sepanjang tempoh wang tersebut disimpan, tiada seorangpun pelanggan yang mengunjungi kedainya. Peniaga tersebut menyedari bahawa beliau patut mengembalikan wang tersebut dan apabila wang tersebut dikembalikan, kedai beliau kembali
didatangi pelanggan.

Tuan Guru Haji Mohd Noh mempunyai beberapa orang sahabat seangkatan yang sama-sama mengembangkan risalah dakwah di negeri Kedah termasuk Dato' Mursyid Diraja Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok, Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pendang dan beberapa orang ulama' terkenal di negeri Kedah ini. 

Beliau meninggal dunia pada 9 Februari 1972 dan jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kulim.



Sumber - Artikel mengenai Allahyarham yang disimpan oleh warisnya. Ehsan En. Mohamad Yusof Teh, rujukan Tengku Yusuff




Ikuti kami di TELEGRAM:

https://t.me/X_PLORASI

KONGSIKAN:



Ads Bottom